Monday, June 22, 2009

Saya masih solo! - Mulan




POPULARITI yang dikecapi penyanyi bernama Raden Terry Tantri Wulansari atau nama pentasnya Mulan Jameela bukan sedikit.

Apa lagi dirinya pernah mencipta sejarah besar di Indonesia bersama kumpulan Ratu.

Bukan itu sahaja, kontroversi cinta bersama 'mahagurunya', Ahmad Dhani yang merupakan bekas suami Maia iaitu teman seperjuangannya dalam Ratu juga antara penyebab utama nama Mulan masih memuncak selain album perdananya yang berjudul Mulan Jameela mendapat kedudukan tinggi dalam carta seluruh Indonesia.

Lantas kehadirannya di malaysia selama beberapa hari atas tiket mengikut kumpulan Dewa yang mengadakan persembahan di Malam Pesta Indonesia 3, Ahad lalu serta bagi mempromosi album Mulan Jameela, Mulan terus diterjah tentang kesahihan gosip-gosip liar yang tidak pernah surut di negara kelahirannya itu.

Sambil tersenyum, wanita berambut merah ini memberitahu sudah adat menjadi seorang penghibur itulah harga yang perlu dibayar.

"Kalau terlalu ikutkan dunia gosip Indonesia memang penat kerana di sana ia satu perniagaan yang menguntung pihak media, jadi lebih baik saya berdiam diri daripada mengeluarkan kata-kata yang lebih memburukkan keadaan dan membuka pekung sendiri.

"Media di sana bijak memutar belit keadaan dan yang akan kenanya sudah pasti saya sendiri. Berdiam diri jalan terbaik, lama-kelamaan mereka juga penat dan gosip itu akan berlalu begitu sahaja," ucap wanita berusia 30 tahun itu.

Namun, segala kontroversi yang menimpa dirinya tidak pernah membataskan hubungannya dengan Ahmad Dhani walaupun dia pernah dilabel media Indonesia sebagai perampas suami orang.


MULAN mengakui Dhani tidak akan memarahinya jika dia tidak mahu mendengar cakapnya.


Malah, hubungan mereka semakin akrab tetapi tegas Mulan hanya sekadar bagi urusan kerja, tidak lebih daripada itu.

"Buat apa kerana gosip saya harus pergi jauh daripada Dhani, kalau saya buat begitu sudah pasti seperti saya mengiyakan gosip yang diperkatakan.

"Kami bekerja, jika orang lain tidak faham saya tidak boleh berkata apa lagi. Dhani juga tidak ambil pusing akan gosip antara kami, kadang-kala siap bergurau tentang gosip itu," katanya yang turut menafikan Dhani membelikan rumah buatnya berhampiran dengan kediaman Dhani.

Air mata Mulan

Tambah Mulan, secara jujur, hati wanitanya pernah tersentuh atas tuduhan dan fitnah yang ditujukan kepadanya. Air matanya juga sudah kering mengenangkan semua keadaan itu.

"Dulu masa mula-mula jadi artis dan difitnah sebegitu rupa, menangis saya dibuatnya, sedih dan rasa diri dihina. Tetapi lama-kelamaan sudah okey, biarlah media mahu berkata apa, saya sudah tidak kisah lagi," tegasnya.

Ditebak, benarkah dia kini merupakan wanita istimewa di hati Ahmad Dhani selepas Maia, Mulan dalam senyuman, terus menggeleng-gelengkan kepalanya tanda protes.

"Bukan. Saya bukan perempuan itu! Saya bukanlah wanita yang disangka semua orang. Media di sana hanya membuat gosip saya dan Dhani tetapi gambar 'mesra' kami berdua tidak pernah dirakam kerana hubungan kami profesional antara bos dan pekerja saja.


MASIH mencari calon suami yang sesuai.


"Saya masih solo dan masih mencari lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami. "Jika dulu saya sering menolak untuk berbicara soal cinta tetapi kini tidak kerana saya lebih terbuka tetapi belum bertemu calon yang sesuai," katanya lagi.

Ini bermakna hatinya sudah semakin terbuka untuk menerima kehadiran insan bernama lelaki setelah empat tahun hidup sebagai ibu tunggal bersama dua anaknya.

Lalu terbit di fikiran, lelaki bagaimanakah yang mampu mencairkan hati pelantun lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi itu?

Menurut Mulan, lelaki yang mahu cintanya, haruslah mencintai keluarganya termasuk anak-anaknya bukan hanya dirinya seorang.

"Lelaki yang dicari haruslah menyayangi saya dan anak-anak dan paling penting anak-anak juga restui hubungan itu. Kalau untuk saya seorang itu tidak adil.




"Tetapi bukan mudah untuk mencari lelaki seperti itu. Saya boleh memilih lelaki yang diingini tetapi dalam masa yang sama saya juga dipilih oleh mereka. Maksudnya, tidak semestinya lelaki yang saya suka akan suka sama saya juga (ketawa)," balasnya.

Bercakap mengenai lelaki, ditanya pandangannya tentang lelaki yang hangat digosip bersamanya iaitu Ahmad Dhani. Jawapan yang diberikan Mulan menunjukkan dia benar-benar memahami lelaki yang sering dilabel media Indonesia sebagai angkuh itu.

"Dhani, dia lelaki yang baik dan dia memang dominan kerana dia bos di tempat pengurusan saya. Dia juga seorang yang tahu semuanya, contoh jika berbincang dan saya mahu lakukan sesuatu mengikut cara sendiri, dia langsung tidak membantah.

"Sebaliknya, dia hanya memberitahu jika cara yang dipilih itu tidak akan memberikan hasil yang baik dia akan memberikan pendapatnya. Jika saya tidak mahu ikut cakapnya dia tidak marah, cuma saya akan terkena sendiri kerana kata-katanya memang selalunya betul," ulasnya lagi.

APM 2009 satu penghargaan

Berbicara tentang Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 yang akan berlangsung pada 18 Julai ini di Jakarta, Indonesia, Mulan juga terasa kehangatannya apabila tercalon dalam kategori Artis Wanita Terbaik.




Bagaimanapun kata Mulan yang kini sibuk dalam mempersiapkan album keduanya, merasakan dirinya masih terlalu kerdil memandangkan dia bertanding dengan nama-nama besar seperti Bunga Cinta Lestari, Misha Omar, Nikki dan Siti Nurhaliza.

"Berada dalam pencalonan sudah satu penghargaan buat saya kerana anugerah ini gabungan tiga negara pastinya lebih besar saingannya.

"Saya sering dicalonkan tetapi sepanjang kerjaya solo belum pernah genggam satu anugerah lagi, baik dalam negara sendiri dan di luar. Siapa yang tidak mahu bawa pulang anugerah tetapi bagi saya Siti Nurhaliza terlalu besar buat saya, dia lagi bagus, jadi saya tidak mahu terlalu berharap," tuturnya yang bakal muncul dengan lagu single terbaru berjudul Cinta Mati 2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: