![]() |
| SALAH sebuah ruang tamu yang bertuah mendapat sentuhan daripada Eric Leong untuk musim baru, Deko Bersama Eric yang bakal memulakan siaran pada 20 Jun ini. |
ERIC Leong barangkali bukan nama yang asing bagi para penggemar program hiasan dalaman yang cukup popular, Deko Bersama Eric.
Populariti lelaki berbangsa Cina yang begitu kreatif melakukan transformasi dekorasi kediaman segelintir rakyat Malaysia yang bertuah membuatkan ramai yang cemburu.
Masakan tidak, Eric bukan saja mengubah dekorasi asal pemilik sesebuah kediaman. Sebaliknya, dengan kemurahan penaja, mereka yang bertuah turut memiliki pelbagai kelengkapan rumah secara percuma.
Lantaran itu tidak hairanlah mengapa program Deko Bersama Eric masih terus diminati ramai biarpun sudah sembilan tahun ia menemui khalayak.
Lalu, untuk musim baru ini, apa lagi yang cuba diketengahkan oleh Eric?
Bertamu di kediaman anda pada musim baru ini, Deko Bersama Eric bertambah hangat dengan cerita di sebalik tabir khususnya cara pemilihan para pemenang untuk musim baru ini.
Oh ya, sudah tentu ramai yang sering bertanya bagaimana mereka boleh mendapatkan peluang untuk menjadi pemenang Deko Bersama Eric?
Bertitik tolak daripada tanda tanya dan pelbagai spekulasi yang tidak berasas itu menyebabkan penerbit rancangan berkenaan, Camera Culture Productions Sdn. Bhd., dengan perbincangan daripada pengurusan Astro, Camera Culture memutuskan untuk menunjukkan babak-babak di sebalik tabir dalam proses pemilihan pemenang peraduan Deko Bersama Eric.
Proses pemilihan pemenang, dari proses tinjauan dari rumah ke rumah oleh penerbit dan Eric, proses pemilihan barang dekorasi di bilik-bilik pameran penaja ke peringkat pengubahsuaian untuk pemenang diselitkan dalam setiap episod musim baru ini.
Deko Bersama Eric musim baru yang dahulunya dikenali sebagai Casa Impian terus memberi perhatian pada konsep dan mutu dari dua aspek iaitu aspek produksi dan kualiti hiasan dalaman yang dipaparkan.
Menurut penerbit eksekutif Deko Bersama Eric, Vimala Siva Wilkinson, sebagai program yang merintis rancangan hiasan dalaman, Deko Bersama Eric haruslah mengambil kira pelbagai aspek sebelum penerbitan musim baru dilakukan.
"Tanggungjawab rancangan ini adalah besar. Kami perlu memberi para peminat rancangan ini sesuatu yang baru setiap musim.
"Justeru, kami terpaksa memerah idea dan keringat untuk memastikan musim baru kali ini lebih menarik perhatian audiens," kata Vimala yang cukup gembira kerana Deko Bersama Eric sudah hampir sedekad ditayangkan.
Dari aspek produksi, Vimala dan team produksinya mengambil masa selama enam bulan melakukan kajian selain merancang pendekatan dan kreativiti terkini sebelum musim baru ini memulakan produksinya.
"Kami mengambil masa yang lama semata-mata untuk memastikan gaya penyampaian dan konsep rancangan ini tetap menarik untuk seisi keluarga dan menarik perhatian semua golongan penonton yang mengikuti rancangan ini," ujarnya lagi.
Apa yang turut membanggakan Vimala dan seluruh team produksi Deko Bersama Eric ialah, kajian yang dilakukan mendapati peminat rancangan ini merangkumi semua lapisan penonton termasuk kanak-kanak kecil sehingga orang dewasa.
"Ini merupakan petanda baik untuk sesebuah rancangan televisyen yang cuba mengajar gaya hidup yang lebih selesa melalui hiasan dalaman," Vimala menyambung perbualan.
Mengenai kreativiti hiasan dalaman pula, Vimala menjelaskan, Eric sebagai hos dan pereka dalaman Deko Bersama Eric melakukan pelbagai kajian dan penyelidikan dengan meninjau gaya-gaya hiasan dan produk-produk terbaru di pasaran tempatan dan antarabangsa untuk memastikan para penonton mendapat informasi terkini dalam dunia dekorasi.
Seperti musim-musim terdahulu, untuk musim baru ini juga, Vimala tidak terlepas daripada memberi perhatian pada aspek pemilihan para penaja.
Pemilihan penaja ujarnya sangat penting dalam Deko Bersama Eric dan kesemua penaja dipilih mengikut kekayaan pada inovasi produk mereka yang dapat memberi manfaat kepada penonton.
Untuk musim baru ini, Deko Bersama Eric memberi perhatian pada produk-produk terbaru, terkini dan berinovatif untuk kediaman era baru.
Antara penaja baru musim ini ialah Haier sebagai penaja TV LCD dan penghawa dingin, Master Home untuk tajaan langsir serta Soft Furnishing dan Goodnite untuk tajaan tilam.
Sementara penaja lain ialah Dulux Colour Solutions, Lightcraft, Floorbiz, Red Apple Furnishing, Eureka Collections, Vantage, SSF Creative Lifestyle Hub, Alpha Malaysia, Lamex dan banyak lagi.
Dan satu lagi berita gembira buat rakyat Malaysia, tarikh tutup penyertaan musim ini akan dilanjutkan.
Peminat akan berpeluang menyertai pengubahsuaian secara percuma bernilai RM50,000 sepanjang penyiaran Deko Bersama Eric iaitu bermula dari bulan Jun hingga September depan.
Ini akan memberi peluang ramai lagi peminat untuk menyertai peraduan ini.
Pemilihan dilakukan melalui penyertaan online melalui laman web Deko Bersama Eric iaitu www.deko-eric.com.my.
Penonton boleh mendapatkan kesemua keterangan peraduan dan borang penyertaan di laman web rasmi itu.

salam sejahtera..sy nak tnye..adakah deco eric ini perlu d bayar kalau rumah perlu di deco?dan bagaimana sy nak maklumat lebih lanjut..?
ReplyDelete