Wednesday, July 22, 2009

Tak pinggir irama tradisional


RAIS dan isteri menyampaikan replika cek serta trofi kepada Azmira.

Peserta Bintang Asli Remaja Kebangsaan sertai pertandingan bukan untuk mencari populariti

LAGU asli mungkin tidak terkenal seperti genre pop mahupun balada dan sering dilihat dipinggirkan masyarakat. Namun sebenarnya masih ada golongan muda yang meminati dan mengagumi lagu asli.

Malah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sendiri mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan (BAR) sejak 1996. Tahun ini, BAR sekali lagi dianjurkan dan yang mengagumkan, pertandingan akhir yang berlangsung Ahad lalu di Auditorium Perdana Angkasapuri itu mendapat sambutan menggalakkan bukan saja dari sudut penyertaan tetapi juga penonton.

Pertandingan akhir yang diadili Rahim Jantan, Aspalela Abdullah, Nassier Wahab, S Atan dan Datuk Johari Salleh itu menyaksikan persaingan sengit enam peserta kategori lelaki dan enam peserta kategori wanita merebut gelaran BAR.

Setiap peserta dikehendaki mendendangkan dua buah lagu iaitu sebuah lagu wajib yang dipilih barisan panel serta sebuah lagu pilihan sendiri. Bagi kategori lelaki, peserta dari Sarawak, Zaharmirzuan Azlan, 19, yang mendendangkan lagu Wak Daeng dan Gambus Ibu memikat hati juri sekali gus melayakkannya bergelar johan dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000.

Tempat kedua pula berpihak kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan, Muhammad Hilmi Idris, 21. Pelajar jurusan perbankan itu memenangi hadiah wang tunai RM8,000 dan tempat ketiga pula menjadi milik Muhammad Hanizam Azman, 18, dari Kedah. Hanizam yang mendendangkan lagu Laila Majnun dan Pantun Dahulu membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.

Juara irama tradisional kategori lelaki dan wanita, Zaharmirzuan Azlan dan Noor Azmira Mohd Rahim dengan trofi kemenangan.

Bagi kategori wanita pula, tempat pertama menjadi miliki pelajar Akademi Seni Warisan kebangsaan (Aswara), Noor Azmira Mohd Rahim yang memikat hati juri dengan dendangan lagu Seri Mahligai dan Air Mata Hati. Zarith Shuhada Mohd Yasin dari Melaka pula yang berada di tempat kedua pula mendendangkan lagu Hati Sedih dan Johor Sport Club. Selain dijulang sebagai naib juara, peserta berusia 18 tahun itu turut memenangi kategori Persembahan Terbaik yang melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM2,000. Manakala tempat ketiga juga menjadi milik graduan Aswara, Mardiana Alwi, 21, dari Senai, Johor yang memikat hati juri dengan lagu Tudung Saji dan Zapin Pusaka.

Hadiah disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais. Turut mengiringi, Ketua Setiausaha, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf.

Kesemua peserta yang ditemui sebaik selesainya pertandingan yang berlangsung hampir dua jam berkata mereka meminati lagu Asli dan menyertai pertandingan sebegini bukan untuk mencari populariti sebaliknya mahu memartabatkan irama itu yang kian dilupakan golongan remaja.

Zaharmirzuan berkata, minatnya terhadap lagu Asli diwarisi dari bapanya Azlan Golie yang aktif menyanyikan lagu Asli. Pemuda yang bertugas sebagai pembantu am itu tidak menyangka nasib berpihak kepadanya dan kebolehan menyanyikan lagu bernada tinggi mungkin kelebihan yang juri lihat ada pada dirinya.

PERSAINGAN sengit 12 peserta Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2009 berakhir dengan penuh kepuasan.

“Mungkin saya memiliki faktor X yang menyebabkan juri memilih saya. Tetapi saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang pada malam ini. Cuma selepas ini saya berharap dapat memartabatkan lagi lagu Asli. Jika ada peluang untuk rakamkan lagu, tentulah saya tidak akan menolaknya tetapi sebelum itu saya perlu belajar lagi untuk memantapkan cara nyanyian,” katanya.

Juara kategori wanita, Azmira pula berkata, dia bangga meskipun baru berusia 20 tahun tetapi berkebolehan mendendangkan lagu Asli yang katanya tidak ramai penyanyi mampu membawakan. Penuntut dalam bidang vokal tradisional di Aswara itu terpanggil untuk menyertai BAR atas dorongan pensyarahnya Rahim Jantan. Bakal menggunakan wang hasil kemenangannya untuk projek semester akhir, Azmira masih belum lagi terfikir untuk mengembangkan lagi sayap nyanyiannya ke peringkat komersial.

“Buat masa ini saya tidak bersedia lagi untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya sepenuh masa. Selepas tamat pengajian di peringkat diploma, saya mahu menyambung pengajian ke peringkat ijazah pula.

“Saya menyertai pertandingan ini atas dorongan pensyarah dan juga minat kepada nyanyian. Tetapi saya hanya meminati lagu Asli. Di Aswara kita boleh pilih genre lagu yang diminati dan saya memilih lagu tradisional kerana minat. Saya bangga menjadi anak muda yang masih boleh menyanyikan lagu yang orang lain kian lupakan,” kata anak ketujuh dari sembilan beradik itu.

Menduduki tempat ketiga pertandingan Suara Emas Irama Asli peringkat UiTM seluruh Malaysia tidak mampu memberi kelebihan kepada Muhammad Hilmi, sebaliknya peserta dari Kelantan itu hanya berjaya menduduki tempat kedua di BAR. Anak muda itu memilih lagu asli kerana ramai anak muda sekarang yang memilih menyanyikan lagu moden sehingga mengenepikan keindahan lagu asli.

Anak muda itu juga yakin biarpun irama tradisional dipinggirkan tetapi penyanyi yang mencari makan melalui irama Asli mampu menyara hidup kerana permintaan tinggi untuk lagu genre sedemikian terutama untuk majlis rasmi.

“Memang saya meletakkan harapan untuk menang pada malam ini dan bersyukur kerana berjaya menduduki tempat kedua. Saya menyertai pertandingan ini kerana minat dan tidak pernah menyertai pertandingan menyanyikan lagu moden kerana sudah terlalu ramai yang menyanyikan lagu berunsur sedemikian.

“Saya juga menyertai pertandingan ini kerana mahu memartabatkan lagu asli kerana saya melihat generasi sekarang kurang peka dengan warisan Melayu sebaliknya mereka lebih mengejar populariti,” katanya yang mengagumi penyanyi veteran Ahmad Jais.

Pemenang tempat kedua, Zarith Shuhada yang turut memenangi kategori Persembahan Terbaik bakal mengadakan kenduri bagi meraikan kemenangan kerana ini pertama kali dia menyertai sebuah pertandingan besar dan memenanginya. Mendapat bimbingan vokal dari guru berpengalaman, peserta berusia 18 tahun yang bekerja sendiri itu meminati lagu Asli kerana ingin mencabar dirinya kerana lagu irama itu bukan mudah untuk dibawa.

Tidak meletakkan harapan tinggi untuk menjadikan nyanyian sebagai karier utama, Zarith menyerahkan semua itu kepada peluang. Jika diberi peluang untuk merakamkan lagu, dia tidak akan teragak-agak untuk menerimanya.

Pada majlis itu yang disiarkan secara langsung di TV2, penonton turut dihiburkan dengan persembahan dari artis jemputan iaitu Noraniza Idris, Haziq, Adibah Noor, Shila (OIAM) dan Jo-anna (Bintang RTM).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: