Sunday, June 21, 2009

Saya sering sendirian - Lisdawati




KETIADAAN Fauzi Nawawi selepas tamat pratonton filem pendek Buih-Buih Cinta Jumaat lalu menimbulkan tanda tanya. Ini kerana yang ada hanya isterinya, Lisdawati Nazarudin walaupun sepatutnya Fauzi turut bersama-sama. Pada mulanya Fauzi kelihatan pada majlis berkenaan, bagaimanapun, selepas selesai sesi mengambil gambar, dia hilang.

Lisdawati yang ditinggalkan itu kemudiannya menjelaskan bahawa Fauzi sepatutnya tidak dapat hadir pada malam itu kerana mempunyai penggambaran filem.

Dalam filem itu, Fauzi memegang watak hero dan sudah pastinya, komitmen di filem berkenaan perlu diutamakan.

"Bagaimanapun, ada yang salah anggap dengan perkara itu dan terus membuat andaian tanpa menanyakan perkara sebenar," kata Lisda.

Dia memberitahu, dia sering bersendirian untuk menghadiri beberapa majlis formal sejak kehamilan yang pertama lagi dan menjadi perkara biasa buatnya.

Sebagai seorang yang aktif, dia tidak mahu duduk terperuk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti dan apa yang diperlukan adalah kebenaran suaminya.

"Saya bersendirian ke majlis tanpa suami bukan bermakna kami mengalami masalah rumahtangga. Percayalah, kerana apa yang sepatutnya berlaku adalah rasa penghargaan saya kepada Fauzi kerana membenarkan isterinya keluar untuk memenuhi jemputan sebagai artis," jelasnya.

Bercerita tentang rahsia untuk menjaga keharmonian rumah tangga, Lisda berkata, dia mengamalkan rutin semasa bercinta dahulu seperti menonton wayang dan berjalan-jalan berdua-duaan selain saling mempercayai, memahami keinginan dan minat pasangan masing-masing.

"Fauzi jenis yang suka buat lawak dan sikapnya itu membuatkan saya kadangkala boleh tergelak sehingga mengeluarkan air mata. Dia juga romantik dan tidak mahu menunjukkan di khalayak ramai kerana romantiknya hanya buat isteri," jelas Lisda.

Bagaimanapun, katanya, sikap Fauzi berubah sekiranya mempunyai masalah. Dia menjadi pendiam dan hanya akan menyelesaikan masalah menerusi SMS.

Bercerita tentang anaknya, Lisda berkata, Farhana sekarang menunjukkan perkembangan minda yang sangat baik. Dia juga mahu kelibat kedua-dua ibunya di hadapan mata dan pandai memanggil Bah untuk Babah dan Mi (Umi) buat dirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: