Thursday, July 23, 2009

Debaran finalis Oo La La


SHA, Emeer dan Amira bersaing merebut juara Oo La La.

Program realiti TV9 yang bersiaran sejak 25 Mei bakal melabuhkan tirai Sabtu ini

SELEPAS Akademi Nasyid, Akademi Al-Quran dan Bintang Idola, TV9 tampil dengan satu lagi program realiti terbarunya Oo La La yang sudah bersiaran sejak sejak 23 Mei lalu. Kini program realiti yang membabitkan peserta berpasangan dengan saudara mara terdekat, bakal melabuhkan tirai pada 25 Julai ini.

Sebagai program baru, Oo La La dilihat sebagai percubaan yang menguji kehendak pasaran. Berbeza dengan program realiti lain, Oo La La menggunakan konsep yang bersifat kekeluargaan dan santai.

Penerbitnya, Azman Abdul Ghafar, berkata melihat kepada skala jumlah penonton ia memang terlalu jauh jika dibandingkan dengan program yang sudah lama diterbitkan.

“Namun maklum balas yang kita terima cukup memberangsangkan. Ratingnya naik secara perlahan-lahan. Kita sedar ia program baru, namun sesuatu yang membanggakan ialah episod terakhir ditonton hampir satu juta penonton. Itu satu suntikan semangat kepada kami untuk menghasilkan pertandingan akhir dengan baik,” katanya yang ditemui Hip di Balai Berita, Isnin lalu.

Pertandingan akhir program Oo La La pada Sabtu ini bakal disiarkan secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, jam 9.35 malam. Masih mengekalkan Sazzy Falak sebagai hos, TV9 turut menjanjikan tarikan istimewa untuk penonton terus melekat di depan kaca TV.



“Saya melihat program ini sebagai kategori kanak-kanak. Apa yang penting pada peringkat akhir nanti diberi penekanan kepada lagu yang dipilih tiga peserta akhir dan corak persembahan.

“Tiga lagu akan dinyanyikan setiap peserta termasuk lagu solo, duet dengan ahli keluarga dan artis jemputan. Nilai tambah dalam usaha menarik penonton pada peringkat akhir nanti semestinya pada artis yang diundang memeriahkan majlis.

“Misha Omar, Ezlynn dan bekas vokalis Meet Uncle Hussain, Lan antara yang terpilih berduet dengan peserta. Selain itu, untuk persembahan lain menghiburkan penonton, pihak kami menjemput juara bagi tiga musim pertandingan Mentor iaitu Pija, Fiq dan yang terbaru, Black. Penyanyi yang dipilih ini bersesuaian dengan sasaran program ini iaitu golongan awal remaja,” katanya.

Tiga peserta ke peringkat akhir Oo La La ialah Emeer, Sha dan Amira. Sha menjadi peserta tunggal yang membabitkan ahli keluarga di kalangan artis. Sha anak saudara kepada penyanyi Aris Ariwatan. Debaran memang kian dirasai peserta akhir ketika ini.

Ketika ini baik Sha, Emeer dan Amira, mereka sedang ligat membuat persiapan akhir bagi memantapkan persembahan kelak. Bagi Emeer atau nama sebenarnya Mohd Emeer Iskandar Mohamad Bakri, demi Oo La La, dia terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur dan Pahang.

Pelajar Sekolah Menengah Indera Mahkota 2 berusia 14 tahun itu sebenarnya bukan wajah asing kerana kerap menyertai pertandingan nyanyian. Selain Oo Lala, dia pernah menyertai My Starz LG musim pertama dan World Championship of Performing Arts (WCOPA),

“Saya bercita-cita nak menjadi penghibur serba boleh dan pada masa yang sama berjaya dalam pelajaran. Melalui penyertaan saya dalam pertandingan nyanyian ini semestinya dianggap menjadi tempat terbaik untuk saya menggilap bakat ke saluran yang betul.

“Program Oo La La bersifat santai. Tekanan itu tidak terlalu berat jika mahu dibandingkan dengan My Starz LG dan WCOPA. Kalau Oo La La, saya bersaing dengan peserta yang lebih kurang sebaya tapi untuk My Starz LG serta WCOPA, saya perlu bersaing dengan peserta yang lebih berusia,” katanya yang akan berduet dengan Lan menerusi lagu dendangan Radja, Patah Hati.

Untuk lagu solo, Emeer memilih lagu Sampai Syurga dendangan asal Faizal Tahir, manakala lagu duet bersama bapanya, mereka sepakat menyanyi lagu Syair Laila Majnun.

Sha atau nama penuhnya, Noor Shahida Jamaluddin, 19 pula akan berduet dengan Misha Omar untuk lagu Cinta. Bagi persembahan solo, Sha memilih tiga lagu tradisional Kurik Kundi, Nirmala dan Dikir Puteri untuk dinyanyikan secara medley.

Persembahan duet Sha dan Aris Ariwatan yang dipanggil Pak Uda merangkumi dua lagu medley iaitu Alhamdulillah (nyanyian Too Phat & Yasin) dan Mentera Beradu (Malique & M Nasir).

“Saya banyak menimba pengalaman menyertai pertandingan nyanyian termasuk Jejak Bintang. Hinggalah saya masuk belajar di UiTM dan wujudnya pertandingan Oo La La. Agaknya seperti sampai masa untuk Pak Uda berkongsi pengalaman seninya kepada saya.

“Tekanan saya mungkin lebih sikit berbanding Emeer dan Amir, kerana ahli keluarga saya di kalangan artis. Lalu, jangkaan orang mungkin terlalu tinggi,” katanya yang seronok dapat menimba pengalaman menyertai Oo La La.

Bagi Amira atau Amira Syahida Mohd Husin sudah pun berjoging untuk meningkatkan stamina persembahannya. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Sungai Buluh itu memberitahu program Oo La La adalah pertandingan besar yang pernah disertainya.

Bercita-cita menjadi konduktor muzik, Amira, 14, turut meminati bidang nyanyian dan sudah biasa menyertai pertandingan nyanyian termasuk di Karnival Keluarga Petronas. Sebagai pencabar kepada Sha dan Emeer, Amira memilih lagu Kaer, Izinku Pergi untuk lagu solo. Lagu Just Dance (nyanyian Lady Gaga) dipilih sebagai lagu duet bersama Ezlynn.

“Untuk lagu dengan emak, kami sepakat memilih Lagu Jiwa Lagu Cinta. Saya juga seronok apabila emak berada di sisi termasuklah ketika menyertai Oo La La ini. Emak antara sumber kekuatan dan keyakinan diri saya. Kalau menyanyi seorang diri, perasaan gementar itu cepat saja dirasai,” kata Amira.

INFO: Oo La La Akhir

  • Disiarkan pada 25 Julai ini jam 9.35 malam.
  • Tiga peserta akhir ini disaring daripada 10 peserta yang berentap daripada peringkat awal.
  • Format undian dibahagikan kepada skala 50 peratus untuk undian SMS dan selebihnya juri profesional yang dilantik.
  • Juara akan memenangi wang tunai berjumlah RM30,000
  • Naib juara, RM20,000 dan tempat ketiga, RM10,000.
  • Diterajui Rini Yulianto Sediono selaku penerbit eksekutif dan Azman Abdul Ghaffar (penerbit).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: