![]() Norman dan Zainir bersama barisan pelakon yang terbabit dalam filem KRU tahun ini. |
Semua filem keluarannya akan disiarkan sebaik tayangan di pawagam selesai
SEMUA filem terbitan KRU Studio yang sudah diselesai ditayangkan di panggung akan disiarkan secara eksklusif di Astro. Perjanjian memberi hak penyiaran antara KRU Studio dan Astro selama tiga tahun itu dimeterai Rabu lalu dan ia berkuat kuasa pada 1 Januari 2009.
Perjanjian itu adalah strategi baru yang dilihat dapat membantu penerbit tempatan meraih pendapatan tambahan hasil daripada filem terbitan syarikat mereka.
Pengumuman kerjasama itu berlangsung di Menara Kuala Lumpur. Dengan termeterai perjanjian berkenaan, KRU harus menyerahkan 12 filem terbitannya mengikut syarat yang sudah pun ditanda tangani kedua-dua pihak.
Selain pengumuman kerjasama, KRU turut mengumumkan senarai filem terbitan syarikat mereka yang bakal menemui penonton sepanjang tahun ini iaitu Jin Notti, My Spy dan Magika serta filem antarabangsa terbitan mereka Deadline lakonan Brittany Murphy dan Thora Birch yang dijangka menemui penonton seluruh dunia sekitar pertengahan tahun ini.
Selain itu, KRU Studio juga akan mengedarkan dua animasi iaitu Sunshine Barry& The Disco Worms dan Planet 5.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio, Norman Abdul Halim berkata, kerjasama seperti ini dapat membantu meringankan beban syarikatnya. Katanya, KRU Studios kini tidak perlu risau memikirkan ke mana produk terbitan mereka harus disalurkan selepas memasuki panggung menerusi kerjasama ini.
“Kerjasama dengan Astro ini sedikit sebanyak memberi jaminan kepada KRU untuk mentadbir perniagaan kami. Sebelum ini KRU lebih banyak terbabit dalam industri muzik tetapi kini fokus kita lebih kepada filem. Kami berjanji, sama ada box office atau tidak filem terbitan kami, KRU Studio akan cuba menghasilkan produk yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment, Zainir Aminullah pula berkata, perjanjian yang pertama kali dibuat ini memberi jaminan kepada produser filem tempatan platform untuk memperkenalkan produk terbitan syarikat mereka.
Katanya, Astro bersetuju menjalinkan kerjasama dengan KRU kerana melihat prospek syarikat berkenaan yang cukup membanggakan. Kelainan yang ditampilkan produk KRU seperti penghasilan filem Cicakman amat bersesuaian dengan objektif stesen televisyen itu untuk menyajikan rancangan menarik kepada pelanggannya.
“Pendekatan yang diambil oleh Astro ini sebenarnya memberi jaminan keselamatan kepada penerbit tempatan kerana kami menjanjikan tempat untuk produk mereka. Dalam soal harga pula, Astro akan bincang berapa harga yang akan diberikan.
“Dengan cara ini penerbit tempatan mendapat perolehan tambahan, sekurang-kurangnya tidak sia-sia produk yang mereka hasilkan. Contohnya walaupun filem yang mereka hasilkan tidak berjaya di layar perak tetapi berjaya mencatat jumlah penonton yang tinggi apabila disiarkan di televisyen dan secara tidak langsung juga dapat menarik peminat baru.
“Kita mahu penerbit lain melihat kebaikan perjanjian ini yang dapat menjadi pemangkin bagi mereka meraih keuntungan,” katanya.
M Nasir antara pelakon Magika
PADA majlis berkenaan, Norman turut mengumumkan barisan pelakon filem muzikal sepenuhnya, Magika arahan Edry yang bakal dibintangi nama besar tanah air seperti M Nasir, Vanidah Imran, Ning Baizura, Ziana Zain dan turut dibintangi Mawi, Diana Danielle,Dafi serta ramai lagi. Filem muzikal berkonsepkan ala filem Mamma Mia! itu memuatkan 14 lagu baru.
Selepas penerbitan filem Deadline arahan pengarah Hollywood, Sean McConville menembusi 11 buah negara antaranya Turki, Australia, Brazil, Afrika Selatan dan lapan negara Timur Tengah, KRU akan mengedarkan dua filem animasi Sunshine Barry& The Disco Worms yang diedarkan KRU untuk pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei manakala Planet 5 untuk pasaran tempatan saja.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha KRU untuk ke pasaran antarabangsa memandangkan bukan mudah untuk kita memasarkan filem bahasa Melayu di luar. Tidak seperti filem Thailand, di mana mereka boleh edarkan sehingga ke 10 hingga 15 negara.
“Jadi sebagai penggiat filem tempatan, KRU perlu mencari peluang baru untuk memasarkan nama kita di luar dengan cara begini. Jika setakat tagih penonton tempatan, sampai bila-bila pun kita tidak mungkin menembusi pasaran luar negara.
“Kami kini sedang ligat mencari tapak dan kami banyak pergi ke festival filem luar negara seperti di Cannes untuk mendapatkan peluang memperkenalkan nama KRU Studios. Kami berhasrat untuk menghasilkan filem epik yang membabitkan pelagak ngeri dari Hong Kong di mana mereka pernah terbabit dengan filem Jacky Chan dan Hellboy 2 iaitu Chronicles of Merong Mahawangsa yang menggunakan 70 peratus bahasa Inggeris,” katanya kerana tidak mahu Studio KRU yang terletak di tanah seluas 15 ekar di Cyberjaya menjadi seperti gajah putih dengan cara mengembangkan produk syarikatnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: