![]() |
| Hazri menunjukkan pokok kelapa yang menimpa rumahnya dalam kejadian ribut di Kampung Batu 8, Lekir, Lumut semalam. |
LUMUT – Jika tidak kerana beralih tempat tidur, lima beranak mungkin ditimpa malang apabila ruang tamu rumah mereka dihempap pokok kepala tumbang di Kampung Batu 8, Lekir di sini semalam.
Mohamad Hazri Hassan, 31, berkata, semasa kejadian pada pukul 2 pagi, dia bersama isteri dan tiga orang anaknya beralih tempat tidur beberapa jam sebelum itu.
“Kebiasaan kami tidur di ruang tamu kerana panas.
“Tetapi malam semalam, kami tidur dalam bilik kerana cuaca sejuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Cerita Hazri, pokok kelapa tersebut tumbang ekoran ribut kuat yang melanda kampung itu selepas hujan lebat.
“Kami tidak sedar pukul berapa ribut bermula tetapi terkejut apabila rumah bergegar,” katanya.
Berikutan itu, katanya, bumbung di ruang tamu dan dapur rumahnya rosak teruk.
Hazri memberitahu, kejadian ribut tersebut merupakan yang terburuk pernah berlaku di kampungnya sejak sedekad lalu.
Selain itu, lebih 50 buah rumah termasuk rumah di dua taman perumahan di Seri Manjung dan Lekir dekat sini turut mengalami kerosakan ekoran ribut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: