![]() |
| FILEM Australia MEMBERI PENEKANAN KEPADA LATAR SEJARAH NEGARA AUSTRALIA ANTARA TAHUN 1930-AN DAN 1940-AN. |
PENGORBANAN dan cinta merupakan dua unsur yang sering menjadi elemen utama naratif dalam sebuah filem yang dikategorikan sebagai epik.
Pengorbanan menjadi elemen penting yang membentuk keyakinan patriotisme dalam pembentukan sesebuah negara bangsa.
Sementara hubungan cinta menjadi dasar kepada hubungan individu yang sanggup melakukan pengorbanan.
Sejarah filem-filem bertaraf epik telah memperlihatkan bagaimana kuatnya hubungan kedua-dua elemen ini iaitu pengorbanan dan hubungan cinta sebagai dasar yang menggerakkan naratifnya.
Pada dasarnya kedua-dua elemen inilah yang membentuk dasar naratif filem epik Australia.
Tetapi filem Australia bukan sahaja tentang pengorbanan dan kisah cinta sahaja tetapi apa yang lebih penting, filem ini menunjukkan hubungan sejarah dan budaya masyarakat pribumi Australia yang terpinggir, ditekan dan dijajah secara kejam.
Australia ditulis dan diarahkan oleh Baz Lurhmann iaitu sutradara kelahiran Australia yang sebelum ini telah memberikan sentuhan hebat terhadap filem Moulin Rouge.
Cebisan daripada tradisi
Lakon layar filem ini pula ditulis oleh Baz Lurhmann bersama Stuart Beattie, Ronald Harwood dan Richard Flanagan.
Filem Australia yang mengambil latar sejarah negara Australia antara tahun 1930-an hingga 1940-an berlatarkan era Australia yang sedang bergolak dengan masalah hubungan antara kaum kulit putih dan penentangan masyarakat pribumi dan dalam kecamuk perang dunia kedua.
Malah filem Australia dengan latar sejarah awal abad ke-20 itu mungkin cuba menarik perhatian penonton kepada sejumlah filem-filem Australia dekad 1970-an antaranya Picnic at Hanging Rock (1975, Peter Weir), Sunday Too Far Away (1975, Ken Hannam), The Devil's Playground (1976, Fred Schepisi), Newsfront (1977, Phil Noyce) dan My Brilliant Career (1979, Gillian Armstrong) serta filem Gallipoli (1981, Peter Weir).
Biarpun filem-filem ini mengambil latar sejarah Australia tetapi masyarakat yang digambarkan lebih berkisar kepada masyarakat kulit putih yang datang menguasai tanah Australia dari Britain, sungguhpun filem seperti Gallipoli dan Breaker Morant (1980, Bruce Beresford) bersikap kritikal dan anti British.
Sungguhpun Australia sebuah filem epik dengan latar Australia, tetapi filem ini mempunyai cebisan daripada tradisi filem-filem epik Hollywood seperti Gone With Wind dan The African Queen.
Malah juga daripada filem-filem koboi dengan kisah penggembala lembu.
Australia menumpukan kepada watak Lady Sarah Ashley (Nicole Kidman) wanita bangsawan dari England yang datang ke Australia kerana mengesyaki perbuatan curang suaminya tetapi kemudian mendapati suaminya mati yang dipercayai dibunuh oleh lelaki pribumi.
Tetapi ketibaannya menemukan Ashley dengan beberapa perkara yang lain, antaranya penipuan perniagaan oleh rakan niaga suaminya, Carney (Bryan Brown) dan penyeksaan dan penindasan yang dilakukan terhadap masyarakat pribumi Australia terutamanya kanak-kanak yang berdarah campuran kulit putih dan asli iaitu Nullah (Brandon Walters).
Nullah cuba dipisahkan oleh kerajaan untuk dibawa ke pusat pendidikan kerajaan dalam satu polisi pendidikan yang cuba mengubah orang asli ini menjadi 'orang putih', satu polisi perkauman yang pernah menjadi subjek filem Rabbit-Proof Fence. Nullah diambil oleh Ashley yang tidak mempunyai anak dan membatalkan hasratnya untuk kembali ke England.
Tetapi Ashley juga perlu mendepani realiti baru yang tidak pernah dilaluinya sebelum itu iaitu persaingan perniagaan lembu dan cabaran untuk membawa sejumlah 1,500 ekor lembu ke Darwin untuk dieksport.
Bagaimanapun, kesukaran dan cabaran itu dapat diatasi dengan bantuan Drover (Hugh Jackman) seorang penggembala lembu persendirian dan sejumlah pekerja Faraway Downs yang terdiri daripada masyarakat orang asli.
Dan antara orang asli tersebut ialah Nullah iaitu seorang kanak-kanak yang tidak diterima oleh kaum kulit putih yang menganggapnya kanak-kanak orang asli.
Masyarakat orang asli pula tidak menganggap Nullah sebahagian daripada mereka.
Tetapi Nullah seorang kanak-kanak istimewa yang dikatakan dapat berhubungan dengan roh datuknya seorang bomoh.
Malah selepas hubungan antara Ashley dan Drover dan cabaran yang mereka hadapi dalam perniagaan lembu, watak Nullah merupakan penyelamat plot dan filem ini.
Melalui watak Nullah ini, khalayak didedahkan pelbagai tekanan dan penindasan terhadap masyarakat orang asli melalui pengusiran dari tanah leluhur mereka dan melalui penempatan semula yang sebenarnya bakal memusnahkan warisan dan budaya mereka.
Kecemerlangan visual
Hanya sekitar tahun 1973, penindasan dan kekejaman kaum pendatang kulit putih terhadap masyarakat orang asli ini dihentikan secara undang-undang.
Tanpa watak Nullah, filem Australia hanyalah sebuah naratif epik biasa yang boleh dianggap stereotaip yang hanya menggabungkan elemen pengorbanan watak semasa kecamuk perang dan bersaing semasa menghadapi era ekonomi keras 1930-an dan hubungan cinta.
Pada masa yang sama, watak Nullah juga tidak dikembangkan dengan baik yang mampu memperlihatkan perkembangan emosinya dan masalah sosial serta penentangan masyarakat kaum asli ini akibat polisi dan tekanan penjajah Inggeris ini.
Bagaimanapun, kelemahan naratif dalam Australia diselamatkan oleh kecemerlangan visual hasil daripada kekuatan fotografi arahan pengarah fotografi Mandy Walters.
Landskap Australia yang luas dan dramatik berjaya diangkat dengan cemerlang oleh dengan shot-shot udara, gambaran landskap tanah Australia dengan warna alam yang mempesona.
Kejayaan visual Australia dibantu oleh Imej Janaan Komputer (IJK) yang mampu membina semula Australia pada era 1930-an dan 40-an.
Tanpa kekuatan fotografi yang cemerlang ini, Australia sekadar sebuah epik yang biasa dan klise.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: