|
| SELEPAS bergelar pengarah drama, pelakon Nanu Badarudin, 40, melangkah setapak lagi apabila menjadi penerbit bersama untuk filem Haq The Movie (HTM). |
Filem yang turut dibintangi Nanu diserikan lagi dengan kehadiran Zul Huzaimy, Adi Putra, Raja Farah dan Fatimah Abu Bakar.
Pastinya peluang diberikan Pengarah Urusan KasihDia Pictures, Jumaatun Azmi digunakan Nanu untuk mempelajari selok-belok pembikinan filem.
"Mungkin siapa tahu selepas ini segala ilmu yang saya peroleh sepanjang membintangi HTM dapat digunakan untuk menerbitkan filem di bawah produksi milik sendiri, Pure White Pictures Sdn Bhd (PWPSB).
"Sebelum ini apabila berlakon filem, saya hanya menumpukan perhatian sepenuhnya pada skrip dan watak. Saya tidak pernah memikirkan hal lain berkaitan produksi.
"Apabila menjadi penerbit bersama, bermakna saya kena mengambil tahu semuanya, bermula daripada kos, lokasi, kebajikan pelakon sehinggalah kepada promosi filem bakal dilakukan nanti," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem ini, kelmarin.
Bercerita mengenai pembabitannya sebagai penerbit bersama kata Nanu, segalanya bermula apabila dia sering berbincang bersama Jumaatun mengenai filem itu yang sudah dirancang pembikinannya bermula pertengahan tahun lalu.
"Pada awalnya Jumaatun datang kepada saya untuk menawarkan membintangi filem ini dengan memegang watak utama. Apabila setiap kali berbincang, banyak perkara yang saya sarankan kepadanya. Apabila perkara itu sering berlaku, dia menawarkan kepada saya untuk menjadi penerbit bersama.
"Ingin saya jelaskan pembabitan saya tidak membabitkan PWPSB dan saya bekerja untuk KasihDia Pictures," katanya.
Walaupun cabaran yang harus dihadapi selepas ini agak besar namun jelas Nanu dia bersedia menerimanya. Katanya, hendak diikutkan dia lebih gemar melakukan satu kerja dalam satu masa.
"Sewaktu mengarah dua drama dalam produksi sendiri, saya tidak berlakon. Namun kali ini berbeza kerana saya benar-benar mahu belajar," katanya.
Dalam HTM, Nanu memegang watak Zahra, wanita yang mempunyai sisi hitam dalam kehidupannya.
Nanu mengakui tertarik dengan watak itu sebaik saja membaca skrip.
"Saya terus tertarik dengan watak ditawarkan sebaik saja membaca skrip. Ia begitu mencabar. Bagaimanapun pelakon HTM bertuah apabila KasihDia Production menyediakan tenaga pengajar untuk mengenal jalan cerita dan watak.
"Sudah sebulan sebenarnya persediaan dilakukan dan dalam waktu sama kami turut dihantar untuk meningkatkan stamina dengan menjalani senaman setiap hari. Selain itu menariknya filem ini apabila barisan pelakon turut menari dan latihan untuk itu sedang giat dilakukan," katanya.
Sementara itu di majlis sidang akhbar, Jumaatun menjelaskan filem bertemakan aksi dan misteri itu akan memulakan penggambaran Februari ini dan dijangka menelan belanja RM2.5 juta.
Membelanjakan wang yang tinggi untuk menerbitkan filem ini pastinya dilihat penggiat sebagai risiko besar kerana sebelum itu tiga filem yang menelan belanja besar dan ditayangkan akhir tahun lalu iaitu Cicakman 2, Los & Faun dan Antoo Fighter tidak mendapat pulangan setimpal.
Menjelaskan mengenai perkara itu jelas Jumaatun, dengan kerjasama dijalin bersama Black Box Pictures, diharapkan filem itu akan dapat dijual ke negara luar.
"Pengarah Urusan Black Box Pictures, CL Hor yang turut mengarahkan filem ini bersama Fairuz Loy (pernah mengarahkan drama bersiri Susuk, Ayyad dan Seri Maya) mempunyai pengalaman memasarkan filem dihasilkan iaitu Kinta 1881 di keluar negara dan sudah ditayangkan di Amerika Syarikat.
"Bagaimanapun, tumpuan kami sudah tentulah untuk pasaran tempatan dan kerana itu Haq tidak tertumpu kepada tema keagamaan semata-mata sebaliknya Islam menjadi asas pada jalan cerita. Apa yang lebih ditonjolkan adalah aksi dan percintaan iaitu jalur dianggap sejagat.
"Antara perancangan awal kami adalah selain memasarkan HTM di rantau ini kami merancang untuk membawanya ke Timur Tengah dan Hong Kong.
"Di negara Arab kami akan mempromosikan konsep keIslaman ditampilkan dalam filem ini sementara Hong Kong pula aksinya. Atas alasan itu cara HTM dipromosikan juga berbeza. Namun ingin saya tegaskan di sini bahawa pasaran tempatan masih menjadi keutamaan kami," katanya.
Menyentuh mengenai khidmat dua pengarah digunakan untuk menghasilkan filem ini jelas Jumaaton ia bukan satu masalah kerana Hor dan Fairuz mempunyai keistimewaan masing-masing.
"Hor akan memberikan tumpuan kepada rakaman aksi sementara Fairuz akan menjaga jalan cerita agar tidak lari daripada budaya Melayu dan elemen percintaan," katanya.
Hor pula menjelaskan selepas perbincangan dilakukan dia tidak menghadapi masalah untuk bekerja dengan Fairuz. Bagaimanapun mengenai pandangan dan budaya kerjaya mereka belum mampu memberi komen mengenainya, namun mengharapkan segala dirancang dapat dilakukan dengan baik demi kebaikan filem ini.
Filem HTM berkisar kepada dua orang adik-beradik angkat yang mempunyai kuasa luar biasa. Konflik bermula apabila mereka diuji dengan keperitan hidup, godaan kemewahan, wanita dan ketidakpastian di antara yang betul dan yang salah. Filem ini juga cuba mengangkat satu watak superhero tempatan yang boleh dijadikan kebanggaan kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: