ALOR SETAR - Harapan penduduk di sekitar Kampung Berjaya di sini untuk segera bebas daripada masalah kekotoran pusat penyembelihan babi di kampung itu tidak kesampaian apabila kerajaan negeri menangguhkan operasi meroboh tempat itu yang sepatutnya dilakukan kelmarin.
Pusat penyembelihan tersebut sebelum ini didakwa turut mengganggu penduduk dua buah kampung lain iaitu Teluk Yan dan Seberang Terus dengan pencemaran bau dan bunyi bising selain gangguan sebilangan babi yang terlepas ke kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Md. Salleh Abd. Rahman, 68, berkata, penduduk terkilan dengan arahan penangguhan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri memandangkan masalah itu telah menghantui penduduk sejak lebih 30 tahun lalu.
"Tempat penyembelihan ini dibuka lewat tahun 1973 dan sejak itu penduduk dan peniaga di pasar Kampung Berjaya yang terletak bersebelahan terpaksa berdepan dengan bau busuk.
"Rayuan supaya kerajaan memindahkan pusat sembelihan itu nampaknya masih tidak diberi perhatian," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Kosmo! difahamkan operasi merobohkan tempat penyembelihan babi itu sepatutnya dilakukan kelmarin oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) namun atas desakan beberapa pihak tindakan itu ditangguhkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: