| FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 hingga 8 Ogos depan. Pastinya kedatangan artis untuk menjayakan FFM22 dinantikan penduduk negeri itu. |
Berkongsi kegembiraan itu, produser dan pengarah berasal dari Negeri Di Bawah Bayu, Deddy M Borhan turut terbabit sama menjayakan FFM22. Sebagai penghormatan, Deddy diberi peluang mengendalikan acara apresiasi mengenai filemnya yang akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 6 Ogos.
Pada acara itu nanti yang menjadi antara aktiviti sampingan FFM22, Deddy akan berkongsi pengalaman bersama orang ramai mengenai filem sulung terbitannya, Keluarga Si Comat yang ditayangkan pada 1975. Turut sama terbabit dalam acara itu nanti adalah Datuk Aziz Sattar dan Aimi Jarr.
Deddy, 60, berasal dari Tuaran, Sabah memulakan karier seni sebagai produser filem Keluarga Si Comat. Filem komedi itu yang diarahkan Aziz dilakonkannya sendiri bersama Ibrahim Pendek sebagai pelakon utama.
Selepas itu, Deddy terus menghasilkan filem lain antaranya Pendekar (1977), Kisah Seorang Biduan dan Si Badul (1979), Toyol dan Sumpah Semerah Padi (1981), Azura dan Di Ambang Kasih (1984), Pagar-Pagar Cinta (1986) dan Yang Disayangi (1992).
Selain menjadi penerbit, Deddy juga pernah mengarah antaranya filem popular, Azura lakonan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud. Deddy juga pernah berlakon menerusi filem Hapuslah Air Matamu (1976), Pendekar dan menjadi pelakon utama Sumpah Semerah Padi.
Mungkin ramai yang tidak tahu, Deddy atau nama sebenar Maddin Borhan mendapat nama komersialnya daripada Broery Marantika yang turut terbabit membintangi filem Hapuslah Air Matamu.
Ikuti temu bual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Deddy berkongsi pandangan mengenai FFM22 dan pengalaman sepanjang lebih tiga dekad berjuang dalam persada perfileman tempatan.
SOALAN (S): Apa pandangan anda mengenai FFM22 kali ini?
JAWAPAN (J): Setakat ini, saya melihat semua berjalan lancar mengikut jadual. Biarpun hanya tinggal dua minggu sebelum FFM22 diadakan, aspek publisiti masih kurang sama ada menerusi TV mahupun media cetak. Pada saya, aspek ini penting dalam menarik perhatian orang ramai untuk hadir sama memeriahkan acara ini.
J: Seperti FFM22, kita dapat lihat penganjur memperkenalkan trofi baru yang akan diberikan kepada pemenang. Aspek trofi ini juga sebenarnya memberi perkembangan positif kepada FFM22. Berbanding tahun sebelumnya, ada trofi yang diterima pemenang rosak dan patah. Namun, kali ini penganjur membaiki kelemahan itu. Bagi pemenang, trofi ini memberikan makna mendalam. Secara keseluruhan, acara ini masih mengekalkan format penjurian yang sama.
Di sebalik kemeriahan acara ini setiap tahun, saya kecewa dengan sikap segelintir artis kita. Jika dulu, artis kita memberikan komitmen 100 peratus dalam menjayakan acara ini, kini ada antara mereka yang menganggap acara ini hanya remeh dan sekadar majlis makan malam. Masalah sikap ini paling ketara pada artis generasi baru.
Ada segelintir artis hanya hadir apabila mereka mendapat segala kemudahan seperti penginapan dan pengangkutan yang disediakan penganjur. Sepatutnya karyawan kita faham tanggungjawab menjayakan acara ini bukan hanya menyokong persada hiburan tempatan, tetapi daripada acara ini juga mereka dapat cari makan dengan pelbagai tawaran baru.
Jangan fikir sokongan artis pada acara ini semata-mata untuk orang lain sebaliknya ia adalah untuk diri sendiri. Acara ini bukan juga majlis suka-suka untuk artis melaram dengan baju cantik.
S: Bagaimana dengan pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran FFM22?
J: Pemilihan ini adalah atas inisiatif Kerajaan Negeri Sabah menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk menjadi penganjur bersama. Saya berpandangan acara ini memberi perkembangan positif pada dua aspek penting.
Pertama, ia mewujudkan integrasi kaum yang lebih erat apabila semua lapisan masyarakat tidak kira dari Semenanjung atau Sabah dapat menjayakan acara ini bersama. Kedua, acara ini diharap dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat kita yang masih menganggap Sabah bukan negeri dalam Malaysia.
Sebelum ini, masih ada tanggapan sedemikian yang seolah-olah menganggap Sabah hanya negeri kecil dan orang Semenanjung berasakan tidak penting untuk ke sana. Menerusi FFM22, saya berharap persepsi ini dapat diubah dan masyarakat kita lebih bersatu.
S: Bagaimana dengan kualiti filem kita hingga kini?
J: Penerbitan filem kini sudah banyak menggunakan teknik penggambaran dan produksi moden hingga kos meningkat. Suatu ketika dulu, jumlah RM200,000 sudah cukup untuk menghasilkan satu filem, tetapi kini kebanyakan filem melaburkan belanja mencecah jutaan ringgit apatah lagi bayaran kepada pelakon juga tinggi.
Bagi karyawan filem, kita boleh menghasilkan filem yang menggunakan kos sehingga RM20 juta, tetapi persoalan, aspek mutu belum dapat dipastikan. Daripada aspek teknikal, ia suatu perkembangan yang bagus, tetapi kualiti filem tempatan perlu lebih diberi perhatian.
Karyawan filem perlu memikirkan filem tidak seharusnya dihasilkan sekadar tangkap muat, suka-suka dan tayang. Apa yang berlaku kini, kualiti filem bergantung pada kos. Apabila mahu membuat filem bajet besar, bayaran kepada pelakon dan kru juga besar.
Menjadi trend, apabila seorang produser menghasilkan filem seperti kisah hantu, ramai produser lain yang turut buat filem yang sama. Masalah berlaku apabila filem dibuat tanpa memikirkan mesej yang ingin disampaikan pada penonton.
Dalam pada itu, kemunculan produser bukan Melayu menerbitkan filem Melayu adalah suatu yang digalakkan. Bagaimanapun, kita perlu ada garis panduan yang sesuai agar mereka dapat ikut cara filem Melayu. Filem kita tidak perlu terlalu mengikut rentak filem Hollywood yang mengetnepikan aspek moral pada penonton.
Biarpun Hollywood berbangga dengan superhero mereka seperti Superman, kita juga boleh cipta superhero baru. Namun, konsep pada pembikinan filem seperti ini perlu diberikan fokus yang teliti.
S: Apakah anda pernah kecewa sepanjang berkarya?
J: Sebenarnya sudah banyak kali saya kecewa. Ketika mula saya berkarya pada 1974, karyawan filem berdepan dengan pelbagai cabaran. Ketika itu, Perbadanan Filem Nasional (Finas) belum wujud apatah lagi filem Indonesia bermaharajalela ditayangkan di sini.
Saya kecewa apabila pemilik pawagam hanya tayang filem tempatan ketika Ramadan manakala filem Indonesia terus menguasai pawagam kita. Situasi itu sudah berubah kini. Memang sepatutnya filem kita mendapat tempat di negara sendiri untuk ditayangkan, tetapi penonton akan muak tanpa kehadiran filem luar negara. Kehadiran filem luar negara memberi pilihan pada penonton, tetapi ia perlu dikawal.
S: Filem Keluarga Si Comat dikatakan pencetus kepada lebih banyak penerbitan filem komedi selepas itu. Apa komen anda?
J: Pada saya, kemunculan filem komedi lain sebagai satu pertandingan yang sihat. Tidak salah untuk produser menghasilkan filem yang menampilkan genre yang sama dan ia adalah lumrah dalam perfileman sama ada tempatan mahupun antarabangsa.
Penerbitan filem sebegini perlu mempunyai strategi yang teratur agar dapat menarik perhatian penonton ke pawagam.
S: Apa cadangan anda untuk membaiki kualiti filem kita?
J: Persada hiburan kita masih memerlukan ramai pelakon berbakat dan skrip yang menarik. Aspek teknikal bukan lagi masalah kerana filem yang sanggup membelanjakan kos yang banyak, mampu mendapat produksi yang terbaik.
Untuk perkembangan filem tempatan pada masa akan datang, pertambahan ramai produser filem termasuk kru produksi juga penting. Apabila kita mempunyai ramai karyawan seni, saya berharap penonton juga dapat beri sokongan kepada filem tempatan.
Apapun, sebelum penonton beri sokongan, artis perlu sokong diri sendiri untuk berjaya. Mengapa filem atau drama luar negara mendapat sambutan penonton kita. Untuk kemajuan, kita perlu lakukan pembaharuan dan kepelbagaian dalam karya tempatan.
Apabila karya kita berkualiti, kita mampu atasi karya luar negara. Kawalan pada filem luar negara juga perlu dititikberatkan supaya tidak memberi kesan tidak sihat kepada penonton tempatan.
S: Apa harapan anda pada FFM22?
J: Harapan saya besar untuk melihat FFM22 di Sabah kali ini berjaya dengan pembabitan ramai artis. Menerusi FFM22, ia memberi peluang kepada orang di Semenanjung untuk mengenali Sabah dengan dekat.
Tidak perlu ada persepsi berbeza antara orang Semenanjung dengan Sabah. Seperti saya katakan, FFM22 mewujudkan integrasi antara kaum dan ini dapat menjayakan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini. Bagi mereka di Sabah mahupun Semenanjung, hadirlah beramai-ramai menjayakan acara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: