Monday, June 22, 2009

Bayi hilang dalam kandungan

Betapa terkejut, tidak percaya dan juga luruh emosi seorang bakal ibu apabila mengetahui kandungannya yang berusia lebih lapan bulan tiba-tiba hilang. Dari sudut apakah fenomena ini hendak dihuraikan?




DISEMBER tahun lalu, impian sepasang suami isteri di Kedah untuk menimang cahaya mata sulung selepas dua tahun berkongsi hidup tidak menjadi kenyataan apabila mendapati bayi yang dikandung si isteri tiba-tiba hilang dan tidak dapat dikesan melalui teknik imbasan.

Segalanya umpama sebuah misteri bagi si wanita yang berbunga harapan selama hampir sembilan bulan itu. Dalam kes tersebut, wanita itu telah disahkan mengandung pada Mac 2008 melalui pemeriksaan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.

Dia dijangka bersalin pada tarikh yang telah dicongak iaitu 29 November. Namun, kelahiran yang ditunggu-tunggu itu tidak menjadi kenyataan.

"Doktor mendakwa rahim saya normal seperti wanita yang tidak mengandung. Bentuknya juga sudah kempis," ujarnya yang mendakwa terasa lenguh-lenguh badan, perut memulas dan kemudian mengalami demam panas pada hari-hari terakhir sebelum kandungannya hilang.

Sudah banyak kes yang dilaporkan media mengenai kejadian seperti ini. Bukan sahaja di Malaysia, kegemparan cerita kandungan yang lesap ini berlaku di seluruh dunia tanpa mengira latar bangsa, status sosial dan kepercayaan agama.

"Kes kehamilan palsu yang menyebabkan kandungan menghilang secara tiba-tiba memang wujud dalam dunia perubatan.

"Ia dikenali sebagai pseudosiesis atau dalam istilah Inggeris - phantom pregnancy," kata Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan.

Pseudosiesis adalah suatu keadaan yang lazimnya bersifat psikosomatik. Ia membabitkan gangguan faktor mental dan fizikal yang menyebabkan perubahan pada badan hinggakan sosok tubuh wanita yang tidak mengandung menyamai ciri-ciri wanita hamil.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (Feto-Maternal) itu menjelaskan, apabila seseorang wanita terlalu percaya atau mengharapkan kehamilan, tubuhnya akan menghasilkan hormon yang menyebabkan perubahan-perubahan tertentu.

Paling jelas adalah pertambahan berat badan (khususnya di bahagian perut) selain simptom-simptom klasik lain seperti rasa mual serta tegang perut.

Hujah medikal dan psikologi

"Apabila minda 'menipu' tubuh, paras estrogen mereka melonjak naik. Apabila dalam keadaan sakit, stres atau tertekan, mana-mana wanita pun boleh mengalami gangguan dalam sistem badannya. Ini termasuklah ketiadaan haid, rasa loya dan muntah," jelas beliau.

Tidak hairan juga kalau ketidakseimbangan hormon itu turut membuatkan payu dara membesar dan mengeluarkan susu.

"Perut yang semakin membesar sebenarnya disebabkan lemak yang terkumpul di bahagian tersebut. Ada juga yang merasakan seperti ada pergerakan bayi dalam kandungan walhal tiada janin di dalamnya," terang Jamiyah.

Beliau merumus, belum ada kajian menyeluruh tentang punca pseudosiesis. Ia tidak boleh sepenuhnya ditangani dari perspektif medikal atau ginekologi tanpa mengambil kira keseriusan permasalahan emosi.


ADAKAH imej daripada imbasan ultra bunyi boleh berlaku ralat hingga memberi harapan palsu kepada ibu hamil?


Hakikatynya, sutradara yang mengarahkan sistem tubuh untuk melakukan sesuatu dalam menjalani rutin kehidupan adalah otak.

Apabila otak mencetus isyarat untuk bekerja matlamat tertentu, maka faktor biologi akan menurut dan di situlah bermulanya konsep kepercayaan.

"Sama seperti wanita yang mahu dirinya hamil untuk melepaskan diri daripada desakan sosial, fizikalnya akan terdorong ke arah keinginan tersebut.

"Lebih-lebih lagi jika pasangannya (suami) mengizinkan perkara itu berlaku dengan turut memberi harapan," jelas Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Maizatul Akmam Abu Bakar.

Menurutnya, secara tidak langsung sokongan itu akan meningkatkan keberkesanan emosi isterinya sedangkan akhirnya mereka yang akan kecewa.

Lebih malang, tekanan yang dihadapi lebih menyeksakan apabila cerita 'kehilangan' kandungan itu dilabel sebagai karut oleh doktor dan masyarakat yang melemparkan tuduhan seperti wanita itu sengaja mengada-adakan cerita kehamilannya.

"Selain sokongan keluarga, wanita itu perlu dibimbing secara psikologi melalui sesi pertemuan dengan kaunselor atau pakar psikiatri. Mereka diajar untuk memahami dan menerima kelebihan dan kekurangan diri.

"Ini bermakna minda mereka perlu dilaras semula agar memikirkan perkara-perkara yang lebih positif," terang Maizatul.

"Hanya apabila seseorang ibu itu boleh menunjukkan bukti sahih bahawa pemeriksaan ultra bunyi sebelum itu sudah menunjukkan sifat fizikal bayi atau denyut jantung, tetapi akhirnya bayi itu hilang, maka kita perlukan penjelasan lain," ujar Jamiyah apabila diajukan tentang sisi mistikal bayi yang ghaib dalam kandungan.

Serba-sedikit pertembungan konsep itu dihurai oleh pakar khidmat runding dan nasihat spiritual dari Pusat Rawatan Komplimentari Yashfien, Engku Ansaruddin Agus. Beliau mengakui pernah merawat tidak kurang daripada 10 wanita yang terganggu emosi akibat kehilangan bayi dalam rahim.

Muslihat dari alam lain

"Wanita-wanita itu mendakwa mereka bermimpi didatangi entiti yang mengingatkan bahawa kandungan tersebut bukan milik mereka dan akan diambil semula," ujar Engku yang tidak menolak kemungkinan kehamilan yang disebabkan 'dampingan' atau 'tumpangan' makhluk halus.

Walau bagaimanapun Engku menegaskan, perhubungan antara manusia dan jin sebenarnya tidak akan menghasilkan anak manusia.

"Sebaliknya, anak-anak daripada kaum jin itu yang bertambah bilangannya jika berjaya memperdaya manusia melalui apa cara sekalipun," katanya.

Apabila diperdaya, seseorang mudah taksub kepada sesuatu. Ini termasuklah meyakini paparan imej bayi dalam rahim melalui teknik imbasan di hospital, sedangkan mereka perlu sedar bahawa ralat teknikal dan muslihat jin juga suatu faktor penyebab.

"Oleh itu, kaum ibu perlu kembali kepada apa yang diajar melalui al-Quran dan Sunah.

Adab, petua dan doa perlu sentiasa mengiringi langkah dan setiap perbuatan agar dilindungi Allah daripada fitnah, penipuan dan helah jin serta syaitan. Golongan itu sentiasa mahu menggoyah akidah umat Nabi Muhammad s.a.w.," pesannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment