Kehilangan punca pendapatan utama tidak membimbangkan kerana setiap penduduk menerima 30 sen atau 1,000 rupiah bagi setiap telur penyu yang diselamatkan.
SELAMA berabad-abad lamanya, telur penyu telah menjadi barang dagangan yang menguntungkan di pulau kecil ini. Disebabkan haiwan kecil itu, kanak-kanak berpeluang pergi ke sekolah dan penduduk setempat dapat menyara hidup. Empat tahun yang lalu, penduduk Runduma di sebuah kepulauan di Indonesia yang berjumlah kira-kira 500 orang, mengambil keputusan untuk menukar cara hidup mereka dengan melindungi haiwan yang kembali ke pulau itu setahun sekali untuk bertelur.
Perubahan ini turut disaksikan oleh pejuang alam sekitar yang melihat peningkatan dalam jumlah penyu yang kembali dan hidup dalam kelompok besar di bahagian tenggara Laut Sulawesi. Golongan pemburu yang satu ketika dahulu menjadi musuh utama, kini merupakan penyelamat yang sanggup bersabung nyawa untuk melindungi haiwan terancam ini. "Dahulu, kami akan mengamalkan satu tradisi yang unik dalam pengumpulan telur penyu," ujar ketua kampung Runduma, La Brani. "Setiap keluarga akan bergilir-gilir mengutip 30 biji telur daripada 100 biji telur dari setiap sarang. Telur-telur itu akan disimpan untuk dijual bagi menyara hidup," katanya.
Kebanyakan daripada telur yang dikumpul itu diambil dari Anano, iaitu sebuah pulau tropika yang tidak berpenduduk dan merupakan tapak penetasan telur penyu sejak zaman purba. Lokasi itu terletak di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Duit daripada penjualan telur-telur itu kemudiannya digunakan untuk menyelenggara sistem penapisan air dan membantu keluarga miskin menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
"Pada mulanya, memang sukar untuk memujuk penduduk supaya tidak mengutip telur-telur penyu ini," katanya.
Bagaimanapun, kehilangan punca pendapatan utama ini tidak membimbangkan penduduk seperti Hatipa, 42, yang berkata, beliau menerima 30 sen atau 1,000 rupiah bagi setiap telur yang diselamatkannya. Upah itu cukup untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.
"Saya berhenti mengutip telur pada tahun 2005 kerana jika diteruskan, saya takut generasi akan datang tidak tahu rupa penyu yang sudah tiada lagi," jelasnya. "Sejak itu, saya berusaha untuk menyelamatkannya dan menyebarkan berita ini kepada orang lain agar kita semua hidup dengan sejahtera,"tambahnya.
Di bawah satu perjanjian yang diadakan dengan pihak pentadbiran tempatan dan kumpulan pejuang alam sekitar, penduduk di pulau ini berikrar untuk berhenti menjual telur penyu termasuk dagingnya. Sebagai ganti, kerajaan bersetuju menghantar sepasukan tenaga pengajar dan menjemput artis-artis seperti ratu cantik dan penyanyi untuk melawat mereka.
"Sebelum ini, tidak ada sesiapa yang datang ke sini. Sekarang, ramai yang datang. Ini semua mungkin berkat penyu itu sendiri," sambung Hatipa.
Bagi menampung punca pendapatan yang hilang, para dermawan boleh mengambil seekor penyu sebagai anak angkat pada harga RM341 atau sejuta rupiah. Purwanto, koordinator program pemeliharaan penyu bersama Konservasi Alam Semula Jadi Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) menjelaskan, program ini secara tidak langsung mendidik penduduk supaya mencintai haiwan yang tidak berbahaya itu.
"Biasanya, kita simpan satu hingga lima ekor penyu untuk memberi peluang kepada pelancong asing melepaskannya ke laut yang secara simbolik menandakan tindakan menyelamatkan spesies ini," kata Purwanto.
Semasa menaiki bot ke pulau Anano, kebenaran di sebalik pengakuan tersebut menyerlah apabila habitat penyu ini bertambah. Sarang penyu yang berbentuk jam pasir terbentuk di permukaan pantai yang berpasir. "Pada musim kemuncak iaitu dari bulan September hingga Disember, sekurang-sekurangnya tujuh penyu akan bertelur pada setiap malam," katanya lagi.
Pada tahun lalu, sebanyak 243 penyu menetaskan 3,000 telur berbanding hanya 20 ekor pada 2006 dan 77 ekor pada 2007. Penyu Agar dan penyu Karah adalah antara spesies penyu yang menarik perhatian pelancong. WWF menganggarkan kira-kira 203,000 sarang penyu Agar masih wujud di kawasan liar dan hanya tinggal 8,000 sarang penyu Karah yang kritikal.
Daripada kes pemburuan sehinggalah kepada perkembangan industri pelancongan, kesemua tujuh spesies penyu menghadapi ancaman survival akibat pencemaran dan kemusnahan tempat tinggal seperti terumbu karang, rumpai laut dan hutan paya bakau. Anak-anak penyu yang baru lahir dan bergerak ke laut, pula menghadapi ancaman daripada peralatan perikanan yang digunakan serta bahan buangan seperti plastik.
Walaupun kejayaan pemuliharaan penyu di pulau Anano menggembirakan, lain pula ceritanya di kawasan lain di Indonesia yang mana banyak penyu dibunuh tanpa belas kasihan. Denda sebanyak RM49,265 atau penjara sehingga lima tahun langsung tidak menakutkan pemburu kerana undang-undang ini bagaikan satu boneka yang tidak dikuatkuasakan dengan baik.
"Pengutipan telur penyu bagi tujuan komersial di beberapa kawasan seperti di kepulauan Borneo dan di barat pulau Sumatera masih bermaharajalela," ujar koordinator kebangsaan bagi pemeliharaan spesies marin WWF, Creusa Hitipeuw.
"Bali adalah sebuah pasaran atau destinasi yang paling popular bagi penjualan daging penyu. Bekalannya diimport secara haram dari pulau di barat Nusa Tenggara, Lombok dan Sumbawa."
Terletak kira-kira 1,500 kilometer dari timur laut Jakarta, Anano dan Runduma adalah sebilangan daripada pulau di wilayah Wakatobi di selatan pulau Sulawesi. Ia diiktiraf sebagai sebuah Taman Negara pada tahun 1996 dan antara 11 zon yang diperuntukkan oleh kerajaan tempatan sebagai pusat konservasi terumbu karang dan hidupan marin.
"Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, kami telah memperkenalkan subjek alam sekitar di sekolah rendah dan menengah rendah," kata Wakatobi, ketua wilayah Hugua yang juga seorang bekas aktivis alam sekitar.
"Kami akan memfokus pada pembangunan industri pelancongan ekosistem iaitu memelihara penyu dengan sedaya-upaya," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: