Sunday, January 18, 2009

Rahsia Sofaz terus unggul


Sofaz mahu terus bertahan sampai bila-bila.


Siapa kata Sofaz tidak hebat? Selama lima tahun bergiat aktif dalam bidang muzik, kumpulan ini masih lagi utuh dan kekal dengan eman orang ahli.

Tidak seperti sesetengah kumpulan lain, baru setahun jagung dalam industri dah timbul macam-macam masalah. Berpecah, bergaduh dan mungkin juga ada yang buat macam-macam hal.

Bagi vokalis kumpulan Sofaz, Are Meer, semua ini adalah anugerah terindah untuk Sofaz terus kekal dalam bidang muzik. Biar beribu kumpulan lain yang muncul, Sofaz tetap berharap akan menjadi antara kumpulan yang terbaik di Malaysia.

Bukanlah menidakkan keupayaan kumpulan-kumpulan yang lain tetapi apa yang istimewa tentang kumpulan ini, mereka masih lagi belum bercakaran sehingga membawa kepada pertelingkahan.

"Bukan mudah untuk kita sama-sama terus kekal dalam satu kumpulan sehingga kini. Walaupun ada cerita-cerita yang kurang enak tapi semua itu tak menjadi kudis kepada kami," tegas Are Meer.

Jika ada masalah pun mereka akan cuba selesaikan secara baik. Memang sejak dulu lagi mereka mengamalkan konsep berbincang jika timbul sebarang isu.

"Seperti saya sendiri, lebih baik kita cakap depan apa yang terbuku dalam hati. Buat apa kita hendak cakap belakang-belakang. Nanti kita juga yang buruk," kata Are Meer.

Mungkin atas dasar keterbukaan inilah yang membuatkan Sofaz terus bertahan sampai sekarang. Are Meer juga berharap agar Sofaz terus kekal sampai bila-bila.

Tambah Are Meer, masih banyak lagi peminat yang memberikan semangat kepada kumpulan Sofaz untuk terus bertahan sehingga kini. Memang Sofaz hargai sangat sokongan yang telah diberikan.

Sofaz yang pernah memenangi Artis Berkumpulan Popular, Anugerah Planet Muzik 2006 dan Artis Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular 2007 juga semakin berbakat dalam penciptaan lagu. Jika album terdahulu, banyak pencipta-pencipta luar yang menyumbangkan lagu untuk kumpulan ini, namun kini coraknya semakin berubah.

Untuk album Kepantasanku sudah banyak lagu-lagu ciptaan anggota Sofaz sendiri yang dimuatkan dalam album mereka.

Lagu Bukan Di Sini menjadi bukti kreativiti Sofaz tidak terletak kepada bidang nyanyian sahaja. Lagu cipataan Zimi dan Are Meer, manakala lirik oleh One. Ternyata, ciptaan hebat mereka turut tersenarai sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL 23) malam ini.

Memang besar harapan mereka untuk menyertai AJL 23 kali ini. Ia mengulangi sejarah AJL 22 di mana Sofaz turut layak ke peringkat akhir. Kali ini debarannya mungkin kurang kerana Sofaz sendiri pernah berada di pentas final AJL tahun lalu.

Untuk persembahan kali ini, Sofaz akan melakukan kelainan apabila membuat persembahan bersama dengan iringan muzik akustik. Are Meer menambah, walaupun menggunakan muzik akustik, lagu Bukan Di Sini masih tidak banyak berbeza daripada versi asal.

Masih Kekal Bersama

Sebelum ini ada cerita-cerita kurang enak yang mengatakan salah seorang daripada ahli Sofaz tidak berdisiplin dan sering menimbulkan masalah. Tetapi peminat-peminat masih belum mengetahui siapakah gerangan anggota Sofaz tersebut.

Kata Are Meer, semua itu hanyalah fitnah orang yang tidak senang dengan kumpulan mereka. Masakan tidak, kebanyakan masa mereka dihabiskan bersama. Jadi, isu itu memang tidak timbul.

"Hampir setiap masa kami bersama, jadi sudah pasti kami tahu perangai antara satu dengan lain. Tapi bila keluar cerita yang bukan-bukan memang kami terkejut sebab perkara tersebut tak pernah berlaku.

"Lagipun, ketika cerita tersebut keluar, kami sedang sibuk membuat recording demo untuk album yang akan datang. Memang semua anggota ada bersama-sama duduk dalam studio," ujar Are Meer.

Selama lima tahun menjadi antara kumpulan popular tanah air, Sofaz telah menghasilkan tiga buah album. Album pertama berjudul Cintai Aku dirakamkan sekitar tahun 2003 manakala album seterusnya, Janjiku pada tahun 2006.

Bagi album Kepantasanku yang diterbitkan pada 2007, ia mencatatkan jualan yang memberangsangkan. Ia dilihat sebagai petanda awal bahawa Sofaz masih lagi diterima peminat dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan Sofaz untuk merakamkan album terbaru.

Album Bakal Muncul

Dengan ledakan populariti Sofaz masa kini, dalam diam-diam mereka sedang sibuk di dalam studio untuk pembikinan single terbaru yang dijangka keluar Februari ini.

Walaupun masih lagi belum mempunyai tajuk lagu yang sesuai, setiap anggota Sofaz begitu bersemangat untuk projek mereka yang akan datang ini. Kalau boleh, album ini memuatkan hasil penciptaan mereka sendiri.

"Strategi kita mahu keluarkan single dahulu. Apabila lagu tersebut diterima ramai, barulah kita akan mengeluarkan album penuh. Tapi, kita tidak berjanji bila ia akan menemui peminat. Tapi, Insya Allah dalam tahun ini juga.

"Harap semua peminat terus menyokong karier Sofaz dan kami akan cuba memberikan yang terbaik untuk anda.," kata Are Meer.

Peminat-peminat Sofaz boleh terus klik kepada www.sofarz.com atau www.myspace.com/sofaz untuk mengetahui perkembangan terbaru kumpulan ini.

4 comments:

  1. Buat SOFAZ(R),
    teruskanlah perjuangan anda semua. Keep maintain...... good luck and all the best. Buat Aremeer, wajah mu buat aku teringat akan arwah suami ku.

    ReplyDelete
  2. eh..awak,arwah suami awak macam muka aremeer ke?

    ReplyDelete
  3. saye hrp sofaz masih uggul lgi....sofaz teruskan perjuang anda

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: