Menyanyi di ruang yang sederhana menjadikan persembahan Atilia dan Noryn sebagai eksklusif
SUDAH lama dua penyanyi yang berada dalam jalur muzik jazz ini mengimpikan peluang bersatu pada sebuah mini konsert. Bukan mereka tidak pernah bergandingan atau berduet dalam siri persembahan seperti di kelab No Black Tie dan Alexis, Ampang, malah paling utama, Noryn Aziz dan Atilia sering menyokong antara satu sama lain.
Khabar gembira buat peminat dan penggemar muzik yang dianggap urban itu, mereka bakal bersatu kerana berdua lebih baik sebenarnya. Impian mereka menjadi kenyataan apabila Noryn dan Atilia bakal bersatu menjayakan Malam Nada Biru di Istana Budaya (IB), 30 Julai ini.
Malam Nada Biru atau Blue Note Nite bukan sesuatu yang asing lagi di luar negara seperti di New York. Di kota itu, ada yang mengkhususkan atmosfera genre jazz semata-mata seperti apa yang ingin dilakukan kedua-dua bintang jelita itu.
Memegang status sama selepas kembali 'solo' tanpa insan bernama suami di hati, apa yang dilakukan mereka kini adalah bukti memastikan kesinambungan legasi aliran muzik pilihan tidak terus berkubur begitu saja.
"Apa yang dilakukan ini sebagai satu permulaan baru terhadap aliran muzik pilihan kami. Sebab itu kami berduet dan siapa tahu mungkin selepas ini akan ada yang mengikuti jejak untuk terus sama-sama memeriahkan industri seni kita.
"Selepas menonton persembahan kumpulan Butterfingers beberapa bulan lalu di IB, saya tertarik untuk merealisasikan Malam Nada Biru di lokasi sama. Kami juga merancang menjadikan acara ini sebagai acara tetap dalam kalendar tahunan mulai 2010.
"Kami dalam perbincangan mahu menggunakan Lambang Sari setiap dua bulan sekali untuk meneruskan acara sedemikian. Kami ingin melakukan sesuatu demi industri dan memanfaatkan kemudahan yang ada di IB untuk hiburan bersama," kata Atilia yang anggun disolek jurusolek kegemarannya, Chomel untuk fotografi bersama Noryn.
Pemilihan lokasi fotografi mereka di IB berprestij itu sebagai simbolik bahawa irama jazz dan R&B bakal bergema dan berkumandang pada 30 dan 31 Julai ini. Hari pertama dikhaskan untuk rakan media, korporat dan tetamu jemputan istimewa. Hari berikutnya dibuka kepada umum. Namun, harus diingatkan tempat adalah terhad kerana Lambang Sari hanya memuatkan kapasiti 281 penonton.
Terlaksananya projek Malam Nada Biru itu, ia dipadatkan hasil kerjasama di antara syarikat Mujik Productions Sdn Bhd (milik Atilia), On & On Productions (Noryn Aziz) dan Bsync Productions. Celah Noryn, ia adalah projek 'kawan-kawan' kerana setiap tenaga penting yang bertanggungjawab terhadap mereka sama-sama memainkan peranan memastikan apa dirancang terus menjadi.
"Baik Noryn dan Atilia, termasuk pengurus kami tidak lokek menyumbangkan tenaga dan masa demi memastikan kelancaran acara itu. Ketika ini, kami mengusahakannya tanpa pembabitan penaja. Malah, kami masih menunggu maklum balas penaja yang mungkin berminat bekerjasama.
"Apa yang kami lakukan ini adalah sesuatu yang positif, yang mampu memberi kesan kepada industri muzik serta apa yang kami pertahankan selama ini. Acara ini sebagai bukti kepada kesungguhan kami dalam bidang seni. Apa yang kami akan hidangkan pada dua tarikh itu ialah perasa muzik kami sendiri," kata Noryn yang mula menyanyi secara serius pada usia 17 tahun.
Sederhana tapi cukup menghibur
PERSEMBAHAN yang disifatkan cukup intim dan mesra itu bakal diiringi pemuzik handalan dan berpengalaman digelar sebagai Mujik Majik seperti Steve Thornton, Jingles, Kevin dan David P Juis.
"Kapasiti penonton tidak ramai dan pasti tidak dapat memuaskan hati peminat yang tidak berpeluang menontonnya. Lalu sasaran kami ialah menerusi penjualan album DVD yang dirakamkan secara langsung pada hari itu. PRS Productions yang pernah merakamkan klip video lagu Sangkar nyanyian saya akan bertindak merakamkan acara itu.
"Set persembahan solo masing-masing akan dibahagikan kepada dua bahagian. Empat puluh lima minit pertama mungkin dimulakan Noryn dan 45 minit seterusnya giliran saya. Hanya pada ruang masa terakhir, kami berduet menyanyikan lagu Sangkar dan Cerita Cinta.
"Kami juga akan memperdengarkan beberapa lagu dalam album terbaru yang masih dalam pembikinan," kata Atilia yang baru merakamkan dua lagu untuk dimuatkan dalam album keduanya dan hanya tinggal lapan lagu lagi untuk dilunaskan proses rakamannya.
Untuk set persembahan itu nanti apa yang dapat dijanjikan ialah mereka akan tampil sebagai diri sendiri. Seboleh-bolehnya mereka juga tidak akan menyanyikan lagu penyanyi lain.
Sedar peluang yang diterima bukan selalu datang, akui anak kepada penyanyi Salamiah Hassan itu, dia yakin penerimaan masyarakat terhadap muzik yang dianggap hanya diterima golongan tertentu saja itu sudah mula meluas liputannya.
"Kami tidak akan bersolek tebal dengan bulu mata berlapis-lapis. Kami mahu lebih dekat dengan penonton. Kami masih nampak cantik dan kasual. Tidak seperti ketika membuat persembahan korporat dan menghadiri sesi fotografi.
"Bukan mudah saya dan Noryn sampai ke tahap sekarang. Jika dulu mungkin ada yang melabel muzik kami diminati hanya kelompok tertentu dan berada, tetapi tidak lagi sekarang kerana penduduk luar bandar juga sudah mula mendengar muzik kami.
"Sebagai contoh, kemasukan muzik indie dua tahun kebelakangan ini membuka mata ramai orang. Ia juga sebagai tanda masa untuk kami memulakan langkah untuk sama-sama melakukan satu permulaan," kata Atilia lagi.
Noryn guna duit sendiri
BERSETUJU dengan kenyataan Atilia, Noryn memberitahu segala 'keperitan' sebelum ini terbayar. Bermula dari bawah, mereka kini terus terbang tinggi mengejar cita-cita kerana pengakhirannya bergantung kepada rezeki ditetapkan Tuhan.
"Muzik bersifat sejagat dan jazz bukan sekadar genre semata-mata. Ada cabang sangat besar di dalamnya. Apa yang penting ialah keaslian yang kami tonjolkan dalam setiap lagu yang dinyanyikan nanti. Selain rezeki, mungkin juga kami 'mendarat' dengan irama ini pada waktu sesuai.
"Kalau nak ikutkan dulu pun saya ada menyanyikan lagu berirama jazz, selepas muncul dengan album solo Fantasi O Realiti. Tapi nak dijadikan cerita, saya senyap seketika sebelum membuat penampilan semula sejak hampir tiga tahun lalu.
"Pengalaman banyak mengajar dan mematangkan hidup. Ia mengajar kita untuk lebih tabah dan sedar di mana kita bermula. Pada akhirnya ia kembali kepada industri, ada yang meminati lagu, artis atau genre muzik yang dipilih," katanya berpuas hati dengan pencapaian peribadinya sebagai penyanyi.
Mengenai album terbarunya selepas Alam Maya, Noryn menerima keterbukaan dan akur dengan kehendak pasaran untuk menyuntik elemen pop komersial di samping terus mengekalkan genre pop.
"Album ini dibuat dengan duit sendiri. Jadi Noryn lebih berhati-hati dan cerewet dalam soal pemilihan lagu. Noryn tidak mahu membazir dengan membuat keputusan salah. Disebabkan itu, Noryn mengambil masa menghasilkan beberapa lagu ciptaan sendiri, selain mendapatkan khidmat nama baru, namun mempunyai idea luar biasa serta segar," kata Noryn.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: