|
|
SAMARAHAN 31 Mei – Akibat perbuatan dipercayai oleh individu tidak bertanggungjawab, ribuan tayar terpakai yang ditempatkan di sebuah kawasan seluas padang bola sepak di Jalan Muara Tuang, di sini terbakar.
Kebakaran kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan kepulan asap hitam pekat menyelubungi kawasan persekitarannya di samping mengeluarkan bau busuk yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.
Malah, kepulan asap hitam tebal itu boleh dilihat penduduk sekitar bandar raya Kuching serta Samarahan pada ketika hari-hari terakhir masyarakat Dayak membuat persiapan untuk menyambut perayaan Hari Gawai Dayak esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Kam Leman berkata, sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dan Siburan serta sepasukan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah dikejarkan untuk memadamkan kebakaran berkenaan.
Usaha memadam kebakaran itu ujarnya, turut membabitkan kira-kira 40 anggota bomba yang terpaksa mengepam air dari sungai berhampiran berikutan hanya satu pili bomba sahaja boleh digunakan.
‘‘Setakat pukul 8 malam ini, usaha pihak bomba dan JPAM untuk memadamkan kebakaran berkenaan masih belum berhasil.
‘‘Namun kita menjangka usaha untuk memadamkan kebakaran itu akan dapat diselesaikan malam ini setelah usaha memindahkan tayar-tayar yang belum terbakar dilakukan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kam memberitahu, pihak bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kebakaran itu berlaku.
Tambahnya, usaha bomba untuk mendapatkan penjelasan daripada pemilik tapak masih gagal kerana dipercayai sedang bercuti.
Difahamkan, tayar yang disimpan itu digunakan untuk memproses tukun tiruan.
Ditanya sama ada kebakaran itu berpunca ekoran perbuatan khianat pihak yang tidak berpuas hati dengan pemiliknya, Kam berkata, beliau tidak dapat memastikan perkara tersebut dan masih menyiasat.
usaha tangga kejayaan....
ReplyDelete