Monday, June 22, 2009

Menjadi usahawan dengan Pasaraya Pendang


MOHD. SHAKRI (kanan) menawarkan peluang perniagaan berpotensi kepada usahawan baru termasuk siswazah di Pasaraya Pendang, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Pasaraya Pendang Sdn. Bhd., (Pasaraya Pendang), yang kini mempunyai lima rangkaian bercadang untuk meluaskan cawangannya di Kedah dan Perlis melalui konsep francais.

Pengarah Urusannya, Mohd. Shakri Abd. Razak berkata, misi itu mampu direalisasikan melalui kerjasamanya dengan Perbadanan Nasional Bhd., (PNS) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usahaniaga Nasional (TEKUN).

“Modal yang diperlukan adalah sebanyak RM250,000 untuk membuka sebuah cawangan baru dan kami akan membantu mereka menguruskan kedai itu dalam tempoh tertentu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambah beliau, PNS bersedia menawarkan pinjaman tersebut kepada usahawan yang terpilih dan setelah pinjaman itu diluluskan maka ia akan dibayar kepada Pasaraya Pendang untuk dijadikan sebagai modal pusingan.

“Dalam program ini, PNS telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk membuka empat rangkaian francais di kedua-dua negeri berkenaan dan kami berharap agar peluang keemasan itu direbut oleh usahawan yang berminat dalam bidang ini,” jelas beliau.

Selain itu, mengenai pinjaman Rakan Niaga TEKUN pula, Mohd. Shakri menjelaskan, pinjaman sebanyak RM50,000 akan ditawarkan kepada siswazah yang masih menganggur untuk membuka cawangan Pasaraya Pendang mini di kawasan pedalaman di Kedah dan Perlis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: