Wednesday, June 3, 2009

Penjaga keselamatan negara

Malaysia sudah meneroka kerjasama teknologi dan sistem pertahanan dengan China sejak hampir 20 tahun lalu. Selepas misil FN-6, adakah peluru berpandu KS-1A bakal menjadi benteng pertahanan terbaru negara?




SEMALAM Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan lawatan rasmi pertamanya ke China sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia.

China bukan sahaja antara negara terawal daripada luar keluarga negara Asean dilawati Najib, bahkan nostalgiknya kunjungan itu adalah kerana jalan pertama hubungan China-Malaysia sebenarnya dibuka oleh bapa beliau sendiri 35 tahun lalu.

Sewaktu negara Asia Tenggara lain masih takut berdepan dengan China yang masih di bawah pemerintahan Komunis, Allahyarham Tun Razak Hussein menghulurkan tangan tanda persahabatan pada tahun 1974.

Hari ini tiada siapa yang menyangka persahabatan yang pernah diragui itu menghasilkan dagangan dua hala bernilai AS$39.6 bilion (RM138.90 bilion).

Selain menjadi rakan dagangan dalam sektor komponen auto, produk mekanikal elektro-optik, pelancongan, pendidikan, pemprosesan kayu, kulit, tekstil dan teknologi maklumat, satu lagi sektor yang dilihat bakal memberi manfaat kepada negara adalah kecanggihan teknologi dan sistem pertahanan negara itu.


EMPAT aras ruang udara Malaysia yang memerlukan kelengkapan misil terbaik bagi mengawal pertahanan negara.


Kehebatan teknologi dan sistem pertahanan China sebenarnya bukan bermula setahun dua kebelakangan ini. Bayangkan negara kuasa nuklear seperti Pakistan dan Iran serta rakan Asean seperti Thailand sudah mula mendapatkan teknologi pertahanan China sejak tahun 1990-an lagi.

Mula memperakui teknologi negara blok kuasa Timur itu, Malaysia pada tahun 2004 membuat pembelian pelancar peluru berpandu jarak dekat atau misil aras amat rendah (FN-6 VSHORADS).

Misil buatan China itu merupakan antara senjata Sistem Pertahanan Udara Mudah Alih (Manpads) terbaik dunia dengan kemampuan jarak tembakan peluru berpandu sehingga enam kilometer.

Pelaburan sebanyak RM23 juta itu adalah untuk mendapatkan 64 misil dengan 16 pelancar yang dijangka diterima negara tahun ini.


KELAJUAN misil KS-1A boleh mencapai 1,200 meter sesaat yang mana ia mampu menguatkan sistem pertahanan negara apabila jarak tembakan misilnya mencecah 60 kilometer.


Hari ini Malaysia sedang dalam penelitian untuk mendapatkan teknologi dan misil aras sederhana dengan peluru berpandu KS-1A disebut-sebut antara yang berpotensi. KS-1A mempunyai kemampuan jarak tembakan sehingga 60 kilometer.

Mengimbau kerjasama negara dalam membawa teknologi dan sistem pertahanan China ke negara ini, Datuk Muhammad Hamzah dan rakan kongsinya, Amir Dastan ialah dua individu penting yang paling layak bercerita mengenai perjalanan usaha sama itu.

"Kira-kira 20 tahun lalu, saya dan Amir melihat betapa China semakin membangun dengan teknologi, kejuruteraan dan sistem pertahanannya.

"China membeli senjata dari negara luar, tetapi geniusnya China apabila mereka mampu membina semula teknologi itu, bukan sahaja ia dapat berfungsi dengan baik bahkan lebih baik daripada senjata Barat," ujar Muhammad yang juga Pengerusi Eksekutif Aneka Bekal, syarikat penyelaras pembelian program itu.


RADAR KS-1A dengan had pengesan maksimum 90 kilometer.


Cerita beliau, kerana faktor itulah pada tahun 1991 delegasi pertama negara melawat China diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Yaacob Zain.

Menariknya pada tahun 1992, Najib yang ketika itu menjadi Menteri Pertahanan pernah mengetuai rombongan negara untuk melihat pelbagai teknologi pertahanan dimiliki dan dikeluarkan China.

"Selepas itu pelbagai siri kerjasama, pertukaran idea, demonstrasi dan lawatan berjalan, sebelum Malaysia mula bersetuju menandatangani pembelian misil FN-6 pada tahun 2004.

"Dulu Malaysia sangat terarah ke negara Barat terutama Britain dalam mendapatkan senjata dan teknologi pertahanan. Memang mengambil masa yang agak lama untuk membuka minda dan mata ke China.

"Namun, apa yang kami rintis akhirnya mula mendapat perhatian seiring dengan kebangkitan China sebagai pusat graviti kuasa dunia," ujar Muhammad yang juga seorang penganalisis pertahanan.


MALAYSIA membeli peluru berpandu FN-6 dari China pada tahun 2004.


Banyak perkara yang membuatkan Malaysia mula menerima teknologi dan sistem pertahanan China bermula dengan peluru berpandu FN-6.

Ujar Muhammad, China menawarkan tiga perkara penting kepada Malaysia iaitu senjata yang diperakui keupayaannya, harga yang berkali-kali ganda lebih murah dan apa yang lebih penting adalah pemindahan teknologi peluru berpandu kepada Malaysia.

Itu tidak berlaku apabila Malaysia membeli persenjataan Britain dan negara Barat.

"Untuk misil aras rendah dengan kemampuan tembakan sehingga lapan kilometer, Malaysia membeli peluru berpandu Jernas dari Britain.

"Walaubagaimanapun, Britain hanya menjual produk tanpa pemindahan teknologi. Bahkan apabila berlaku kerosakan serta penyelengaraan Malaysia perlu menghantar Jernas kembali ke Britain dengan memakan kos berjuta ringgit," ujar Muhammad, 60.


NAJIB (dua dari kiri) dan Muhammad (kanan) bersama wakil China dalam satu lawatan ke negara itu sebelum ini.


Kerana itu selepas FN-6, peluru berpandu KS-1A dilihat antara misil terbaik dalam memperkuatkan sistem pertahanan negara.

Jelas Muhammad penyelidikan bersama Kementerian Pertahanan mendapati sistem pertahanan udara Malaysia boleh dibahagikan kepada empat aras.

"Untuk aras amat rendah (lima kilometer) kita sudah mempunyai misil Igla dibeli dari Rusia, Anza (Pakistan) dan Starburst (Britain).

"Untuk aras rendah (lapan kilomter) kita membeli Jernas yang dihasilkan Britain selain terbaru FN-6. Bagaimanapun, untuk dua lagi aras sederhana iaitu 18 kilometer dan 50 kilometer ke atas, ruang udara Malaysia masih terbuka tanpa sebarang misil sebagai pertahanan.

"Kerana itu, KS-1A yang mempunyai kemampuan tembakan peluru berpandu sehingga 60 kilometer kini dilihat antara misil masa depan berpotensi untuk menguatkan sistem pertahanan negara," katanya.

Sementara itu, terang Amir yang juga Pengarah Projek Aneka Bekal, beberapa misil jenis lain yang berada dalam kelas KS-1A termasuklah Hawk dari AS, BUK-I (Rusia), BUK-II (Rusia) dan SAMP/Aster 30 (Perancis dan Itali).

Katanya, walaupun misil-misil tersebut turut menawarkan teknologi yang bukan calang-calang, namun secara keseluruhannya dari segi spesifikasi, kemampuan dan harga, KS-1A ternyata lebih baik daripada keempat-empat peluru berpandu itu.

Contohnya KS-1A mampu memintas dan menyerang jumlah sasaran lebih banyak pada satu-satu masa. Ini kerana KS-1A dengan kelajuan maksimum misil 1,200 meter/sesaat boleh menyerang tiga sasaran pada masa yang sama berbanding hanya dua sasaran untuk Hawk, BUK-I dan BUK-II.




Walaupun SAMP/Aster juga melancarkan jumlah serangan yang sama seperti KS-1A, namun kelajuan misilnya hanya sekitar 990 meter/sesaat.

Namun, harga dan pemindahan teknologi adalah dua perkara yang sememangnya tidak ditawarkan oleh negara Barat. Sebagai perumpamaan harga RM1.8 bilion untuk misil Jernas dari Britain dianggarkan mampu menyediakan misil dari China untuk keempat-empat aras sistem udara pertahanan negara.

Lebih daripada itu, proses pemindahan teknologi KS-1A memberi peluang negara mempelajari teknologi sama sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan pada masa depan.

Yang pasti petikan ucapan Najib dalam satu majlis pada tahun 2003 membuktikan betapa Malaysia perlu mempunyai misil masa depan untuk memperkuatkan sistem pertahanan negara.

Katanya: "AS mengetuai perang di Iraq. Ia menjadi indikator betapa pentingnya untuk Malaysia mempunyai pasukan angkatan tentera yang dilengkapi dengan teknologi terkini. Dalam 21 hari, kita melihat bagaimana regim (di Iraq) berjaya dijatuhkan. Ia menunjukkan betapa pentingnya negara mempunyai pasukan tentera yang kredibel."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: