Sunday, July 12, 2009

Airit Rayyan penyambung bahagia




TIDAK dapat digambarkan dengan perkataan sebaliknya syukur ke hadrat Ilahi apabila hasrat untuk memiliki cahayamata dimakbulkan juga. Setiap orang yang berumah tangga, tentu sahaja mengharapkan impian itu.

Pada 8 Julai lalu, pelakon Rita Rudaini Mokhtar,33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 22, merupakan pasangan yang amat gembira kerana mereka dikurniakan sesuatu yang amat berharga dalam rumah tangga.

Lahirnya Airit Rayyan Rizqin kira-kira pukul 1.30 tengah hari di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur membawa sinar berbeza dalam rumah tangga pasangan ini. Mana tidaknya selama ini rumah tangga mereka sering diuji. Bergelora bak air di lautan.

Malah semasa dalam tempoh mengandung pun Rita masih merasai tekanan akibat ujian yang tidak berkesudahan itu. Tetapi harapannya satu selepas dikurniakan cahaya mata kehidupan mereka sekeluarga akan bertambah bahagia dan erat buat selama-lamanya.

Umum sudah mengetahui perkahwinan Rita dan Aidil di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 itu mendapat tentangan keluarga lelaki. Tetapi itu peristiwa dulu. Hari ini keadaan mungkin akan berubah apabila lahirnya seorang penyeri yang diharap dapat menjadi penyambung kepada silaturahim yang retak itu.

“Saya harapkan dengan lahirnya anak kami ini ia bukan sahaja dapat menjadi penyeri dalam rumah tangga kami sebaliknya menjadi penghubung kepada apa-apa yang keruh,” ujar Rita.

Tidak mahu gambarnya dirakamkan ketika berada di hospital, Rita turut berterima kasih kepada ibu dan bapa mertuanya iaitu Azizah Arshat, 56 dan Abd. Radzak Salleh, 59, kerana sudi menziarahinya.

Bercerita pengalaman melahirkan anak, Rita akui sebenarnya bukan mudah. Tapi dia bersyukur ketika berada dalam keadaan cemas untuk bersalin itu si suami ada bersama.

Malah Aidil juga turut melihat sendiri bagaimana sukarnya seseorang bernama isteri atau ibu itu untuk melahirkan bayi. Ia satu cabaran yang bermakna.

Bercerita soal cabaran, Rita sudah merasainya sejak mengandung lagi. Manakan tidak, saat itulah dia menangis seorang diri kerana ditimpa dengan pelbagai tekanan. Tapi syukur, Rita akhirnya dapat melahirkan anak mereka yang sihat dan selamat.

“Bayi ini amat istimewa dalam hidup Rita kerana dia susah dan senang bersama ibunya. Dia menjadi penguat kepada semangat Rita ketika menempuh hari-hari yang sukar,” katanya.

Mengambil keputusan untuk bercuti selama tiga bulan sebelum kembali aktif berlakon, Rita akan pulang ke kampung halamannya di Perlis sehingga habis tempoh berpantang.

Pertama kali bersalin, tentu saja dia memerlukan tunjuk ajar daripada ibunya Basariah Ibrahim, 58, bagaimana menjaga anak. Yalah, Rita mengakui dia agak kekok kerana tiada pengalaman itu.

Bagi Aidil pula tiada yang dapat digambarkan apabila bergelar ayah. Mahu anaknya memanggil dengan panggil Daddy, Aidil mengakui dia amat gembira dengan kelahiran cahaya matanya itu.

Pertama, dia sudah mempunyai zuriatnya sendiri dan keduanya apabila ibu dan bapanya datang melawat. Kata Aidil ia seperti isyarat iaitu segala kekeruhan yang pernah berlaku dapat dijernihkan semula.

“Saya terperanjat bila tengok mak dan abah datang untuk melihat cucu mereka. Ini petanda yang baik untuk saya,” ujar Aidil.

Selain ibu dan bapanya itu, kembar Aidil iaitu Zaquan turut meluangkan masa bertandang ke pusat perubatan itu. Berkongsi pengalaman bergelar ayah, menurut Aidil sesuatu perasaan yang luar biasa hadir ketika bayinya itu berada di atas tapak tangannya.

“Saya cakap inilah anak aku. Memang saya benar-benar terharu. Lagipun saya memang suka budak-budak,” katanya.

Semasa berada di bilik bersalin, Aidil turut merakamkan saat-saat doktor mahu menyambut kelahiran anaknya itu. Tetapi sebelum itu Aidil mengaku dia hampir- hampir nak pengsan kerana tidak tahan dengan bau ubat-ubatan di dalam bilik berkenaan selain terpaksa melihat darah.

Tapi perkara itu memberi banyak pengertian buat Aidil bagaimana susahnya menyaksikan seseorang isteri itu mengandung dan melahirkan anak.

“Saya dapat bayangkan anak ini akan membawa saya dan Rita menjadi lebih bahagia,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: