
PETALING JAYA – Hampir kesemua penghuni 12 buah rumah yang terletak berhampiran tapak runtuhan bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14 di sini telah mengosongkan kediaman masing-masing semalam.
Rata-rata penduduk itu akur dengan arahan pihak berkuasa kerana khuatir keselamatan masing-masing.
Hanya satu keluarga pasangan warga emas berusia 70-an enggan berpindah.
Tinjauan Kosmo! di tempat kejadian semalam mendapati 12 deretan rumah teres dua tingkat di Jalan 14/15 yang terletak hanya kira-kira 30 meter dari tapak bangunan yang runtuh itu mula dikosongkan.
![]() |
| |
Kesemua 67 penduduk dari kawasan itu ditempatkan di Hotel Armada dan Hotel Crystal Crown di sini bagi satu tempoh yang belum ditetapkan.
Bayaran bagi penginapan di hotel tersebut dibayar oleh pihak kontraktor.
Bagaimanapun, terdapat segelintir daripada mereka yang memilih untuk menetap di rumah sanak saudara yang tinggal berhampiran.
Seorang penduduk, Lily Luis Rebeiro, 69, berkata, beliau yang tinggal di situ sejak 20 tahun lalu akur dengan arahan pihak berkuasa demi keselamatan keluarga.
“Kami diarahkan berpindah tetapi kami boleh pulang ke rumah masing-masing untuk mengambil barang setiap hari.
“Buat masa ini saya tidak ada masalah kerana tinggal di rumah anak lelaki saya di Kota Damansara,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagaimanapun, menurut Lily, setiap penghuni yang mahu masuk ke rumah perlu melapor diri di khemah yang disediakan sebelum diiringi anggota pihak berkuasa masuk ke rumah masing-masing.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: