Monday, July 13, 2009

Impian Lan untuk buka Zoo 'Land Pet Pet'

Lan Pet Pet (kiri) bersama-sama dengan Lisa Surihani bakal membintangi filem Zoo arahan Azhari Azain, terbitan Metrowealth.

APA ada pada nama? Banyak maknanya lebih-lebih lagi jika ia melibatkan nama julukan seseorang. Istilah atau perkataan yang digunakan dalam sesuatu nama julukan itu mempunyai maksud tersendiri.

Jika nama 'Tomok' bermakna gemuk, nama 'Lan Pet Pet' pula memberikan bayangan awal bahawa si empunya nama ini tentu menyukai binatang kesayangan.

Ini kerana perkataan 'pet' dalam bahasa Inggeris merujuk kepada binatang kesayangan. Tanpa perlu banyak pengenalan, 'Lan Pet Pet' ialah nama julukan yang cukup sinonim dengan pelakon filem Senario, Mazlan Ahmad.

Mazlan yang mempunyai telatah 'gila-gila' tetapi mencuit hati para penonton filem lakonannya mengakui dia sememangnya berjinak-jinak dengan binatang sejak kecil.

Katanya, dia mampu memahami maksud kokok ayam kampung dan siulan burung tekukur. Bagi Mazlan, bunyi tersebut adalah halwa telinga kerana dia dibesarkan di persekitaran kampung.

Ayam-ayam kampung menjadi rakan sepermainan. Dikejar dan mengejar ayam barangkali adalah rutin harian Mazlan ketika kecil dahulu.

"Kita kena faham keletah, kod dan bahasa haiwan. Masalah binatang meragam apabila kita silap mentafsir binatang. Misalnya, kita perlu mandikan kuda atau kucing di kaki terlebih dahulu.

"Untuk mengemudi gajah pula, kita menggunakan kaki menyentuh bahagian tengkuknya. Sentuh tengkuk kiri, ke kirilah ia pergi. Sentuh kanan, ke kanan ia bergerak," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran dan doa selamat filem "Zoo" di Bear Complex, Zoo Negara, Jumaat lalu.

Zoo merupakan sebuah filem komedi fantasi terbitan Metrowealth (MIG). Ia mengisahkan seorang jejaka bernama Lan (lakonan Mazlan) yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan.

SIRIH PULANG KE GAGANG

Ternyata pemilihan Mazlan untuk membawa watak Lan amat kena pada tempatnya bagai sirih pulang ke gagang. Apatah lagi, bukan semua artis mempunyai bakat semulajadi untuk "berinteraksi" dengan binatang dan haiwan liar.

Mazlan berkata, penerbit filem David Teo menawarkannya peluang berlakon dalam filem 'Zoo' ketika penggambaran filem Senario episod 1 selepas menyedari kelebihan semulajadinya itu.

"Cabaran paling besar ialah bagaimana untuk berinteraksi dengan haiwan-haiwan seperti singa, gajah, zirafah, monyet dan sebagainya.

"Saya mempelajari teknik-teknik "bercakap" dengan haiwan-haiwan daripada pekerja-pekerja zoo. Selain itu, saya menonton rancangan dokumentari seperti Adventura, Dr. Dolittle, Animal," kata Mazlan yang menggelar dirinya sebagai Crocodile Hunter's Steve Darwin ala-Malaysia.

Sementara itu, Mazlan menyifatkan peluangnya berlakon dalam filem 'Zoo' tersebut sebagai penggerak cita-citanya membuat dokumentari berkaitan alam haiwan seperti idolanya, mendiang Darwin.

Darwin terbunuh semasa membuat penggambaran dokumentarinya dalam air apabila dadanya tertusuk dengan ekor ikan pari-pari tiga tahun lalu (2006).

"Ketika usia saya menginjak 50 tahun, saya membayangkan diri membuka zoo yang bakal dinamakan 'Land Pet Pet' sesuai dengan nama saya, Lan Pet Pet.

"Bagaimanapun, saya sedar ini memerlukan kos yang tinggi dan ini hanya dalam perancangan buat masa ini," kata pelakon Senario Episod 2, Jangan Pandang Belakang Congkak dan KRU muzikal ini dengan penuh keazaman.

Malah, Mazlan berasa bangga jika dipilih sebagai Duta Zoo Negara, Duta World Wildlife Fund (WWF) dan sebagainya.

ZOO KECIL DALAM RUMAH

Hakikatnya, Mazlan telah mewujudkan zoo kecil di rumahnya. Dia membela ular dan burung. Antaranya, katanya, lima ekor ular albino, hornsnake (makanan untuk ular senduk), batik bisa dan ular Afrika.

"Albino sepanjang lengan itu saya beli dengan kos RM1,000. Kos menjaga albino tidak banyak kerana saya hanya membeli kepala ayam untuk sajian ular-ular tersebut," katanya.

Mengenai penerimaan isterinya Rubytah Abu Bakar @ Che Wan terhadap hobinya, Mazlan berkata, dia pada mulanya berasa geli tetapi kini telah serasi dengan haiwan-haiwan peliharaannya.

Perkara ini tidak mustahil kerana Mazlan ialah Crocodile Hunter's Steve Darwin!

Ada apa pada nama Lan Pet Pet? Banyak maknanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: