Monday, July 13, 2009

Sentuhan peribadi Cat


BERTEMAKAN ‘Persandingan dalam Taman Inggeris’, majlis resepsi pelakon Catriona Ross dan pasangannya Shaharuddin Mokhtaruddin (Shaha) yang berlangsung di Bora Ombak, Ampang, malam kelmarin disemarakkan dengan kehadiran ramai selebriti popular tanah air.

Antara selebriti yang hadir dengan pasangan masing-masing ialah penyanyi popular Asmawi Ani (Mawi), Ekin,Wardina Safiyyah, Linda Onn, AC Mizal, Emilia Rosnaida, Arni Nazira, Ako Mustapha, Mustapha Kamal, Sarah Manen Ibrahim (Susan Menon), Riezman Khuzaimi, Kartina Ayob, Nadia Mustafar, Dang Suria Zainordin dan Ad Samad.

Selain itu, Rozita Che Wan, Emelda Rosmila, Aein (kembar Ekin), Serina Redzuawan, Ady Putra, Julie Dahlan, Hanny Harmi, Norlia Ghani, Radhi Khalid, Noniswara, Mahmud Ali Basha dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan, tetamu kenamaan, bekas personaliti TV3, Datin Seri Normala Samsudin dan suami yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid.

Ketika ditemui selepas majlis berakhir pada malam itu, Catriona atau nama sebenarnya, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 29, berkata, majlis resepsi itu begitu bermakna buat dirinya kerana mendapat sentuhan peribadinya sendiri.

“Majis resepsi ini adalah projek peribadi saya sendiri kerana tidak menggunakan khidmat perancang perkahwinan seperti orang lain. Persiapan untuk majlis resepsi ini bermula sejak Disember lalu.

“Saya juga sudah lama mengimpikan majlis perkahwinan seperti dalam cerita dongeng dan nampaknya impian kami berdua itu menjadi kenyataan malam ini.

“Selain itu, gaun pengantin rekaan dari Faizell Azraff ini diberi sentuhan klasik khusus untuk majlis resepsi ini supaya saya boleh simpan gaun pengantin ini untuk diwarisi anak-anak kami kelak,” katanya.

Berbanding dengan dua majlis terdahulu, Catriona berkata, majlis resepsi itu khusus untuk meraikan rakan artis dan pihak media yang tidak dapat hadir ke majlis akad nikahnya yang berlangsung di kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan pada 26 Jun lalu.

“Majlis resepi ini juga bagi mereka yang tidak ada kelapangan untuk menghadiri majlis menyambut menantu di sebelah pihak lelaki di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu yang khusus untuk meraikan keluarga dan saudara mara sebelah Shaha,” katanya.



Catriona yang sudah dua minggu bergelar isteri berkata, dia juga akan berehat seketika sehingga hujung bulan ini sebelum kembali berlakon.



“Selepas majlis resepsi ini, kami sibuk membuat persiapan berpindah ke rumah baru di Jalan Duta. Dalam tempoh terdekat, kami akan berbulan madu di Pangkor Laut Resort. Menyusul selepas itu, kami akan ke Puncak Gunung Jerai, Kedah yang ditaja Hotel Regency, Alor Star pada pertengahan Ogos nanti.

“Pada masa sama, saya masih mempertimbangkan beberapa tawaran berlakon dari pelbagai pihak. Apapun, fokus saya adalah pada pada alam rumah tangga yang baru dibina ini,” katanya.

Sementara itu, Mawi yang tampil sedondon kostum merah hati bersama Ekin berkata, dia hadir ke majlis resepsi itu

kerana memenuhi undangan Shaha yang juga penerbit dan pengarah program di saluran Astro.

“Jika nak diikutkan agenda seni saya dan Ekin padat, namun kami tetap meluangkan masa untuk menghadiri majlis resepsi ini. Maklumlah, pada majlis perkahwinan kami dulu, Shaha adalah antara ‘orang penting’ yang terbabit dalam menguruskan majlis bersejarah kami itu.

“Justeru, kehadiran saya dan Ekin pada majlis ini bukan sekadar membalas budi Shaha dalam merealisasikan majlis perkahwinan kami dulu, malah untuk sama-sama berkongsi kebahagiaan yang dikecapi mereka pada malam ini.

“Sebagai pasangan artis kami juga sama-sama berdoa semoga kebahagiaan yang dikecapi pasangan sama padan ini berkekalan. Jika saya mengenali Shaha, Ekin pula lebih mengenali Cat sebagai rakan artis.

“Saya juga tidak membuat persembahan pada malam ini kerana Shaha mengundang kami sebagai tetamu untuk memeriahkan hari bahagia mereka,” katanya.

Arni yang anggun bertudung dan ditemani suami, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar pula berkata, dia juga tidak ingin melepaskan peluang menghadiri majlis resepsi Catriona pada malam itu.

“Sebenarnya, Cat turut mengundang saya dan suami untuk menghadiri majlis pernikahannya di Kota Bharu tetapi kami tidak ada kelapangan ketika itu. Maklumlah, buat masa ini, saya dan suami berulang alik dari Shah Alam ke Terengganu kerana urusan perniagaan. Justeru, kami memutuskan untuk menghadiri majlis resepsi Cat di Bora Ombak bersama rakan artis lain malam ini.

“Saya juga mengenali Cat ketika kami sama-sama terbabit dalam penggambaran drama Bonda yang juga drama terakhir lakonan saya sebelum berkahwin buat kali kedua ini. Sebagai rakan, saya dan suami mendoakan perkahwinan Cat dan Shaha kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: