|
|
SELEPAS dikejutkan dengan dua kontroversi sewaktu peringkat separuh akhir Mentor 3 pada Ahad lalu, apakah kemuncak program pencarian bakat baru melalui bimbingan seorang mentor itu lebih sensasi lagi pada malam kemuncaknya, esok? |
Minggu lalu menyaksikan kejutan kemasukan protege yang dibimbing Ajai, Chaq selepas diumumkan tersingkir, tetapi dimasukkan semula untuk bertanding ke peringkat akhir bersama Fira (Lah VE) dan Black (Mas Idayu).
Tidak cukup dengan itu, Ajai pula tidak menghormati komen juri jemputan malam itu, Jay Jay yang mengkritik protegenya. Turut diundang sebagai juri jemputan malam itu ialah penyanyi Ning Baizura.
TUJUANNYA hanya satu, menerima tanggungjawab diamanah berlandas kejujuran tanpa mengira persahabatan yang terjalin dalam dunia muzik hiburan tempatan.
Malah, tidak sedikit pun terlintas di pemikirannya untuk memalukan rakannya itu di khalayak ramai. Ini kerana, apa dilakukan pelantun lagu Permaisuriku ini adalah berdasar skop kerja yang ditetapkan iaitu pemberian markah dan komen terhadap peserta bertanding secara rasional dan jitu.
Semuanya terjadi apabila Ajai membalas teguran ikhlas dilontarkan Jay Jay kepada protegenya, Chaq, selepas menyampaikan lagu Michael Jackson secara medley di konsert separuh akhir Mentor musim ketiga yang berlangsung di dewan MBSA, Ahad lalu.
Menurut Jay Jay, dari segi tarian, Chaq tiada masalah kerana sememangnya anak muda ini hebat di pentas beraksi pelbagai tarian dalam persembahan keduanya itu.
Namun, dari segi vokal menyanyikan lagu Michael Jackson, 'key' yang dibawa oleh Chaq sangat rendah dan sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti persembahannya.
Ajai kelihatan tidak berpuas hati komen yang diberikan Jay Jay lantas menyampuk dengan menyatakan: "Saya arrange key itu sesuai dengan kemampuan vokal Chaq."
Malah, tanpa ada rasa sopan dan hormat, Ajai secara selamba memalukan juri itu di khalayak ramai dengan menyatakan: "Takkan saya nak pakai baju abang."
Kata-kata Ajai itu bukan saja dilihat seperti mahu memalu serta menjatuhkan kredibiliti Jay Jay selaku juri pada malam itu, tetapi turut menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penonton yang menyimpulkan mentor kepada Chaq ini tidak boleh menerima sebarang kritikan.
Akibat dari sikap Ajai, ramai beranggapan ia mempengaruhi kadar peratusan undian diterima Chaq. Tambahan pula, abang kepada penyanyi Stacy ini sentiasa mendapat peratusan undian yang agak tinggi dalam konsert mentor sebelum ini.
Mengulas mengenai isu ini, Jay Jay mengambil inisiatif untuk tidak mahu berbicara panjang akan kejadian berkenaan, malah langsung tidak mengambil hati dengan kelakuan Ajai pada malam itu.
"Saya langsung tidak terkejut apabila Ajai membalas teguran kerana mengetahui karakter dia sememangnya begitu. Namun, tidak sedikit pun saya terasa hati dengan kelakuan Ajai, malah menerimanya dengan sikap terbuka.
"Saya cuma menjalankan tugas yang diamanah secara jujur dan berhemah. Teguran saya ikhlas kerana key Chaq ketika menyampaikan lagu Michael Jackson terlalu rendah.
"Saya tidak bermaksud untuk menyuruh Chaq menyanyi seperti idola ramai itu, tetapi keynya janganlah terlalu rendah kerana ia persembahan untuk konsert separuh akhir Mentor 3 yang menentukan siapa berjaya ke peringkat akhir.
"Tambahan pula, sebelum memberi komen, saya memulakan dengan permohonan maaf dan tidak sedikit pun memburuk atau menjatuhkan reputasi Chaq dengan kata-kata yang kurang sopan atau kasar.
"Walaupun dia kawan saya, tetapi dari sudut penjurian saya kena betul dan tidak boleh menipu. Lagipun, ini adalah amanah dan sekiranya saya terpesong menjalankan tugas kerana menjaga hati kawan, apa yang akan saya jawab dengan Allah nanti?
"Saya tidak mengatakan yang diri bagus sangat. Saya tahu, ada kelemahan dalam diri, tetapi cuba melakukan sebaik mungkin. Sebenarnya, agak berat juga saya untuk menerima tugas sebagai juri kerana ada yang tidak berpuas hati dengan komen diberikan," jelasnya.
Menurut Jay Jay, dari sudut pandangannya, tindakan Ajai merendahkan key vokal Chaq ketika menyampaikan lagu Michael Jackson itu sedikit sebanyak mempaparkan kelemahan protegenya itu.
"Cuba lihat prestasi Black ketika menyampaikan lagu Madah Berhelah bersama mentornya, Mas Idayu. Sangat hebat malah tidak sedikit pun ditukarkan key untuk dipadankan dengan kemampuan vokal Black. Kita sendiri tahu nyanyian asal Madah Berhelah adalah Ziana Zain dan bukan senang untuk seorang lelaki menyanyikan lagu perempuan yang memerlukan key tinggi.
"Tetapi, Black berjaya melakukannya. Saya tidak bermaksud untuk membuat perbandingan. Cuma, ingin saya katakan sekali lagi bahawa ia adalah satu pertandingan. Justeru, bila pertandingan ia mencabar kreativiti serta kesungguhan peserta itu.
"Jadi, bila dikatakan penyusunan key yang sesuai dengan kemampuan vokal Chaq, maksudnya di sini, ia tidak mencabar kredibiliti protegenya itu untuk pertandingan separuh akhir. Biarpun kelebihan Chaq berupaya menjiwai pentas dari sudut tariannya, tetapi Mentor diwujudkan sebagai platform mencari mereka yang berkebolehan menyanyi dengan baik.
"Apa yang ingin saya sampaikan malam itu, susunan key janganlah terlalu rendah hingga menampakkan kekurangan anak didiknya itu," ujar Jay Jay.
Bagaimanapun, Jay Jay menganggap perhubungannya dengan Ajai berjalan seperti biasa dan tidak tergugat dengan insiden itu.
Malah, Jay Jay mengakui dia tidak menyimpan dendam dan kecil hati terhadap tindakan Ajai. Baginya, insiden berkenaan dianggap sebagai asam garam dalam kehidupan seorang pengkritik.
Menyentuh sama ada tuan punya diri serik untuk menggalas tugas juri pada masa akan datang, beritahu Jay Jay dia akan berfikir sepuluh kali ganda sebelum menerima sesuatu tawaran itu.
"Kejadian ini mengingatkan saya untuk berhati-hati menerima sesuatu tawaran itu. Bukan serik, tetapi saya akan melihat kondisi sesuatu pertandingan itu sebelum menerima menjadi juri buat program berkenaan," katanya.
Sementara itu, untuk kemuncak Mentor 3, Fira, Black dan Chaq akan mengadakan persembahan solo, berduet bersama Mentor dan juga artis undangan.
Chaq akan menggegarkan pentas berduet bersama Stacy, Fira pula dengan juara Gang Starz 2, One Nation Emcees manakala Black dengan Mus dan Shamrin.
Istimewa lagi, mereka akan menyanyikan lagu baru secara solo ciptaan komposer terkenal.
Mereka menjalani latihan selama seminggu untuk memberikan persembahan mantap.
Black yang berada pada keadaan selesa sepanjang pertandingan ini, bakal memberi cabaran hebat kepada Fira dan Chaq.
Namun, Fira dan Chaq yang mempunyai penyokong setia akan terus mara memberikan persembahan unggul pada malam kemuncak yang akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, jam 9 malam dan akan disiarkan secara langsung di TV3.
Hadiah yang menanti pemenang juga lumayan iaitu untuk protege RM100,000 bersama kereta Kia Spektra 5 tajaan Oriva manakala mentor menang RM100,000 sementara tempat kedua, protege dan mentor masing-masing mendapat RM30,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: