KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hari ini memutuskan menyambung semula prosiding perbicaraan kes tuntutan harta antara penyanyi terkenal Noraniza Idris, 41, dengan bekas suaminya, Mohamad Fauzi Ahmad Tajuddin atau Fareez ke tarikh esok.
Tidak dapat dipastikan anggaran tuntutan harta yang difailkan oleh penyanyi yang popular dengan genre 'Irama Malaysia' ini.
Difahamkan tuntutan harta dibuat ke atas rumah kediaman beralamat di Seksyen 6, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, sebuah rumah kedai/salun/butik tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan barangan salun dan butik anggaran RM10 ribu.
Noraniza berkata dia hanya berserah kepada Fareez sama ada hendak melunaskan tuntutan itu atau tidak.
"Saya berhak buat semua ini demi menunaikan tanggungjawab saya sebagai ibu kepada anak-anak.
"Semuanya terpulang kepada Fareez sama ada dia hendak beri atau tidak apa yang saya tuntut..itu antara Fareez dengan Tuhan," luah Noraniza.
Mengimbas kembali saat dia bersama Fareez, Noraniza menangis apabila memberitahu dia dengan rela hati melalui kelahiran secara induksi (induced labour) untuk percepatkan proses lahir anak keduanya pada tahun 1991 disebabkan hendak bantu Fareez mencari duit untuk melangsaikan hutang ketika perbicaraan sedang berlangsung di dalam dewan mahkamah.
Noraniza berkata demikian ketika disoal oleh peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakilinya.
Zuri: Apakah sumbangan puan terhadap harta yang dituntut secara langsung dan tidak langsung?
Noraniza: Saya memberi sumbangan besar dengan menguruskan penyelenggaraan, bayaran tunggakan dan menguruskan semua bil-bil.
Saya telah berusaha mencari sumber untuk membantu defendan (Fareez). Saya juga ingin nyatakan sepanjang saya berusaha mencari jalan penyelesaian untuk melangsaikan tunggakan, sememangnya tiada komitmen dari pihak defendan.
Saya terpaksa melakukan induksi untuk mempercepatkan proses kelahiran anak kedua saya. Tarikh kelahiran anak saya dijadualkan pada 25 September 1993, tetapi telah dipercepatkan ke 31 Ogos 1993.
Zuri: Apakah kaitannya dengan tuntutan harta ini?
Noraniza: Saya melakukan proses (induksi) ini adalah atas restu defendan dan kerana ingin membantu defendan mencari duit kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada persembahan pentas yang dilakukan.
Saya juga dengan rela hati menyerahkan barang kemas saya untuk membayar tunggakan. Defendan juga pernah mengambil barang kemas tanpa pengetahuan saya.
Zuri: Mengikut pengetahuan puan, bagaimana keadaan rumah kediaman di Seksyen 6, Wangsa Maju, sekarang?
Noraniza: Mengikut apa yang saya tahu, rumah tersebut masih lagi dalam perhatian pihak bank untuk dilelong.
Zuri: Ada apa-apa yang puan ingin katakan lagi?
Noraniza: Saya memohon mahkamah yang mulia ini, saya telah banyak berkorban dan bantu defendan, malah saya telah sanggup menanggung beban hutang defendan. Jadi saya rasa saya berhak untuk menuntut harta sepencarian ini.
Selepas Hakim syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid memutuskan perbicaraan disambung esok, Fareez kelihatan keluar meninggalkan dewan dilihat keluar dalam keadaan yang agak marah.
Manakala Noraniza yang mesra dengan panggilan Kak Ani masih lagi dalam keadaan menangis.
Kak Ani enggan mengulas lanjut kerana ingin menjaga hati anak-anak dan tidak mahu menimbulkan konspirasi.
"Saya rasa lebih baik jika saya tidak menjawab apa-apa pertanyaan kerana saya ingin menjaga perasaan anak-anak saya dan tidak mahu timbulnya sebarang masalah kerana kes ini masih lagi belum selesai." terang Kak Ani.
Ketika diluar dewan, peguam syariee Noraniza, Zuri Zabuddin memberitahu yang Fareez ada menulis sepucuk surat yang bertarikh 13 April, 2006.
"Dalam surat tersebut, Fareez ada menyatakan 50% hasil jualan rumah kedai tiga tingkat akan diserahkan kepada Noraniza.
"Kedai itu telah dijual tanpa pengetahuan Noraniza dan dia hanya mendapat tahu berita tersebut melalui anak sulung mereka, Alif Haikal. Noraniza tidak menerima bahagiannya," kata Zuri.
"Kita hanya tunggu perbicaraan esok untuk mendengar keterangan dari pihak defendan. Selepas itu baru kita boleh teruskan dengan proses selanjutnya." katanya.
Pasangan Noraniza-Fareez bernikah pada 31 Mac 1988 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd. Alif Haikal, 20, dan Mohd. Alfeq Haikal, 16.
Bagaimanapun mereka disahkan bercerai pada 4 Mei 2006 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas berpuas hati dengan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat Fareez terhadap Noraniza pada 7 April 2006.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: