
BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan di Thailand menghidupkan semula misi untuk menumbangkan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva.
Kumpulan berkenaan turut menyatakan bahawa satu perhimpunan yang diadakan di sini semalam merupakan 'pemanas badan' untuk acara lebih besar pada minggu akan datang bagi menjatuhkan kerajaan.
Perhimpunan yang disertai beribu-ribu penyokong bekas perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra diadakan di Monumen Demokrasi bagi menuntut supaya Abhisit meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya baru di Thailand.
Polis berkata, perhimpunan itu disertai lebih 20,000 orang.
Thaksin yang memakai sut dan tali leher berucap kepada para penyokongnya melalui siaran video tetapi tidak menyatakan lokasi sebenar beliau membuat ucapan tersebut.
"Kembalikan demokrasi, keadilan dan kemakmuran kepada rakyat. Kita akan meneruskan bantahan aman ini sehingga pilihan raya baru diadakan," kata Thaksin diikuti tepukan gemuruh daripada penyokongnya.
Thaksin yang popular di kalangan penduduk pedalaman Thai, digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 selepas beliau dikaitkan dengan dakwaan rasuah dan menghina raja.
Bekas perdana menteri itu enggan pulang ke Thailand selepas beliau dihukum penjara selama dua tahun oleh sebuah mahkamah tempatan kerana salah guna kuasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: