Wednesday, July 22, 2009

“Abaikan apa orang lain hendak cakap"

Kerjaya seni gadis dari Putatan, Sabah ini lebih banyak berlegar-legar dengan cerita kontroversinya berbanding kerjaya. Sejak menjuarai One In A Million (OIAM) musim kedua tahun lalu, nama Ayu Damit cukup sinonim dengan cerita sensasi. Daripada kisah suka berfoya-foya di kelab hiburan, dituduh mabuk, berimej minah rempit sehinggalah kepada sifat peribadinya yang lepas laku, Ayu tidak henti-henti menjadi sasaran media.

Buka saja akhbar atau majalah, ada saja cerita tidak manis mengenai gadis kecil molek itu dipaparkan. Bukan saja media cetak tetapi cerita sensasi mengenainya turut dijaja di laman forum.

Biarpun soalan yang ditujukan padanya cukup panas, namun Ayu menjawabnya dengan senang hati bagi menjelaskan perkara yang sebenarnya. Ayu mengakui ada ketika gosip seperti itu cukup mengguris hatinya sehingga pernah terfikir untuk bersara saja dalam dunia seni. Namun, mengenangkan itulah cabaran dan harga yang perlu dibayar sebagai seorang anak seni, semuanya itu ditelan Ayu bulat-bulat.

Tekadnya, selepas kemunculan album Inspirasi, dia mahu terus memburu cita-cita tanpa perlu menoleh ke belakang.

“Sebagai orang baru dalam industri ini, Ayu akur bahawa tak semua orang suka pada kita. Jadi bila orang tak suka kita, ada saja cerita yang tak betul mengenai diri kita disebarkan. Pada Ayu, cerita yang kononnya Ayu mabuk di pusat hiburan , itu semua tidak benar.

“Ayu tahu nak membezakan mana buruk dan yang mana baik. Takkanlah Ayu nak buat perkara yang tak elok dan mencemarkan imej sendiri. Lagipun Ayu ada keluarga, hati mereka perlu dijaga. Apa pun, apa saja orang kata mengenai Ayu, Ayu terima dengan hati yang terbuka,” jelas Ayu dalam keadaan kesal.

Sebelum ini, imej Ayu turut dipertikaikan oleh banyak pihak. Tetapi Ayu hanya menjawab bukan mudah untuk menjaga hati semua orang. Menurut Ayu, dirinya sendiri lebih selesa untuk mengenakan jeans dan kemeja-T tetapi untuk menjaga imej sebagai artis, Ayu terpaksa akur dengan kehendak pengurusan.

Ayu juga menjelaskan bahawa segala khabar-khabar angin yang dibaca di akhbar diterima dengan hati yang terbuka.

“Mulut orang mana boleh tutup, terpaksa redha saja. Tapi tak dinafikan sewaktu mula-mula keluar dari program OIAM dan terpaksa mendengar cerita seperti ini, Ayu memang tertekan. Rasa malu pada semua orang sehingga pernah terniat untuk berhenti saja dari bidang ini. Namun mengenangkan tujuan utama Ayu menceburi bidang seni kerana mahu membantu keluarga, Ayu biarkan saja. Lagipun Ayu mendapat sokongan daripada keluarga dan mereka faham situasi yang dialami Ayu saat itu,” luah Ayu menjelaskan isi hatinya.


Album pengubat duka

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya impian Ayu untuk mempunyai album penuh tercapai apabila album yang berjudul Inspirasi dilancarkan pada 2 Julai lalu.

Album yang memuatkan 9 buah lagu tersebut adalah yang terbaik hasil gabungan kerjasama komposer-komposer terkenal tanah air seperti Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan, Audi Mok, Nur Fatima serta ramai lagi. Nabil yang pernah menyertai program realiti Mentor musim pertama turut diundang sebagai pasangan duet Ayu menerusi lagu Janji Kita.

Dari segala pengalaman dan pembelajaran Ayu, Inspirasi merupakan satu signifikasi proses tersebut untuk dipersembahkan kepada peminat beliau serta mendekatkan dirinya kepada umum dan berharap muzik yang disajikan dapat memberi impak yang terbaik.

“Apa yang boleh Ayu katakan, album ini dibuat dengan penuh teliti. Ayu memang berpuas hati dengan penghasilan album ini kerana Ayu diberi peluang untuk bekerjasama dengan komposer hebat yang ada di negara ini.

“Dan setiap dari mereka, masing-masing ada kelebihan tersendiri. Walaupun mengambil masa setahun disiapkan tapi Ayu tak kisah asalkan hasilnya mengagumkan. Tajuk Inspirasi ini memang Ayu sendiri yang mahu, kerana album ini dihasilkan oleh mereka yang selama ini banyak memberikan inspirasi kepada Ayu,” jelas Ayu yang kelihatan amat teruja dengan penghasilan Inspirasi.

Sabtu lalu, Ayu melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi apabila berjaya memenangi anugerah bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Hanya Di Mercu) di Anugerah Planet Muzik 2009 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: