Monday, July 13, 2009

Pusat kajian flora dan fauna

Asalnya adalah konsesi balak milik Yayasan Sabah. Namun, hari ini Lembangan Maliau menjadi syurga untuk pencinta alam yang dambakan kehijauan yang masih terpelihara.




"KALAU tutup mata pun saya boleh balik ke kem. Tiada masalah," kata lelaki itu dengan nada selamba. Peliknya, saya tidak menghidu sebarang rasa riak dalam diri lelaki berusia 25 tahun yang lebih senang dengan panggilan Rudy.

Sebaliknya, kenyataan itu dibuat kerana dia begitu bangga bertugas sebagai salah seorang ranger (penjaga hutan) di hutan hujan tropika yang berusia jutaan tahun tersebut.

Malam itu gelap pekat. Angin kadangkala bertiup keras, menggoyangkan dahan dan daun yang menghasilkan kesan bunyi yang agak menyeramkan.

Sementara bintang-bintang pula seakan-akan disorok di balik awan tebal yang sarat mengandungi air, hanya menunggu masa untuk dicurah ke bumi.

Atas rasa ingin tahu dan mahu melihat binatang liar seperti rusa atau musang melintas di depan mata, perasaan itu terpaksa disimpan seketika.

Termangu dalam gelap, semua tangan sibuk menghalakan lampu suluh ke arah dahan-dahan pokok dan semak berhampiran. Dengan harapan, untuk melihat binatang atau serangga yang aktif mencari hidangan pada waktu malam.

"Tengok atas tu. Ada dua mata berkilat-kilat," kata seorang rakan, memecah kesunyian. Pantas, semua lampu disorot ke arah yang sama dan mula meneka apakah binatang itu sebenarnya.

Syurga penyelidik

Setelah mengamati objek itu beberapa ketika, Rudy memberitahu itu adalah seekor tupai terbang. Sewaktu perjalanan pulang, Rudy sempat menunjukkan kesan tapak kaki rusa yang masih baru di atas laluan berlecak itu.

"Rusa lalu di sini tadi. Mungkin sebab kita bising, jadi dia lari lah," katanya.


PEMBANGUNAN di kawasan ini dilaksanakan secara minimum.


Hutan yang dipanggil Lembangan Maliau atau Maliau Basin ini sememangnya menjadi syurga kepada para penyelidik dan pencinta flora dan fauna.

Diselia oleh Yayasan Sabah, pengawasannya turut dibantu oleh beberapa pihak lain termasuklah Jabatan Perhutanan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Muzium.

Disebabkan keunikan Lembangan Maliau, perjalanan sukar dan berdebu sejauh lebih 100 kilometer dirasakan cukup berbaloi.

Lembangan Maliau yang diliputi hutan asli seluas 390 kilometer persegi itu sebenarnya disempadani oleh tebing yang menjangkau ketinggian 1,675 meter dari aras laut.


DARI ATAS IKUT ARAH JAM: PERIUK KERA.
SPESIES kulat yang banyak terdapat di hutan Maliau.
TUMBUHAN berwarna-warni pasti membuatkan eksplorasi lebih menarik.
PENGUNJUNG boleh melihat pelbagai spesies tumbuhan yang unik di Lembangan Maliau.


Keistimewaan Maliau Basin pastinya tertumpu kepada kepelbagaian spesies hidupan liar, sumber air sungai dan air terjunnya. Maka tidak hairanlah jika ia sangat berpotensi menjadi satu lokasi pusat kajian yang sempurna.

"Kawasan ini masih tidak terusik oleh pembangunan. Lagipun, Maliau Basin tidak dibuka kepada semua dan mesti mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan. Mereka yang selalu datang ialah para pelajar dan penyelidik daripada universiti tempatan dan luar negara, termasuklah Universiti Harvard.

"Pengunjung juga tidak dibenarkan membuat sebarang kerosakan. Sehelai daun pun tidak boleh dicabut dan dibawa keluar," kata seorang ranger hutan dari Unit Hospitaliti dan Rekreasi, Mohd. Rafi Bunggau, 38.

Gaharu

Selaku salah seorang ranger, Rafi mengakui pasukannya berdepan cabaran dalam memastikan kayu gaharu yang sangat bernilai tidak dicuri. Harganya yang dinilai mengikut gred boleh mencecah sehingga RM8,000 sekilo (untuk gred A).


LOKASI kajian flora dan fauna ini dilengkapi dengan struktur yang lengkap.






LEMBANGAN Maliau boleh ditinjau dari udara dengan helikopter.


Justeru, pemantauan dan rondaan secara berkala perlu dilaksanakan. Selain itu, sekatan jalan raya juga diadakan bagi menyekat pencuri daripada membawa keluar kayu gaharu dan menjualnya di pasaran gelap.

"Tahun lalu sahaja, sudah tiga kes melibatkan kayu gaharu dicatatkan. Kami juga bertanggungjawab memantau aktiviti pemburu haram yang masuk melalui jalan-jalan pembalakan.

"Mujurlah kami mendapat bantuan daripada syarikat pembalakan untuk memberi maklumat dan melakukan pemeriksaan," tambah seorang ranger kanan, Kho Ju Ming.

Menurut Pengurus Kawasan Pemuliharan Maliau Basin (MBCA), Hamzah Tangki, 36, misteri Lembangan Maliau terletak pada geomorfologinya yang secara langsung mempengaruhi kriteria tumbuh-tumbuhannya.

Lokasi air terjun

Berdasarkan kepada penyelidikan teknikal yang sudah dilaksanakan, pihak pengurusan telah mengklasifikasikan 12 jenis ekologi tumbuhan di sana.

Lebih menarik, hutan itu menjadi lokasi kepada air terjun yang tidak terkira banyaknya. Setakat ini, lebih 10 tapak air terjun dijumpai. Masih banyak yang belum diteroka dan diberi nama.

Hamzah turut menyatakan kelegaan kerana hutan ini sudah digazetkan di bawah Perlindungan Hutan Simpan Kelas 1 bermula pada tahun 1997.

"Kini, pengurusan harus dilaksanakan secara mampan kerana Maliau Basin sudah mula dikenali sebagai satu destinasi pelancongan. Konsep kawasan yang dilindungi membuatkan kami perlu memastikan tidak wujud konflik antara aspek pelancongan dan penyelidikan.

"Jadi, pembahagian zon telah dibuat. Maknanya, ada zon yang boleh dilawati dan ada kawasan yang tidak dibenarkan masuk," katanya.

Menyentuh tentang komuniti yang tinggal berhampiran, pihaknya juga telah mengadakan pelbagai kempen kesedaran.

Terutamanya melibatkan kegiatan seperti memburu binatang dan mencari kayu gaharu yang sudah begitu lama diamalkan oleh masyarakat peribumi di sini. Apatah lagi, Lembangan Maliau terletak hampir dengan banyak kampung tradisional.

Biarpun terletak jauh dari jalan utama, Maliau Basin tidak kurang dari segi infrastrukturnya. Mula dibina sejak tahun 1999, ia dilengkapi dengan bangunan pejabat, bilik seminar, mini teater dan perpustakaan. Sementara itu, bangunan untuk para saintis dan makmal masih berada dalam proses pembinaan.

Asrama

Asramanya pula boleh menampung sehingga 64 orang dalam satu-satu masa dengan selesa. Bagi yang sukakan aktiviti lasak, mereka boleh menjalani aktiviti trekking ke kem-kem satelit untuk melihat air terjun.

Anda juga boleh menikmati keindahan alam sewaktu melalui titian gantung, laluan denai dan banyak lagi.

Pengunjung tempatan dibahagikan kepada kategori A, B dan C. Kumpulan A merujuk kepada pelajar universiti, B ialah penyelidik dan C merupakan pelawat dewasa yang datang tanpa tujuan kajian atau sebagainya.

Kategori bagi pelawat dari luar negara pula ialah D, E dan F yang merujuk kepada aspek sama seperti kategori A, B dan C.

Bayaran yang dikenakan juga berbeza. Misalnya, untuk pelawat tempatan, cajnya ialah RM15 seorang. Mereka dari luar negara dikenakan bayaran sebanyak RM50 bagi setiap individu.

Had masa untuk berada di Lembangan Maliau bergantung kepada pakej yang diambil dan kelulusan yang diterima.

Para pengunjung yang ingin bertandang ke sana digalakkan untuk memandu kenderaan pacuan empat roda walaupun sejak dua tahun lalu, Perodua Kancil sudah mampu untuk meredah laluan yang sangat berdebu dan sampai ke pintu utamanya.

"Namun, mereka perlu menghubungi kami untuk dibawa masuk menaiki trak. Mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang, jalan utama akan siap dan akses akan menjadi lebih mudah.

"Saya berpendapat, orang ramai harus tahu tentang peranan hutan dan ekosistemnya. Sebagai contoh, Maliau Basin berfungsi sebagai pusat tadahan air untuk Sungai Kinabatangan, sungai terpanjang di Sabah.

"Harapannya, pengunjung akan lebih menghargai peranan kami dalam menjaga keharmonian alam sekitar. Sambil menikmati keindahan semula jadi, ambillah peluang untuk menimba ilmu," ujar Hamzah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: