Bayangkan, mereka sudah membuat 35,000 persembahan pada sepanjang 35 tahun dalam dunia nyanyian. Ya, ia satu jumlah yang besar dan percayalah, angka itu akan terus bertambah kerana sehingga kini mereka terus diminati.
Malam Selasa lalu, konsert Live in Kuala Lumpur menjadi sebahagian daripada beribu persembahan bagi siri jelajah dunia duo yang popular dengan lagu-lagu balada cinta itu.
Even The Nights Are Better, Lost In Love, All Out of Love, The One That You Love, Here I Am (Just When I Thought I Over You), Two Less Lonely People In The World dan tentu sekali Making Love Out of Nothing, menjadi sebahagian senarai lagu ‘wajib’ yang bukan sahaja membuatkan khalayak penonton menjerit kegembiraan.
Malah lagu-lagu cinta itu turut didendang penonton bersama Air Supply walaupun ada antaranya sudah melangkaui dua dekad.
Namun yang pasti, ia bukan sahaja digemari khalayak yang membesar ketika lagu-lagu mereka popular dan menduduki carta. Malah ia terus digemari para peminat muda yang memenuhi dewan Hotel Hilton, tempat berlangsungnya konsert duo itu.
Mereka sendiri mengakui tidak pernah lelah menghiburkan peminat di seluruh pelosok dunia dengan alunan lagu-lagu cinta yang menusuk jiwa. Rasa cinta yang begitu mendalam di bidang muzik dan seni suara membuatkan tiada noktah dalam perjalanan seni Russell Hitchcock dan Graham Russell.
“Selain mereka yang memuja, mereka yang tidak begitu sukakan kami juga adalah penyuntik semangat kami untuk berada di pentas,” kata Hitchcock pada sidang akhbar sehari sebelum konsert berlangsung.
Baru tiba dari Taipei, Taiwan pada awal pagi Isnin lalu, mereka mengakui mahu terus menghibur selagi hayat di kandung badan.
Justeru tidak hairanlah andai mereka sendiri dalam nada berseloroh tidak mampu lagi mengingati berapa kali mereka sudah menghibur di sini.
*Mumbo Jumbo
Sesuatu yang istimewa pada kedatangan mereka adalah kerana siri jelajah dunia kali ini turut menjadi platform kepada Russell dan Hitchcock untuk memperkenalkan album terbaru.
Mengambil judul Mumbo Jumbo dengan pilihan rangkaian lagu segar mengikut rentak muzik semasa, ia dijangka akan dipasarkan lewat September nanti.
Tiga lagu baru mereka, ‘Lil Bit of Everything, Mumbo Jumbo dan ‘Lil Bit More juga didendangkan pada malam konsert itu sebagai merupakan hadiah buat penggemar setia mereka.
Menurut Hitchcock , rangkaian lagu-lagu dalam album terbaru itu merupakan himpunan kisah-kisah yang berlaku sekitar kehidupan mereka. Ini termasuk lagu ‘Lil Bit More yang buat pertama kali diperdengarkan kepada khalayak dunia yang didendangkan Russell dengan penuh penghayatan.
Kata Russell, ia diinspirasikan daripada sebuah majlis perkahwinan yang dihadirinya. Selepas majlis perkahwinan itu, si suami perlu meninggalkan isterinya untuk pergi berperang dan si isteri walaupun sedih ditinggalkan tetapi rela dan tidak tahu apakah suaminya akan balik dengan selamat ataupun tidak.
Diiringi empat pemuzik undangan, konsert selama hampir dua jam itu juga menyaksikan Hitchcock dan Russell mendendangkan lagu-lagu popularnya seperti Good Bye yang telah lama tidak didendangkan kepada khalayaknya.
Dalam usia yang mencecah 60 tahun, Hitchcock tetap mempamerkan kehebatan vokal pada nada tinggi antaranya ketika membawakan lagu Without You, juga lagu The Power of Love.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: