![]() |
| FARID RIDZUAN |
SEJAK mula dianjurkan pada tahun 1986, Anugerah Juara Lagu (AJL) telah mencetus pelbagai revolusi muzik yang ketara. Tahun demi tahun, lagu-lagu yang bertanding menampakkan peningkatan dari segi komposisi lagu dan lirik.
Tidak cukup dengan itu, mahu atau tidak, harus diakui AJL juga berjaya menganjak populariti seseorang artis itu ke peringkat yang paling tinggi.
Di sebalik itu apa yang membuatkan AJL dinanti-nantikan adalah kepelbagaian konsep yang ditampilkan setiap tahun.
Untuk edisi kali ke-24 yang akan berlangsung pada 10 Januari depan, TV3 sudah bersedia menggegarkan pentas Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan konsep yang mampu memberikan kuasa tenaga muzik sebenar.
Sementelah, tahun ini juga AJL tidak lagi mempertaruhkan lagu mengikut kategori lantas menjadikan persaingan cukup sengit dengan 14 buah lagu bertanding dalam merebut kejuaraan.
Untuk itu, TV3 memperuntukkan bajet yang cukup besar iaitu RM2 juta bagi memastikan AJL24 berjaya mencipta sejarah tersendiri.
Bajet yang dikeluarkan itu merupakan yang terbesar sepanjang 24 tahun penganjuran AJL dan bukan sekadar bajet untuk keseluruhan produksi sahaja, tetapi hadiah kemenangan juga telah dinaikkan.
Jika sebelum ini hadiah untuk Juara Lagu adalah sebanyak RM25,000 tetapi untuk tahun ini ia telah ditambah menjadi RM35,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan menjelaskan, TV3 mahu memastikan AJL kali ini benar-benar memberikan kepuasan kepada peminat serta pengikut setia anugerah itu.
Dengan konsep music unfolds yang bakal menceritakan perjalanan muzik selama empat dekad sepanjang dua jam setengah, Farid optimis dengan respons positif yang bakal diperoleh kelak.
"Kali ini kita dapat lihat saingannya begitu sengit sehingga sukar untuk meramalkan siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara.
"Bukan itu sahaja, apa yang membuatkan AJL kali ini kelihatan begitu menarik apabila 14 buah lagu yang bertanding memperlihatkan kepelbagaian jenis muzik yang berdiri atas landasan masing-masing.
"Kesemua 14 lagu ini memiliki kualitinya yang tersendiri dan kami mahu AJL kali ini akan menjadi sebuah acara yang akan dikenang sampai bila-bila," ujarnya pada sidang media selepas majlis pengumuman pengacara, konsep dan cabutan giliran persembahan artis bertanding di ibu negara baru-baru ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Mohamed Nordin dan Penerbit AJL24, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali dengan panggilan Gbam.
Pada majlis yang sama juga, Farid turut mengumumkan barisan artis jemputan yang akan membuat persembahan pada malam itu nanti.
Mereka yang ialah Datuk Jeffrydin dan The Siglap Five, Jay Jay, Search dan Meet Uncle Hussain yang akan mempamerkan evolusi muzik tempatan menerusi genre masing-masing.
Dan, pastinya pemilihan Datuk Siti Nurhaliza sebagai pembuka acara dilihat bertepatan sekali untuk terus menghangatkan malam AJL24 nanti.
Menariknya, penyanyi bersuara emas itu akan menyampaikan lagu-lagu yang memenangi AJL tahun lalu iaitu Laguku Untukmu (Meet Uncle Hussain), Persoalan Cinta (Farawahida) dan Sampai Syurga (Faizal Tahir).
Pada masa yang sama, AJL24 juga masih lagi mengekalkan Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar sebagai pengacara.
Menyentuh soal gandingan pengacara khususnya Ally yang dilihat terlalu kerap dipilih mengacarakan AJL dan dilihat tidak kena dengan personalitinya, Farid berkata, apa yang penting bagi TV3 ialah berjaya mencipta keserasian.
Bukan itu sahaja, TV3 juga mendapat respons positif daripada orang ramai yang mahu melihat tiga gandingan ini di pentas AJL.
"Kami memerlukan gandingan yang mampu menghidupkan perjalanan AJL dan Faizal, Cheryl serta Ally telah membuktikan kemampuan mereka sebelum ini.
"Maka dengan itu, pemilihan mereka dilihat bertepatan dan kami yakin mereka mampu menjalankan tugas dengan cukup baik," ujarnya lagi.
Saban tahun, AJL tidak akan dapat lari daripada kontroversi dan kritikan terutamanya tentang soal pemilihan lagu yang diangkat sebagai juara.
Melihat kepada senarai lagu yang bertanding pada edisi kali ini, mungkin ada yang sudah meramalkan lagu manakah yang dilihat mampu bergelar juara dengan mudah.
Apatah lagi, kebanyakan lagu ciptaan komposer muda.
Persoalannya kini, adakah juri yang dipilih oleh TV3 kelak mampu memberikan keputusan terbaik demi mengangkat industri muzik ke tahap yang lebih tinggi?
"Sudah pasti kami akan memilih juri yang tahu apa yang mereka lakukan demi memastikan industri muzik tempatan terus berkembang maju," katanya yang masih belum memutuskan senarai juri yang akan mengadili AJL24.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, kesemua lagu yang bertanding akan diadili terlebih dahulu dan ia merangkumi markah sebanyak 70 peratus.
Selebihnya, adalah pada malam kemuncak sekali gus memilih pemenang untuk kategori Vokal dan Persembahan Terbaik.
Sementara itu, bagi Gbam pula, menerbitkan AJL merupakan impian yang dipendam sekian lama sejak mula menyertai TV3 pada tahun 2000.
Lantas, apabila diberi peluang untuk menerajui AJL24 buat pertama kali, dia menganggapnya sebagai satu landasan terbaik untuk menumpahkan kreativitinya demi memastikan AJL24 mampu meninggalkan impak kepada penonton.
Malah, dia juga bersyukur kerana Farid dan keseluruhan krew produksi memberikan kerjasama dan banyak membantunya dalam menjayakan acara anugerah yang cukup berprestij itu.
Gbam juga tidak menafikan AJL24 menyaksikan transformasi besar-besaran dari segala aspek terutamanya teknikal serta teknologi yang ditampilkan.
Semua itu merupakan perancangan yang dilakukan dalam tempoh enam bulan lalu menerusi hasil pemerhatian dan pembelajaran Gbam yang dibawa menonton acara anugerah antarabangsa dan kemuncak American Idol di Los Angeles.
"Buat pertama kalinya juga pentas AJL juga akan dinaik turunkan selain penonjolan dan ini antara kelainan yang kami tonjolkan untuk edisi kali ini.
"Dengan bajet yang diberikan, ini yang kami hasilkan dan apa yang diharapkan semuanya berjalan lancar.
"Memang saya begitu berdebar dan teruja dalam masa yang sama apabila memikirkan harapan semua pihak yang mahu melihat AJL24 akan menjadi sebuah acara yang gah," ujar jejaka berusia 30 tahun ini penuh optimis.
Pada malam itu juga, persembahan artis yang bertanding akan diiringi dengan orkestra yang dipimpin oleh maestro muzik terkenal, Ramli M.S.
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan acara anugerah yang penuh gilang-gemilang ini pada 10 Januari depan yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan laman web, www.tv3.com.my.
Terlebih dahulu, AJL24 akan dimulakan dengan acara karpet merah yang hanya disiarkan menerusi laman web pada pukul 7.30 malam.
AJL24 turut mendapat penajaan daripada dua syarikat terkemuka, Hotlink dan L'Oreal selaku penaja utama untuk acara anugerah terulung ini.
Bagi mereka yang mahu menonton AJL24, anda berpeluang mendapatkan tiket-tiket VIP secara eksklusif menerusi program Malaysia Hari Ini dan Hot FM selaku radio rasmi.
Bukan itu sahaja, tiket-tiket percuma juga boleh didapati bermula 31 Disember ini di Balai Pengawal, Sri Pentas, Bandar Utama.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: