Monday, June 1, 2009

Membersih sampah sarap

Pakar-pakar mendedahkan Teluk Rio de Janeiro di Brazil akan tenggelam dalam mendapan sampah sarap jika tiada usaha dilakukan untuk membersihkannya.


DI Rio de Janeiro, sampah sarap hanya dibuang ke sungai dan terus dialirkan ke laut.


SAMBIL duduk di dalam bot nelayan di Teluk Rio de Janeiro, Gabriel dapat memerangkap 'tangkapan' dengan tangannya tanpa perlu menggunakan jaring. Ini kerana apa yang ditangkap itu bukanlah ikan tetapi sampah sarap yang terapung di permukaan air di salah sebuah bandar tercantik di dunia.

Gabriel, seorang nelayan profesional sejak dua dekad lalu, adalah sebahagian daripada mereka yang dipilih oleh kerajaan negeri untuk membersihkan kawasan pelabuhan yang dibayangi pemandangan yang kurang enak.

"Kami mengutip banyak sampah dalam jaring dan ada juga yang tersangkut pada kipas enjin sehingga ada kipas yang patah," ujarnya.

Di bawah satu program yang dilancarkan pada awal tahun ini, dia dan krewnya dan 140 buah bot yang lain keluar tiga kali seminggu untuk mengutip sampah. Sampah yang dikutip itu akan dikitar semula seperti botol plastik, plastik, kertas, kadbod dan lain-lain. Secara purata, sebanyak 15 tan sampah dikutip pada setiap pusingan.


PROJEK pembersihan sampah sarap melibatkan para nelayan profesional.


Inisiatif ini yang dikenali sebagai Baia Limpa atau teluk bersih itu ditaja oleh sebuah syarikat minyak Brazil, Petrobras. Ia adalah satu usaha yang diambil bagi mencegah masalah pencemaran di Teluk Guanabara. Sejak tahun 1995, operasi pembersihan yang seumpamanya telah menelan belanja lebih daripada sebilion dolar tetapi hasilnya tidak begitu memberangsangkan.

Zon tersebut yang terletak tidak jauh dari pantai popular Copacabana dan Ipanema cukup terkenal di kalangan pelancong. Malangnya, ia menjadi tempat pembuangan sampah sarap. Sebahagian besar daripada sisa buangan penduduk Rio yang berjumlah lebih 10 juta orang itu disalurkan terus ke dalam laut termasuk kereta lama, televisyen, tayar, peti sejuk dan barangan lain. Kebanyakannya dibuang ke dalam sungai sehingga menyebabkan air sungai melimpah pada musim hujan.


OPERASI pembersihan sampah sarap ini menelan belanja lebih daripada sebilion dolar.


Apa yang dibimbangi oleh para nelayan ialah kesan keracunan hidupan laut dan kemungkinan risiko ikan mati kerana tertelan plastik. "Sedekad yang lalu, anda mampu menyara hidup dengan menangkap ikan. Keadaan telah banyak berubah sekarang," jelas Edmo, 54, yang menghabiskan masa sebagai nelayan selama tiga dekad.

Memeta zon kotor

Dia, Gabriel dan ramai nelayan lain kini ditawarkan bekerja selama tiga bulan di samping menerima bantuan kewangan. Menjelang hujung tahun ini, seramai 1,200 orang nelayan dijangka menyertai program ini.

Tujuan program ini bukan kerana ingin menambahkan stok ikan atau mengembalikan pemandangan yang indah di teluk itu. Sebaliknya, seorang pakar geografi, Jamylle Ferreira berkata, matlamat utama mereka adalah untuk mengenal pasti dan memeta zon terkotor dan menganalisis sampah yang dikutip.

"Kami tahu kami tidak mampu membersihkan seluruh teluk itu. Namun, kami ingin mempelajari daripada nelayan kawasan yang paling teruk tercemar," kata Ferreira.




Di Rio, ada sedikit masalah yang dihadapi daripada majlis perbandaran yang enggan memberi kerjasama. Sampah sarap yang dikutip itu dibiarkan sebegitu tanpa dibawa ke tempat pelupusan. Sementara itu, sebahagian daripada sampah yang dipercayai boleh dikitar semula dipindahkan ke tapak kitar semula yang didirikan di Teluk Rio dan ditanggung oleh sebuah syarikat swasta. Apa sahaja yang tidak boleh dikitar semula akan dibakar untuk menghasilkan tenaga.

Tapak tersebut mampu menerima 30 tan sampah sehari. Ia adalah skim terawal yang diusahakan sebelum program itu disebarkan ke seluruh negara Brazil. "Kami menjual unit yang merawat 150 tan sampah sehari itu iaitu apa yang dibuang oleh 180,000 orang penduduk," jelas Pengurus Tapak, Jorge Nascimento.

Mereka berharap kesemua sampah yang diperoleh dari kawasan yang tercemar dapat dikitar semula. Impian itu mungkin sukar dicapai memandangkan Brazil ialah sebuah negara yang kurang peka dengan program kitar semula. Di Teluk Rio, ukuran kejayaan projek ini masih belum dianalisis.

Mungkin apa yang mampu dilakukan ialah melambatkan proses mendakan di teluk tersebut. Kajian mendedahkan, jika dibiarkan, teluk itu mungkin hilang di bawah mendakan sampah sarap dalam tempoh 200 hingga 500 tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: