
Album yang penuh kelainan dari segi gubahan dan susunan muzik ini memuatkan 10 buah lagu yang rata-ratanya bergenre pop dan fast beat seperti single pertamanya, ‘Langkah Di Hatimu’ yang juga merupakan lagu tema drama bersiri ‘Kasut Tumit Tinggi’.
Sebuah lagi lagu tema drama siri ‘Comel’ siaran TV3 yang bertajuk ‘Lagu Happy’ turut dimuatkan dalam album terbaru ini. Kedua-dua buah lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Amy sendiri selain tiga buah lagu lain iaitu Dingin Malam, Ini Kasihku dan Mencapai Bintang.
“Saya diberi kebebasan sepenuhnya untuk memastikan album ini memuaskan hati saya dan juga peminat. Pihak Sony Music memberi kepercayaan kepada saya untuk saya terbitkan album ini bersama tiga penerbit lain,” kata Amy ketika ditemu bual di studio Karangkraf.
Selain beliau, Amy juga bergandingan dengan Goh Boon Hoe, Panji dan D’navigator sebagai produser menerbitkan album Happy ini. Boon Hoe merupakan salah seorang individu yang bertanggungjawab menerbitkan album pertama dan kedua Amy, Jawapan Kasih (1994) dan Pujaanku (1996).
Panji pula merupakan anggota kumpulan Surga dari Indonesia yang pernah dikenali di Malaysia suatu ketika dahulu menerusi lagu 8 Hari Seminggu. Antara lagu yang pernah mendapat sentuhan Panji ialah Sayang Sayang nyanyian Aliff Aziz.
D’navigator merupakan seorang komposer dan produser muda yang baru berusia 23 tahun memang cukup dikenali dalam menghasilkan lagu-lagu Hip Hop. Antara lagu yang pernah diberi nafas baru oleh D’navigator ialah lagu Alhamdulillah nyanyian Too Phat dan Yassin, Dua Dunia (Too Phat & Datuk Siti Nurhaliza), How Me Seksi (Too Phat & Inul) serta ramai lagi. Bukan itu sahaja, beliau turut menerima dua anugerah pada Anugerah Industri Muzik ke 16 baru-baru ini.
“Sepanjang pembikinan album, saya rasa tuah tajuk album ini, ‘Happy’ (gembira) menjadikan proses tersebut berjalan lancar tanpa masalah,” tambah Amy.
Walau pun Amy kini sibuk dalam mempromosikan album dan aktiviti seni yang lain, beliau tetap meluangkan masa yang berkualiti terhadap keluarganya.
Amy sempat berseloroh, “Kini anak kedua saya Adalia, 4 tahun mula menunjukkan ciri-ciri ingin mengikuti jejak langkah saya kerana saya perhatikan dia cenderung ke arah hiburan tidak seperti kakaknya Adriana, 8 tahun yang cenderung ke arah IT.”
Beliau amat menghargai jasa baik pembantu-pembantunya kerana menolong menyediakan jadual hariannya dengan cukup efektif. Amy tidak perlu risau kerana suami dan anak-anak amat memahami kerjayanya.
Amy akan bertambah sibuk menjelang menyambut Ramadhan tidak lama lagi kerana sebagai duta kepada makanan bijirin Quaker Oats, pelbagai program masakan untuk siaran televisyen dan majalah telah direncanakan dan akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: