![]() Nurul |
BARU saja muncul dengan album solo terbaru berjudul Tika Ini yang diterbitkan syarikat Metadome Sdn Bhd, Nurul tidak betah duduk diam untuk mempromosikan album itu. Malam ini, bekas isteri kepada komposer Ajai itu akan membuat persembahan istimewa di kelab popular, No Black Tie, Kuala Lumpur.
Ia kesempatan terbaik kepada penyanyi dan pelakon hitam manis itu untuk memastikan kehadiran album terbarunya diketahui umum terutama kepada peminatnya. Cik Normah diberitahu ia kali pertama Nurul membuat persembahan di situ. Cik Normah dapat tahu daripada rakan sepejabat dalam keterujaan penyanyi itu nak buat persembahan, turut terselit perasaan gementar dalam hatinya.
Biasalah, siapa yang ada dekat tempat Nurul pun pastinya akan berasakan perasaan sama. Maklumlah, sudah lama Nurul tak membuat persembahan sedemikian rupa. Lagipun, kebelakangan ini, Nurul asyik memberi perhatian kepada bidang lakonan. Kalau ada persembahan nyanyian pun ia dibuat secara tertutup. Cik Normah nak ambil kesempatan ini nak ucapkan selamat maju jaya kepada Nurul untuk persembahan itu dan kemunculan album barunya.
Pada masa sama, Cik Normah juga sedang menanti maklum balas mengenai filem biografi Zaiton Sameon yang dikatakan akan dilakonkan Nurul sendiri. Filem terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd itu adalah filem kedua Nurul selepas Sate. Cik Normah tunggu juga bila perkhabaran ini akan menjadi kenyataan. Cik Normah dapat tahu, perancangan projek ini masih tergendala lagi ketika ini.
Cik Normah harap kalau ada khabar gembira, jangan lupa beritahu Cik Normah ye. Oh ya, sebelum terlupa, Ajai pun khabarnya sedang berkira-kira untuk memperisterikan Liza Ilias sebelum Ramadan ini. Cik Normah tahu Nurul pun gembira dengan cerita ini, malah bersedia untuk meraikan sama-sama hari bahagia pasangan itu. Kalau Ajai dah nak kahwin, Nurul bila lagi nak jemput Cik Normah makan nasi minyak.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: