RIO DE JANEIRO - Beberapa pesawat tentera Brazil berjaya menemui sejumlah serpihan dipercayai sebahagian bangkai sebuah pesawat penumpang Perancis yang hilang, kata tentera udara Brazil semalam.
Seorang jurucakap tentera udara berkata, ia ditemui kira-kira 650 kilometer ke utara kepulauan Fernando de Noronha berhampiran perairan utara Brazil.
Menurutnya, serpihan yang ditemui termasuk beberapa objek logam dan kerusi penumpang masih belum dapat disahkan sebagai sebahagian penerbangan AF447 milik syarikat Air France yang hilang pada Ahad lepas.
Kawasan tersebut terletak berhampiran lokasi pesawat jenis Airbus A330 itu membuat hubungan terakhir selepas berlepas dari sini.
"Rancangan kini tertumpu kepada usaha mengumpul serpihan-serpihan dan mengenal pasti sama ada ia berasal dari pesawat Air France atau sebaliknya," kata Kolonel Tentera Udara Brazil, Jorge Amaral pada satu sidang media.
"Kami tidak dapat mengesahkan ia bangkai pesawat berkenaan selagi belum memperoleh sekurang-kurangnya satu serpihan yang ditanda dengan nombor siri," tambahnya.
Penerbangan AF447 terbang dalam ribut empat jam selepas berlepas dari sini dan 15 minit kemudian ia menghantar isyarat automatik melaporkan kejadian kerosakan elektrik.
Pesawat malang tersebut membawa 228 orang termasuk penumpang dan anak kapal.
Pihak berkuasa Perancis dan Brazil termasuk Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, menyatakan mereka tidak berharap dapat menemui mangsa terselamat dalam nahas tersebut.
Jika perkara itu berlaku, nahas udara Ahad lepas merupakan yang terburuk sejak penubuhan Air France, 75 tahun lalu selain yang paling dahsyat sejak sebuah pesawat Concorde milik syarikat berkenaan terbakar lalu terhempas sembilan tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: