Sunday, June 21, 2009

Zon privasi Camilla




BUKAN nama yang meledak dengan gosip murahan, Camilla Belle Routh atau Camilla Belle mempunyai landasan sendiri dalam dunia hiburan.

Dikenali sebagai pelakon muda yang cukup berkaliber, dia membina reputasi dengan terbabit dalam filem-filem ‘berat’ yang hebat.

Tentunya kemuncak kemunculan gadis berusia 23 tahun ini dikesan melalui lakonan bermutunya dalam epik 10.000 BC.

Bagaimanapun sebelum itu dia terlebih dahulu melebarkan kebolehannya melalui filem seperti When a Stranger Calls, The Ballad of Jack and Rose, Back to the Secret Garden atau The Lost World: Jurassic Park.

Anak kepada warga Brazil (ibu) dan Amerika (bapa) yang menerima pendidikan di sekolah wanita sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Edinburgh, Scotland ini dalam satu temu bualnya bagaimanapun menafikan kalau dirinya seorang yang serius atau selalu berada dalam dunia ‘gelap’.

Sebaliknya dia menyatakan dirinya seorang gadis normal yang cuba melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon sebaik mungkin.

“Saya bukan seorang yang mempunyai personaliti gelap. Tapi saya suka membawa watak yang gelap atau berat untuk mencabar diri sendiri,” kata gadis dengan ketinggian 174 sentimeter ini bersungguh.

Justeru katanya, dia amat menyukai watak seperti dalam filem 10.000 BC yang begitu sukses saat ia ditayangkan di seluruh dunia pada tahun lalu.

Sengaja membangkitkan ingatan terhadap filem hebat ini, HBO (saluran 411) akan kembali menayangkan filem ini pada pukul 9 malam dan akan diulang tayang pada Isnin 22 Jun 1 tengah hari, Khamis 25 Jun 7 malam, Sabtu 27 Jun 11 pagi dan 11 malam, dan Ahad 28 Jun 3 petang.

Saat namanya meniti kategori papan atas pelakon Hollywood, Camilla tidak terlepas dilanda gosip. Hubungan mesranya dengan anggota Jonas Brother, Joe, menjadi ‘makanan’ pengejar cerita peribadinya.

Dilaporkan sempat bermain kayu tiga bersama Joe dan Robert Pattinson, Camilla bagaimanapun rapi mengunci mulutnya.

Dia kemas menyimpan rahsia peribadi daripada pengetahuan umum sehingga bara hubungan cintanya disemarakkan dan dipadam sendiri oleh media.

Tidak tergugat dengan spekulasi yang menyatakan hubungannya dengan Joe sudah berakhir baru-baru ini, Camilla kini menumpukan fokus terhadap projek amalnya apabila bersetuju menjadi duta organisasi bebas, H.E.L.P di Malawi bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di negara Afrika Selatan itu.

Jelas Camilla: “Projek ini adalah perkara yang lebih penting untuk dikongsi bersama daripada hal peribadi.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: