Saturday, June 20, 2009

Promosi FFM22


OGY AHMAD DAUD


LAMAN Santai merupakan program mingguan anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang mengetengahkan pelbagai konsep hiburan sambil bersantai pada setiap hujung minggu.

Program yang lokasinya terletak di Laman Beringin, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur itu menjadi medan persembahan ringan merangkumi nyanyian, tarian, lawak jenaka dan persembahan-persembahan kebudayaan.

Malam ini tiba pula giliran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) iaitu agensi di bawah KPKK menjadi tuan rumah program Laman Santai Edisi Khas sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2009.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab, pada masa sama Finas juga akan mempromosikan Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 hingga 8 Ogos ini.

Beliau yang juga Pengarah Program Laman Santai berkata, program yang bertemakan Seni Filem Mewarnai 1 Malaysia itu mampu untuk memberi nilai hiburan serta maklumat lanjut tentang FFM22 pada program tersebut.

"Kesemua program itu akan diadakan di Laman Santai, IB pada malam ini bermula pukul 8. Program ini diadakan secara percuma kepada orang ramai.

"Pemilihan tema Seni Filem Mewarnai 1 Malaysia merupakan simbolik terhadap kemajuan dan kepelbagaian artis yang telah menjayakan industri filem tempatan selama ini," ujarnya.

Tambah Mohd. Zulkifli, Finas selaku penganjur bersama FFM22 di Kota Kinabalu turut mengambil peluang untuk mempromosikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di bawah perbadanan itu.

Menurutnya memandangkan FFM22 semakin hampir, Finas telah mengambil inisiatif itu bagi memberi pendedahan dan hebahan terbaik kepada orang ramai mengenai aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan sempena festival filem tanah air paling berprestij tersebut.

Para pengunjung juga berpeluang bertemu serta beramah mesra dengan ramai artis dan juga calon peserta yang akan bertanding pada FFM22 kelak.

"Antara artis yang terlibat ialah pasangan Latif Ibrahim dan Sofia Ibrahim, Kazar, Daniel (Malaysian Idol), Dafi (AF), Rahim Maarof, A.R. Badul, Lousia Chong, Kenchana Dewi dan juga persembahan istimewa daripada pengarah filem Syirik M.Subash serta pelakon terkenal, Rusdi Ramli. Majlis akan diserikan dengan kehadiran pengacara popular, Ogy Ahmad Daud," katanya.

Mohd. Zulkifli juga menambah, program di Laman Santai pada malam ini juga adalah sebahagian daripada acara sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2009 yang disambut setiap 29 Mei mulai tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: