Monday, July 20, 2009

Artis Indonesia ‘menang besar’ di APM 2009

JIKA diteliti secara kasar, artis Indonesia lebih banyak menggondol trofi di Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang berlangsung Sabtu lalu berbanding artis Malaysia dan Singapura.

Dalam sembilan kategori terbaik yang dipertandingkan, tujuh kategori disapu bersih oleh artis Indonesia manakala dua kategori lagi dimenangi oleh artis Malaysia.

Afgan memenangi dua kategori.

Kategori yang dimaksudkan adalah Duo/ Kumpulan Terbaik (Yovie & Nuno/ The Special One), Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Duo/ Kumpulan Baru Terbaik) (Kotak/ Masih Cinta) dan Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu (Lagu Be Te oleh artis, Dewiq feat Ipank, penulis lagu: Pay & Yudi, dan penulis lirik: Dewiq).

Lain-lain kategori termasuk Artis Lelaki Terbaik (Afgan/ Confession No. 1), Artis Wanita Terbaik (Bunga Citra Lestari/ Tentang Kamu ), Lagu Terbaik (Laskar Pelangi/ Album: OST Laskar Pelangi, artis: Nidji, penggubah lagu: Nidji dan penulis lirik: Giring) dan Album Terbaik (Confession No. 1 oleh artis, Afgan dan produser: Tessy DJ & Fajar PJ Maringka).

Persoalannya, apakah kemenangan lebih banyak berpihak kepada artis Indonesia disebabkan mereka merupakan negara tuan rumah?

Ayu

Atau artis dari negeri lain belum cukup ‘terbaik’ untuk meraih anugerah yang dipertandingkan?

Jika begitu penyanyi tempatan iaitu Aizat dan Ayu telah berjaya merangkul gelaran ‘terbaik’ bilamana kedua-duanya memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu.

Dengan lagu Hanya Di Mercu, Ayu telah berjaya mengalahkan Aura Kasih menerusi lagu Mari Bercinta, Cinta Laura (Oh Baby), Nana (Lafaz), Stacy (Aku Stacy) dan Yuna (Dan Sebenarnya).

Aizat (tiga dari kanan) turut memenangi dua kategori

Sementara Aizat yang mempertaruhkan lagu ‘Hanya Kau Yang Mampu’ telah berjaya menewaskan pesaingnya iaitu Afgan (Terima Kasih Cinta), Dirly (Sampai Ke Ujung Dunia), Lobow (Kau Cantik Hari Ini) dan Nubhan (Ada Untukmu).

Logik atau tidak, bagaimana Afgan yang kalah dengan Aizat dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu boleh menang pula dalam kategori Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik menerusi album ‘Confession No. 1’.

Kemenangan Afgan bagaikan sudah dijangka kerana ramai penonton yang berteriakkan namanya untuk memenangi setiap kategori yang mencalonkan dirinya.

Lebih mengejutkan apabila penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza gagal meraih gelaran Artis Wanita Terbaik yang dipegangnya selama enam tahun berturut-turut menerusi album ‘Lentera Timur’ dan ditewaskan oleh Bunga Citra Lestari dari Indonesia yang mempertaruhkan album ‘Tentang Kamu’.

Namun, ia bukanlah kekalahan pertama Siti kerana penyanyi popular Indonesia Kris Dayanti telah memenangi kategori itu pada APM 2009.

Bunga juga kelihatan terkejut semasa namanya diumumkan sebagai pemenang lalu meluahkan ‘shock banget’ semasa memberikan ucapan serta turut tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada suami tercinta, pelakon Ashraf Sinclair yang turut hadir ke majlis itu, keluarga, pengurus dan APM.

Persembahan pembukaan yang unik!

Lupakan sekejap tentang persoalan itu, kerana ada perkara yang menarik untuk dikongsikan tentang APM 2009.

Datuk Siti Nurhaliza ditemani oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa.

Antaranya adalah persembahan pembukaan yang unik iaitu tarian kebudayaan Indonesia.

Selepas itu, ketika sesi memperkenalkan hos, Aznil Nawawi yang mewakili Malaysia mengenakan baju kemeja beserta tali leher yang bertemakan warna bendera Malaysia iaitu merah, biru dan kuning.

Majlis ini kurang memaparkan segmen hos utama yang turut menampilkan Nirina Zubir dari Indonesia dan Aura Shal (Singapura) berceloteh panjang.

Yang pasti setiap kali mereka bersama, Aznil tentu menukar pakaiannya dan boleh dikatakan kira-kira lima pasang baju yang ditukarnya berbanding dua pengacara wanita lagi hanya mengenakan pakaian yang sama.

Selain upacara menyampaikan trofi, majlis itu turut diselang-selikan dengan persembahan artis melibatkan tiga buah negara ini.

Kumpulan Nidji merupakan artis pertama yang menyanyi selepas persembahan permbukaan dengan lagu ‘Arti Sahabat’, Reshmonu (Oh Anok-Anok), Stacy (Gagap), Dewi Sandra (I Love You), Nana (Lafaz), Ayu (Hanya Di Mercu), Aizat (Hanya Kau Yang Mampu), Bunga Citra Lestari (Pernah Muda), Afgan (Bukan Cinta Biasa), Taufik Batisah berduet dengan Hady Mirza (Kepadanya), ST 12 (Cari Pacar Lagi), Siti (Cindai dan Di Taman Teman).

Turut serta adalah Didicazli (Impianku), Yovie & Nuno (Dia Milikku), Hujan (Pagi Yang Gelap), Nidji (Laskar Pelangi), Kotak (Beraksi), Faizal Tahir (Bencinta) dan duet Faizal Tahir dengan Taufik Batisah menerusi lagu ‘Isabella’ sebelum dinyanyikan sekali lagi oleh ST 12 dengan versi ala-ala dangdut dan diikuti oleh lagu ‘Puspa’.

Aznil Nawawi selaku pengacara majlis.

Selain itu, kewujudan pembawa trofi yang memakai pakaian seperti angkasawan dan makhluk asing nampak agak kelakar tetapi menunjukkan suatu kelainan memandangkan anugerah ini berkaitan dengan ‘planet’.

Memetik kata-kata Nirina Zubir, majlis ini dihasilkan untuk membawa muzik setinggi-tingginya setinggi angkasa.

Majlis berprestij yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Senayan ini turut dapat ditonton menerusi saluran Astro Ria.

Ucapan pemenang:

Aizat-Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki)/ Hanya Kau Yang Mampu

“Terima kasih pertama kalinya kepada Allah, seterusnya keluarga, penulis lirik Taufik Batisah dan arranger lagu ini Sham Kamikaze.”

Ayu- Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Wanita)/ Hanya Di Mercu

“Ayu nak ucapkan terima kasih kepada Monkey Bone dan Unit 8TV, keluarga, Malaysia dan APM. Tidak lupa juga kepada Indonesia.”

Afgan- Artis Lelaki Terbaik/ Confession No. 1 dan Album Terbaik/ Confession No. 1 oleh artis, Afgan dan produser: Tessy DJ & Fajar PJ Maringka

“Terima kasih kepada penyokong Afgan selama ini di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.”

Band Nidji- Lagu Terbaik/ Laskar Pelangi, Album: OST Laskar Pelangi, penggubah lagu: Nidji dan penulis lirik: Giring)

“Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Terima kasih kepada keluarga, ‘Nidjiholic’. Jangan takut, jalan terus dan maju terus Indonesia.”

Band Gigi- Anugerah Khas Planet Muzik

“Alhamdulillah, 15 tahun kerja kami, Gigi dihargai APM dan Media Corp. Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah, isteri-isteri dan keluarga kami. Gigi takkan tampil di sini kalau ‘management’ tak berada di belakang Gigi.

“Baru-baru ini kami dan empat band lain baru balik dari Malaysia menjayakan Festival Muzik Pesta Malam Indonesia 3. Orang di sana memperkatakan tentang apakah patriotik muzik Indonesia dimain di Malaysia. Kami ingin tekankan yang artis tidak pernah salah dan muzik tidak pernah salah. Artis Malaysia dan Singapura juga masih boleh menyanyi di Indonesia.

“Banyak band yang sangat bagus di Indonesia, Singapura dan Malaysia tetapi kebetulan kali ini kami yang dapat. Alhamdulillah.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment