|
|
TARIKH keramat 29 Mei sudah tentu akan terus dikenang oleh seluruh warga kerja Utusan Melayu (M) Berhad.
Tarikh berkenaan menyimpan makna yang sangat besar buat mereka kerana pada tarikh berkenaan kira-kira 70 tahun lalu, ia menyaksikan akhbar Utusan Melayu diasaskan.
Selang masa berlalu, pengaruh akhbar itu diperluaskan sehingga menyaksikan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Seterusnya di bawah payung syarikat media keramat, Utusan Melayu (M) Berhad juga, hayat Utusan dipanjangkan pula dengan 'kelahiran' akhbar kompak, Kosmo! dan Kosmo! Ahad yang kini semakin mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia.
Justeru, bersempena dengan sambutan ke-70 syarikat akhbar berkenaan, sekumpulan petugas di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo! mengambil inisiatif menganjurkan malam perhimpunan di kalangan kakitangannya.
Acara yang diadakan di hotel Palace of the Golden Horses itu berlangsung penuh meriah dengan tema Retro.
Apa yang istimewa mengenai acara yang julung-julung kali diadakan itu ialah, ia mendapat kerjasama yang cukup baik daripada para petugas.
Ada sebahagian daripada mereka yang hadir lengkap dengan pakaian yang menepati tema acara.
Tidak ketinggalan, Malam Jalan Lima (46M) itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis popular seperti Jamal Abdillah, Siti Sarah serta kumpulan Chemistry.
Pengacara Akademi Fantasia, AC Mizal juga ditampilkan sebagai pengacara dengan dibantu oleh Pengarang Hiburan Kosmo!, Tengku Khalidah Tengku Bidin dan wartawan hiburan Pancaindera, Niezam Abdullah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: