|
|
NAMA Hazami mungkin tidak semasyhur nama penyanyi lelaki yang lain di negara lain tetapi bakat besar anak kelahiran Ipoh, Perak ini sememangnya satu dalam sejuta.
Tiada siapa yang mampu menafikan serta menidakkan kehebatan vokal hebat dan mantapnya selain daripada kreativitinya yang cukup terserlah menerusi lagu ciptaannya.
Dia sedar bahawa dirinya tidak sekacak seperti sesetengah selebriti lelaki tetapi apa yang diperjuangkan dalam bidang seni sememangnya wajar dipuji serta dihormati.
Ya, mungkin kini namanya seakan-akan sepi dan menimbulkan pertanyaan mengenai kehilangan Hazami di persada seni tanah air.
Namun, diam Hazami sebenarnya berisi dan kini dia sedang sibuk merencana karier seninya menerusi sebuah projek yang bakal membuka satu lembaran baru dalam dirinya.
Kedengaran seperti sesuatu yang mustahil tetapi Hazami kini dalam proses akhir menyiapkan album keempat dan kelimanya yang bakal dilancarkan serentak tidak berapa lama lagi.
Bukan seperti lazimnya, kali ini memperlihatkan buah tangan terbaru Hazami yang akan ditampilkan secara berkembar dan uniknya, ia merupakan sebuah album Inggeris dan sebuah album Melayu.
Tatkala Hazami rancak berbicara tentang projek terbarunya kepada penulis dalam satu pertemuan di Saloma Bistro & Restaurant di ibu negara baru-baru ini, penulis tergamam seketika dan menggelengkan kepala mendengarnya bercerita.
Masakan tidak, rasanya belum pernah lagi seorang artis yang begitu berani untuk tampil dengan album berkembar di negara ini di kala industri hiburan tidak begitu memberangsangkan.
Jelas Hazami, mungkin sesetengah pihak akan memandangnya dengan penuh sinis dan berfikiran skeptikal tetapi dia enggan menoleh ke belakang.
"Saya lakukan atas nama cinta saya terhadap muzik dan seni. Inilah yang saya perjuangkan sejak saya ceburi bidang seni dan memasuki industri muzik.
"Buat apa hendak memikirkan kata-kata orang kerana yang penting saya mendapat kepuasan daripada apa yang saya lakukan sekarang. Saya tidak pernah lelah dan jemu dalam menghasilkan muzik kerana ia buat saya gembira.
"Album berkembar saya yang akan dilancarkan kelak ini juga untuk peminat dan mereka yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan begitu menghargai bakat saya.
"Kerana mereka jugalah, saya masih berdiri di sini kerana mereka merupakan inspirasi untuk saya terus menghasilkan karya terbaik," luah Hazami dalam nada bersungguh dan penuh makna sekali.
Projek album yang bermula sejak tahun lalu itu diberi judul Running dan Yang Pertama dan menyaksikan Hazami melibatkan diri secara total baik dari lagu, lirik, susunan muzik sehinggalah ke pemilihan kulit album.
Tidak langsung bersandarkan kepada komposer dan penulis lirik yang lain, pemilik nama penuh Nor Kamal Hazami Ahmad ini mahu memperkukuhkan namanya bukan sahaja sebagai seorang penyanyi tetapi juga sebagai komposer dan penulis lirik.
Malah, buat pertama kalinya juga Hazami memperlihatkan produk terbarunya itu direalisasikan di bawah syarikat rakaman miliknya, Hazami Records Sdn. Bhd., yang ditubuhkan tahun lalu selepas kontraknya bersama syarikat rakaman, Warner Music tamat.
"Saya mencurahkan seluruh keringat dan tenaga saya untuk dua album ini. Mungkin ada orang akan kata saya gila tetapi saya mahu menonjolkan kepada masyarakat bahawa kita mampu hasilkan muzik yang bagus dan berkualiti.
"Bukanlah saya mahu mendabik dada dan mengatakan diri saya yang terbaik tetapi setidak-tidaknya, ia mampu memberi satu implikasi bahawa negara kita tidak pernah kekurangan idea kreatif dalam melahirkan muzik yang baru dan segar," ujar komposer lagu Harapan dan Rawan nyanyian Fazli Zainal dan Azharina Azhar ini penuh berhemah.
Album keempatnya, Running bakal memuatkan 10 buah lagu bahasa Inggeris yang akan menampilkan tiga buah lagu iaitu Wanna Be With You, Can't Go On dan I Gotta Mend My Broken Heart sebagai single.
Katanya, idea untuk merealisasikan album Inggeris pertamanya itu adalah kerana permintaan dari kalangan peminat bukan Melayunya yang mendambakan sebuah album Inggeris sejak sekian lama.
"Saya memang terkejut apabila mereka berkata begitu kepada saya dan barulah saya sedar bahawa sebenarnya ada permintaan untuk lagu-lagu Inggeris.
"Ingin saya tegaskan di sini, album Running masih lagi berlandaskan nuansa Melayu dan saya menjadi diri saya sendiri. Saya mahu orang luar mendengar album ini dan tahu ia adalah produk tempatan," kata bekas penuntut Penang Free School, Pulau Pinang itu sambil menyifatkan album Inggerisnya itu merupakan satu cabaran baru untuknya sepanjang bergelar anak seni.
Sementara itu, album kelimanya yang berjudul Yang Pertama pula akan memuatkan 10 buah lagu Melayu dan Hazami sudah pun memilih tiga buah lagu iaitu Yang Pertama, Petanda dan Kenangan Cinta Bahagia untuk disiarkan di radio.
Sekadar menyingkap sejarah, Hazami mula mencuri perhatian peminat industri muzik tempatan lewat lagu saduran, Sonata Musim Salju yang dimuatkan dalam album perdananya, Tekad Redha Tabah pada tahun 2003.
Dua tahun selepas itu, namanya terus berada di puncak populariti apabila lagu Kata dan Mungkir Bahagia yang dimuatkan dalam album keduanya, Kata sememangnya mencuri perhatian ramai.
Malah, lagu Kata telah memberikannya hasil yang cukup lumayan apabila dia memenangi kategori Vokal Terbaik dan juara kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu Ke-20 pada tahun 2006.
Sekali lagi, tuah memihak kepadanya apabila lagu Mungkir Bahagia berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-21 setahun selepas itu dan melayakkannya membawa pulang anugerah Persembahan Terbaik.
Tahun 2007 pula menyaksikan Hazami tampil dengan album ketiganya berjudul Nyata. Entah dimana silapnya, album itu bagaikan menenggelamkan nama Hazami.
Tidak pernah sesal dengan Nyata, Hazami ternyata bersikap matang dan optimis di sebalik kegagalan itu walaupun ia memuatkan lagu popular, Kiblatku.
"Menerusi Nyata, saya diberi peluang untuk menterjemahkan isi hati saya menerusi lagu yang ditampilkan. Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan nama-nama hebat tetapi, saya percaya apa yang berlaku semuanya ada hikmah
"Saya cukup berterima kasih kepada Warner Music kerana cukup memahami kehendak saya sebagai seorang penyanyi dan pengkarya. Tanpa mereka, tidak mungkin saya akan mengecapi apa yang saya nikmati hari ini," ujar penyanyi hitam manis yang cukup murah dengan senyuman ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: