Monday, July 13, 2009

FFM22 pecah rekod penyertaan


TROFI baru.... Dari kiri Ahmad Puad Onah, Mohd. Mahyidin Mustakim, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab, Suzannah Liaw, Mustapha Maarof dan Wan Maria Othman Lee bersama trofi FFM22 di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
- Gambar NIZAM SAAHARI


FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang akan berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos ini di Kota Kinabalu, Sabah, memecah rekod tersendiri apabila memperlihatkan peningkatan jumlah penyertaan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Peningkatan kategori Filem Dokumentari paling ketara dengan menerima 94 pencalonan berbanding 41 pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Malam Anugerah FFM22, Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, peningkatan itu turut membabitkan kategori Filem Pendek yang menerima 57 pencalonan berbanding 31 pada tahun lepas.

"Selain itu, kategori Filem Animasi juga meningkat daripada 13 tahun lalu kepada 23 pada tahun ini. Sementara pencalonan Filem Cereka juga menokok pada tahun ini iaitu sebanyak 26 filem berbanding 24 tahun lalu.

"Peningkatan jumlah itu memperlihatkan perkembangan yang positif dalam penerbitan filem dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini," katanya pada sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Mohd. Mahyidin yang juga Ketua Pengarah Finas menambah, Kota Kinabalu turut mencatat rekod menjadi lokasi pertama festival filem itu diadakan di luar Semenanjung Malaysia.

Malah, katanya, selain jumlah pencalonan, FFM22 juga dijangka mampu mencatat jumlah karyawan perfileman dan penonton yang tinggi apabila ia diadakan di ibu Negeri Sabah itu kelak.

"Kami jangkakan 5,000 penonton akan memenuhi Dewan Cancelor, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kalau sasaran itu dapat dicapai, bermakna ia juga suatu lagi sejarah bakal dicipta dalam penganjuran festival ini.

"Ini kerana sebelum ini festival yang biasanya kami anjurkan di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) di Kuala Lumpur hanya mampu memuatkan sekitar 3,000 penonton sahaja.

"Bagi mencapai matlamat itu, kami akan mempromosikan serta menarik ramai pengunjung di Sabah nanti supaya hadir sama menjayakan Malam Kemuncak Anugerah tersebut," ujarnya.

Tayangan filem percuma

FFM22 yang dianjurkan bersama oleh Finas, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Kerajaan Negeri Sabah itu akan mengadakan pelbagai aktiviti sepanjang festival tersebut berlangsung.

Antaranya tayangan 21 filem akan diadakan secara percuma kepada orang ramai dari 6 hingga 8 Ogos ini di pawagam Golden Screen Cinemas, One Borneo, Kota Kinabalu.

"Sementara itu, kami akan mencadangkan lima filem yang bertanding pada kali ini dan memilih dua daripadanya untuk Tayangan Perdana juga di One Borneo pada 5 Ogos ini pukul 8 malam. Judul dua filem itu akan kami umumkan kemudian.

"Malam Anugerah FFM22 akan diadakan pada 8 Ogos mulai pukul 8.30 malam dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1. Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dijangka hadir pada malam itu," katanya.

Sebelum Malam Anugerah, pelbagai aktiviti akan diadakan di sekitar Kota Kinabalu antaranya Bengkel Penerbitan Video, Bengkel Lakonan, Bengkel Penulisan Skrip dan Simposium Perfileman.

Tidak kurang menariknya apabila program Apresiasi Perfileman bersama pelakon dan penerbit filem dari Sabah iaitu Deddy M. Borhan akan diadakan di UMS pada 6 Ogos ini pukul 8.30 pagi.

"Apresiasi itu akan membincangkan filem Keluarga Si Comat lakonan Deddy M. Borhan dan Datuk Aziz Sattar yang akan menjayakan program tersebut," katanya.

Trofi FFM kali ini juga menampilkan trofi baru yang berbentuk empat segi di mana pada bahagian atasnya berbentuk sebuah bola lut sinar yang di dalamnya tertera gambar Gunung Kinabalu melambangkan kemegahan Negeri Sabah.

"Biasanya kita akan tukar bentuk trofi FFM setiap tiga tahun sekali. Mungkin kita akan menggunakan trofi ini untuk tempoh itu dengan mengubah sedikit bentuknya. Itu kita akan fikirkan kemudian," ujarnya lagi.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Presiden Gafim, Ahmad Puad Onah, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Buku Program & Pengiklanan FFM22, Datuk Mustapha Maarof, Pengarah Urusetia FFM22, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab serta dua wakil Kerajaan Negeri Sabah iaitu Datuk Suzannah Liaw dan Wan Maria Othman Lee.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: