MODREAD menerima replika cek daripada Dieter (kiri) dan Seelan. |
Band yang dianggotai empat orang itu menjuarai Hot FM Twisties Bingit
BERBEKALKAN prinsip sentiasa memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan nyata memberikan habuan besar buat kumpulan Modread apabila mereka diumumkan juara pertandingan yang julung kali diadakan, Hot FM Twisties Bingit, berakhir pada 17 Januari lalu.
Dengan kemenangan berkenaan, empat pemuzik dianggotai Shahfiq Shahrudin (pemain gitar), Sukri Salleh (bass), Muhammad Fahmi Ikhwan (vokal) dan Adzeem Hairani Ali Omar (dram) membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 serta kontrak bersama syarikat rakaman Monkey Bone.
Modread yang mempertaruhkan lagu sendiri, Revolusi, serta lagu dendangan asal Wings, Ameringo, pada saingan akhir mengetepikan cabaran lima kumpulan finalis lain iaitu Pardon Me, Rockstar, Hunterz, Sodo dan Mystery Call. Selaku naib juara, kumpulan dari Pulau Pinang, Pardon Me, menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000.
Empat finalis lain menerima sagu hati bernilai RM2,000 setiap kumpulan, manakala kumpulan yang tersingkir lebih awal, Canaries, Fury, Nada Band dan The Rhymes pula menerima RM1,000.
Pada pertandingan akhir yang berlangsung di CapSquare, Modread nyata dilihat mempunyai kelebihan apabila persembahan hangat mereka ketika menyampaikan kedua-dua lagu berjaya membuatkan penonton yang hadir dilanda ‘histeria’. Sebaik saja menamatkan persembahan, kedudukan pada dua tempat teratas bagai sudah pasti untuk kumpulan ini.
PARDON ME gembira dengan kejayaan merangkul tempat kedua. |
"Saingan yang kami rasakan cukup kuat ialah daripada kumpulan Mystery Call dan Pardon Me. Bagaimana pun, rezeki nampaknya menyebelahi kami. Ia pencapaian yang tidak disangka-sangka. Sedikit pun kami tidak menjangka, begini sudahnya pengakhiran perjuangan kami selama lebih kurang sebulan bersama," kata Adzeem.
Menurut Shahfiq, sikap bertolak ansur antara setiap anggota kumpulan berjaya membuahkan hasil yang baik buat mereka.
"Maklum saja, masing-masing sebenarnya menggemari muzik yang berbeza. Ada yang menyukai reggae, ada pula yang menyukai hip hop mahupun rock. Tetapi, kami satukan idea dan menghasilkan single yang nampaknya memberikan pulang baik untuk kumpulan ini," katanya.
Sukri pula memberitahu, dengan hadiah kejuaraan berupa kontrak rakaman bersama Monkey Bone, mereka pastinya mempertimbangkan kemungkinan berpindah ke ibu kota bagi melicinkan lagi karier seni yang baru hendak bermula.
Kumpulan itu menjalani bakat di Johor, dengan dua anggotanya, Sukri dan Shahfiq masih menjadikan negeri itu sebagai pangkalan.
Ditanya mengenai wang kemenangan, Fahmi berkata, pastinya mereka akan menyimpan sebahagian besar habuan berkenaan, manakala sebahagian lagi akan digunakan untuk tabung kumpulan.
Kumpulan yang menjadikan pelbagai nama dalam industri hiburan seperti Estranged, Chick Corea, Red Hot Chili Peppers dan Justin Timberlake sebagai idola ini turut berasakan, seandainya mereka diberikan ruang untuk membuat pilihan ketika menghasilkan album nanti, pastinya muzik rock moden akan jadi pertaruhan.
Sementara itu, juri pertandingan yang juga Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian berkata, kumpulan terbabit sememangnya layak bergelar juara, seterusnya bernaung di bawah jenama yang turut memayungi karier Faizal Tahir, Ayu Damit dan Shila.
"Keistimewaan Modread bukan hanya terletak pada keupayaan mereka dalam permainan muzik dan persembahan vokal, malah anggotanya menunjukkan keserasian yang baik bagaikan sudah 10 tahun saling mengenali. Sedangkan, mereka tidak mengenali antara satu sama lain sebelum digabungkan penganjur sebagai satu kumpulan untuk pertandingan berkenaan," ujar Edris.
Sebagai kumpulan muzik pertama di bawah label terbabit, Edris berkata, mereka akan mengasuh Modread sebaik-baiknya sebelum diberikan peluang untuk muncul bersama album sendiri. Dia juga berkata, kemungkinan besar corak muzik rock tegar sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan itu akan dikurangkan sedikit bagi menyesuaikannya dengan selera pasaran semasa.
"Namun, sudah tentu kami akan kekalkan elemen rock tegar mereka itu dalam beberapa lagu, kerana corak muzik sebegitu kekuatan mereka. Ketika ini, mungkin semuanya terlalu awal untuk diperkatakan. Kami perlu duduk berbincang terlebih dulu sebelum sesuatu keputusan berhubung arah tuju karier dan bentuk album mereka dapat diperjelaskan," kata Edris yang menganggap keenam-enam kumpulan menunjukkan kemampuan terpuji pada final pertandingan terbabit.
Selain Edris, juri pertandingan akhir terdiri daripada Ketua Bahagian Radio, Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar; anggota Meet Uncle Hussain, Taja; komposer, Edrie Hashim; dan anggota kumpulan Spider, Tony. Penilaian mereka mewakili 50 peratus daripada markah keseluruhan, dengan sebahagian lagi diwakili undian peminat.
Hadiah kepada peserta disampaikan Pengarah Urusan Kraft Food Malaysia, Dieter Shulz dan Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: