KUALA LUMPUR: Bimbang kerjaya mereka dalam dunia hiburan musnah dan nyawa juga mungkin melayang, seramai 10 artis tanah air yang terjerat dengan gejala dadah secara sukarela ‘menyerah diri’ kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta mohon diberikan rawatan pemulihan.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Profesor Dr Mahmood Nazar Mohamed berkata, semua artis itu lelaki dan sebahagian daripada mereka termasuk dalam kelompok yang dianggap popular.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti artis terbabit kerana tidak mahu mengaibkan mereka, tambahan pula mereka sudah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan.
“Kami memang menyediakan program pemulihan ketagihan dadah kepada sesiapa saja termasuk golongan artis. Jadi, apabila 10 artis itu datang mendapatkan bantuan, kami berikan mereka rawatan sewajarnya dan syukur, setakat ini semua artis itu menunjukkan tanda pemulihan yang positif,” katanya.
“Secara umumnya, artis terbabit memberitahu dadah yang sering diambil ialah ganja serta daripada jenis pil. Mulanya ia diambil dalam kuantiti kecil tetapi akhirnya bertambah kerana keperluan akibat ketagihan.
“Mereka mendakwa mengambil pelbagai jenis dadah terbabit kerana gemuruh untuk berdepan penonton, menambahkan kekuatan fizikal untuk mengadakan persembahan dan pelbagai lagi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya akhirnya mereka mula menyedari dadah yang diambil langsung tidak membantu kerjaya mereka, sebaliknya mengakibatkan kesihatan mereka mula terjejas dan periuk nasi mula terancam.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai rawatan pemulihan yang diberikan AADK terhadap artis terbabit, Dr Mahmood Nazar berkata, mereka tidak dihantar ke pusat pemulihan sebaliknya dihantar mengikuti program Pemulihan Dalam Komuniti di mana-mana daripada 93 daerah kelolaan AADK seluruh negara.
“Di sana, mereka akan mengikuti kaunseling selain bertukar pandangan dengan rakan dalam program. Mungkin ada peminat mereka dalam program berkenaan tetapi ia tidak menjadi masalah kerana semuanya bersikap profesional semata-mata mahu pulih,” katanya.
Menurut Mahmood, sebahagian daripada artis itu sudahpun menamatkan program pemulihan dan ada lagi yang masih meneruskannya.
“Apa yang membanggakan, ada daripada artis terbabit sanggup bekerjasama dengan AADK untuk bersama-sama menjalankan program pemulihan jika khidmat mereka diperlukan,” katanya.
Dalam masa sama, Mahmood tidak menafikan ada lagi artis yang terbabit dalam penagihan dadah tetapi tidak mendapatkan apa-apa rawatan pemulihan daripada mana-mana pihak.
“Mungkin mereka bimbang jika peminat tahu berkaitan perkara negatif itu. Dadah tidak tertumpu kepada artis kerana ia boleh berlaku terhadap sesiapa saja.
“Oleh itu, jangan malu untuk mendapatkan rawatan pemulihan kerana tidak kira anda artis atau sesiapa saja, usah musnahkan masa depan semata-mata mahu menjadi mayat hidup,” katanya.
>Usah tipu diri
KUALA LUMPUR: Perkara biasa atau lumrah. Itulah komen dua artis berpengalaman atau ‘otai’ rock, Zuar dari kumpulan XPDC dan penyanyi kumpulan May, Mus mengenai penyalahgunaan najis dadah di kalangan artis tanah air.
Biarpun berpenampilan ranggi dan memperjuangkan genre rock yang sering dikaitkan dengan dadah, Zuar dan Mus menegaskan mereka tidak terbabit dengan bahan terlarang itu, namun mengakui ada di kalangan artis yang mereka kenali terjebak.
Zuar yang juga pemain gitar bass XPDC turut menyifatkan artis yang menggunakan dadah dengan alasan untuk menambah tenaga atau lebih berani sebagai menipu diri sendiri dan hanya menjahanamkan kerjaya mereka.
“Kalau menyanyi atau buat persembahan dengan bantuan dadah itu bukan anugerah tuhan sebaliknya anugerah syaitan. Isu artis guna dadah ini boleh dianggap lumrah tetapi tidak semua artis melakukannya, hanya segelintir,” katanya.
Menurutnya, artis mengambil dadah memberi alasan ia disebabkan mereka tidak yakin pada diri sendiri, rasa rendah diri selain gemuruh berdepan penonton ketika membuat persembahan.
“Tapi bagi saya mereka bohong kalau mengatakan dadah boleh menyebabkan mereka hebat ketika mengadakan persembahan. Ambil contoh diri saya sendiri.
“XPDC lebih kepada muzik keras dan saya perlukan tenaga lebih untuk bermain muzik dan dalam masa sama bergerak lincah di atas pentas. Jika saya mengambil dadah, saya tidak akan mampu melakukan itu semua kerana tubuh saya akan lemah,” katanya.
Menurut Zuar, dadah diambil akan menyebabkan artis terbabit hilang tumpuan dan kebiasaannya, mereka akan lebih banyak ‘merapu’ di atas pentas berbanding menghiburkan peminat.
Zuar juga secara jujur mengaku pernah mengambil dadah jenis ganja ketika awal kemunculannya sebagai artis tetapi tidak lama kemudian menghentikan tabiat buruk terbabit.
“Ketika itu, saya naif dan mengambil ganja kerana terikut-ikut. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kecuali diri sendiri dan selepas beberapa ketika, saya mula rasa tidak sedap badan dan sebagainya.
“Akhirnya saya berhenti mengambil bahan terlarang itu. Dadah paling popular di kalangan artis selalunya daripada jenis pil dan ada juga yang ambil heroin.
“Bagaimanapun, kini terdapat lebih banyak dadah dan saya beranggapan ia menjadi semakin bahaya bukan saja kepada artis malah generasi muda,” katanya.
Zuar berpendapat, artis generasi baru yang mengambil dadah sebagai tidak menerima maklumat tepat berkaitan bahan terlarang terbabit tetapi terpengaruh dengan rakan.
“Kepada rakan artis generasi baru, tidak perlulah mengambil dadah kerana tiada yang istimewanya mengambil dadah. Anda bukan saja menipu peminat jika mengambil dadah tapi juga merosakkan diri sendiri. Lagipun,
peminat lebih suka jika kita bersih dan mempamerkan persembahan tulen bukannya dipengaruhi dadah,” katanya.
Mus pula berkata, dakwaan dadah mampu membuatkan seseorang artis lebih yakin dan bertenaga di atas pentas tidak lebih sekadar alasan atau rekaan semata-mata untuk melindungi kesilapan mereka.
“Pada zaman kegemilangan May, memang dadah menjadi perkara biasa dalam dunia artis. Namun, saya tidak bersetuju jika ada antara mereka yang menjelaskan dadah membantu mereka berkarya. Sepanjang pengalaman saya, kebanyakan mereka sudah mengambil dadah walaupun belum bergelar artis.
“Tetapi, ada juga segelintir di antara mereka yang mengambil dadah untuk bekerja. Kadangkala ada yang terlalu penat bekerja dan terpaksa mengambil benda itu untuk terus bertenaga dan tidak kurang juga kerana tekanan hebat dalam dunia hiburan.
“Namun, kebanyakannya mengambil dadah hanya untuk suka-suka,” katanya.
Mus menambah, pernah suatu ketika dulu dia bekerja dengan seorang artis yang turut terjebak dalam pengambilan dadah. Bagaimanapun, andaian untuk melihat kerja yang dilakukan mereka mencapai tahap cemerlang tidak tercapai.
“Malah, kerja yang dilakukan mereka tidak menepati apa yang kami mahukan. Mereka turut dibelenggu masalah kurang disiplin, tiada komitmen dan sering melakukan kerja sambil lewa.
“Jadi, kalau nak cakap dadah membantu, jelas sekali ia tidak benar. Selebihnya, ia hanya membawa kepada keburukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: