Maya Karin antara 300 peserta yang bersidang pada seminar Projek Iklim Persidangan Asia Pasifik
SELAIN dikenali menerusi pembabitannya dalam dunia seni, Maya Karin turut memahat namanya antara pejuang atau aktivis alam sekitar. Selang beberapa ketika, ada saja aktiviti pemuliharaan alam sekitar yang disertai wanita ini, tidak kiralah kempen penjimatan tenaga, pengurangan pergantungan kepada beg plastik, mencintai haiwan dan sebagainya.
Baru-baru ini, aktres ini terbang ke Melbourne, Victoria, Australia, untuk menghadiri Projek Iklim Persidangan Asia Pasifik anjuran Yayasan Pemuliharaan Australia dengan kerjasama bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore.
Maya ialah antara 300 peserta terpilih yang menghadiri persidangan berkenaan, yang berlangsung di Pusat Seni Melbourne selama tiga hari bermula 11 Julai. Difahamkan, Maya terpilih daripada kira-kira 2,000 peserta yang menghantar permohonan dari Australia dan negara Asia Pasifik lain.
"Tentulah ia pengalaman cukup berharga buat saya kerana selain menyaksikan sendiri pembentangan oleh Al Gore mengenai alam sekitar secara berdepan, serta mendapat tunjuk ajar daripada beliau, ramai lagi penceramah lain yang turut terbabit dalam persidangan itu. Ia satu perhimpunan yang dipenuhi dengan maklumat.
"Apatah lagi pada persidangan itu juga, kami dapat berinteraksi bukan hanya dengan kira-kira 300 peserta dari 19 negara, bahkan kami turut berpeluang berbincang bersama saintis yang juga pejuang alam sekitar veteran. Mereka sudah berusaha mencari penyelesaian terhadap masalah iklim sejak berdekad yang lalu," kata Maya.
Selain Maya, seorang lagi peserta dari Malaysia yang terpilih ke persidangan itu ialah peguam Chew Swee Yoke.
Mengaku kepenatan akibat jadual persidangan yang padat, namun artis ini pulang dengan semangat yang lebih berkobar-kobar demi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mementingkan penjagaan serta pemuliharaan alam sekitar.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk merayu pembaca Berita Harian dan rakyat Malaysia keseluruhannya, supaya mengurangkan penggunaan tenaga. Jika kita kurang menggunakan elektrik atau kereta, contohnya, kita sebenarnya menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar. Kita membantu mengurangkan pengeluaran karbon dari kilang-kilang apabila kebergantungan terhadap tenaga itu sendiri diminimumkan.
"Elakkan pembaziran tenaga, kerana menerusi cara itu, kita bukan boleh berjimat, bahkan sesuatu tindakan yang kecil seperti menutup lampu apabila keluar daripada bilik boleh membawa perubahan besar kepada dunia," kata Maya.
| MAYA (tengah) ketika menghadiri Projek Iklim Persidangan Asia Pasifik anjuran Yayasan Pemuliharaan Australia. |
Tersentuh berita perceraian Sarimah
HATI wanita mana yang tidak tersentuh apabila terdengar kisah rumah tangga wanita lain yang runtuh di pertengahan. Tipu benar rasanya jika khabar kurang enak seperti itu langsung tidak menyentap perasaan. Apatah lagi sekiranya perkahwinan yang menemui kegagalan itu sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan rumah tangga yang dibina.
Pelakon Maya Karin mengaku dia juga terasa apabila mendengar khabar perpisahan rakan seperjuangan, Sarimah Ibrahim dengan bekas suami, Amir Andrew Abdullah. Bukan saja kedua-duanya wanita berdarah kacukan yang terbabit dalam seni, malah dia dan Sarimah sama-sama mendirikan rumah tangga bersama lelaki kulit putih.
"Jauh di sudut hati, tentunya saya turut bimbang apabila didedahkan dengan cerita perceraian mereka. Tidak benar rasanya jika saya nafikan, saya langsung tidak terfikir mengenai perkara itu apabila membaca atau mendengar berita mengenainya.
"Namun, saya berasakan, tindakan Sarimah yang menyimpan berita perpisahannya untuk seketika sebagai sesuatu yang amat baik untuknya. Biarlah detik sedih itu ditangani sendirian terlebih dulu. Saya bimbang, jika pada ketika hati kita masih sakit dan kecewa dengan kegagalan berkenaan, kita akan memberikan ulasan yang tidak sepatutnya kepada wartawan. Ia hanya akan memburukkan lagi keadaan," kata Maya ketika ditemui pada majlis taklimat mengenai kempen baru Nescafe kepada wakil media di Bangsar, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengurus Eksekutif Perniagaan bagi Minuman, Nestle Products Sdn Bhd, Don Howat.
Duta bagi jenama minuman kopi terkemuka itu berkata, pendekatan Sarimah mungkin elok dijadikan contoh oleh artis lain di negara ini, dalam menangani publisiti berkaitan isu lebih kurang serupa.
"Sekurang-kurangnya, setelah buat beberapa ketika cerita peribadi itu disimpan daripada pengetahuan umum, sesuatu berita perpisahan tidaklah panas sangat apabila ia disebarkan kemudian.
"Perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita melayarinya. Atas sebab itu saya agak sedih apabila dengan mudah orang berkata, sudah tiada jodoh antara mereka apabila sesuatu perpisahan tercipta. Bagi saya, perkahwinan ialah produk yang memerlukan penjagaan rapi dan perlu diperbaharui sentiasa," katanya.
Maya yang tampil menawan dengan blaus Marc Jacobs dan seluar Armani pagi itu mengaku, dia bertuah kerana sehingga ke hari ini suaminya, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali, 39, amat memahami diri dan kerjaya yang diceburinya.
Teruja dengan album baru
MENYENTUH soal karier, Maya Karin seronok berkongsi cerita mengenai pembikinan album ketiganya yang kini rancak dilakukan. Sehingga hari ini, sebanyak 45 peratus daripada proses terbabit sudah dilakukan. Ditangani sepenuhnya bersama Audi Mok, album penuh itu dijangka memuatkan 10 lagu apabila ia siap kelak.
"Muzik yang ditampilkan nanti berbeza daripada genre pop yang selalu kita dengar. Saya sendiri terperanjat apabila Audi memperdengarkan muzik terbabit ketika kami mula-mula mencari arah untuk album ini," katanya yang tidak mahu tergesa-gesa menyudahkan produk itu walaupun sudah enam tahun tanpa sebarang album.
Album pertama Maya, Erti Cinta, dihasilkan pada 2001 dan dua tahun kemudian, dia muncul dengan album kedua, Bukan Qalamaya.
Dia mengambil masa yang lama untuk kembali memasuki studio rakaman berikutan karier lakonannya yang tiba-tiba memuncak bermula pada 2003. Judul demi judul dibintanginya, sehingga melayakkan Maya berada pada kelas atas di kalangan pelakon wanita tempatan. Selain itu, lakonannya juga diiktiraf di dalam dan luar negara. Daripada 2004 hingga 2008 pula, dia turut terikat dengan program terbitan Channel V.
"Sekarang, rasanya tibalah masa saya kembali memberikan tumpuan kepada muzik. Saya mahu menghasilkan produk yang berkualiti. Lalu, soal jualan bukanlah perkara pokok kerana saya bekerja dengan niat yang ikhlas di hati.
"Begitupun, sudah tentu saya mengharapkan album itu nanti mendapat perhatian daripada peminat. Maklumlah, ketika ini tidak ramai artis yang mahu tampil dengan album penuh. Jadi, mungkin senario itu membolehkan perhatian orang ramai ditumpukan kepada produk saya hasilkan ini," katanya yang berazam menjadikan album dengan lagu Melayu itu sebagai muzik Malaysia yang boleh dinikmati pelbagai bangsa.
Maya turut memberitahu, selain menunggu tayangan filem Pisau Cukur pada November depan, dia sudah pun bersetuju untuk menjayakan tiga projek filem sebelum berakhirnya tahun 2009. Bagaimanapun Maya enggan mendedahkan dulu judul filem terbabit berikutan penggambaran sebahagian daripadanya terpaksa ditunda.
"Saya tidak suka bercerita mengenai sesuatu projek sebelum saya sah turun ke lokasinya," katanya disulam ketawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: