Thursday, January 15, 2009

Dejavu M. Nasir buat Syura


SELAIN menyanyi, Syura kini bergiat aktif dalam perniagaan perkhidmatan perkahwinan dan andaman.


JIKA dilihat pada angka usia penyanyi berusia 22 tahun ini, pasti ramai yang membuat telahan bahawa minatnya terhadap irama asli dan etnik hanya bersifat sementara.

Bagaimanapun, ia hanyalah telahan semata hakikatnya, ibu beranak satu ini tetap yakin terhadap kemampuannya mengalunkan lagu-lagu irama sepanjang zaman itu sementelah mendapat sokongan daripada para peminatnya.

Tatkala penyanyi seusianya rancak memperjudikan nasib mengalunkan lagu-lagu berirama pop dan sebagainya, pemilik nama sebenar Zuraidah Badron atau Syura masih lagi setia dengan irama tradisional.

Bukan tidak mahu kembali menyanyikan lagu-lagu genre lain termasuk pop, cuma dia punya alasan tersendiri dalam memperjuangkan irama warisan itu.

Mengerti akan tuntutan dan kehendak sebilangan besar peminat yang rata-rata mahukan perubahan demi perubahan, namun Syura tetap enggan mengalah.

Baginya, siapa lagi yang harus dipertanggungjawabkan menyanyi dan mempertahankan lagu-lagu tradisional jika tidak oleh barisan penyanyi muda sepertinya.

"Saya perlu tampil dengan lagu-lagu etnik seperti sekarang sebab kalau bukan saya siapa lagi nak terus pertahankan lagu-lagu irama sebegini.

"Memang saya tahu cita rasa remaja sekarang. Apa yang mereka mahu dan apa yang mereka inginkan memang saya tahu sebab usia saya pun baru 22 tahun.

"Bagaimanapun, lagu-lagu etnik yang saya nyanyikan setakat ini tidaklah terlalu asli seperti zaman dahulu, ia tetap mengikut peredaran zaman sebab itu saya rasa peminat masih boleh terima lagu-lagu yang saya nyanyikan sekarang ini," kata penyanyi yang popular dengan lagu Nazam Berkasih itu.

Pada awal kemunculan sekitar tahun 1999, Syura pernah muncul dengan album pop, Aroma yang ketika itu begitu popular dengan lagu Kasih Tidak Terjamah.

Selang empat tahun selepas itu, Syura sekali lagi tampil dengan album pop berjudul Aruda.

Bukan tidak yakin untuk kembali menyanyikan lagu-lagu pop jauh sekali berjauh hati, kata Syura: "Kebolehan saya ialah menyanyikan lagu-lagu sebegini. Bukan saya merajuk tetapi jika mutu jualan untuk album-album pop tidak begitu menggalakkan untuk apa saya teruskan.

"Lebih baik saya terus menghasilkan album tradisional yang ternyata punya sambutan di kalangan peminat seni," kata isteri kepada seorang guru, Mohd. Fadhly Md. Yasin, 27.

Mengubati kerinduan

Kerana semangat dan jiwa yang sarat untuk memperjuangkan lagu-lagu irama asli dan etnik Syura telah menghasilkan sebanyak empat buah album iaitu Firus (duet bersama Siti Nordiana) pada tahun 2000, Senandung Melayu (duet bersama Datuk M. Daud Kilau) pada tahun 2001, Balaghah (2004) dan Syahdah Berdendang (2006).

Apa yang lebih membanggakan, album keempatnya iaitu Syahdah Berdendang diangkat sebagai penerima anugerah Album Pop Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2007 (AIM 07).

Meneruskan kesinambungan, Syura kini tampil dengan album etnik kelima, Khazanah Pujangga yang telah mula dipasarkan sejak 15 Disember lalu.

Ternyata status sebagai ibu kepada bayi perempuan berusia

17 bulan, Nurul Dania Irdani ini bukanlah kekangan buatnya untuk kembali aktif di bidang seni.

Selepas berehat panjang menjalani tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, Khazanah Pujangga dianggap sebagai hadiah bagi mengubati kerinduan para peminatnya.

Memuatkan 20 buah lagu termasuk tiga lagu baru, album tersebut menghimpunkan lagu-lagu dendangan Syura dalam beberapa album tradisional dan etniknya sebelum ini.

Tiga lagu baru ialah Dejavu, ciptaan dan lirik oleh komposer tersohor M. Nasir, Pujangga Merindu ciptaan Radeen Sri dan lirik oleh Hairul Anuar Harun serta Mendung, ciptaan dan lirik oleh Yassin.

Menjelaskan keistimewaan album terbarunya itu, kata Syura, ini merupakan rancangan syarikat rakamannya, Fantasia Music City (FMC) yang menyenaraikan lagu-lagu terbaik daripada album-album tradisionalnya untuk dimuatkan dalam album tersebut.

Bercerita tentang kemunculan semula setelah dua tahun menyepi tanpa album, menurut Syura dia berasa bertuah kerana mempunyai suami yang amat memahami kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

"Bukan itu sahaja, anak saya juga setakat ini memang tidak banyak ragam. Jadi, untuk bergerak menghadiri pelbagai persembahan pentas memang saya tiada masalah.

"Cuma sekarang ini saya rasa susah sikit untuk bergerak ke Kuala Lumpur (KL), sebab saya sekarang menetap di Johor," ujarnya.

Perniagaan untuk masa depan.

Dalam diam rupa-rupanya Syura kini memiliki perniagaannya sendiri dalam menguruskan perkhidmatan perkahwinan dan andaman.

Butik & Andaman Syura yang memulakan operasi sejak Mei tahun lalu itu merupakan jaminan kehidupannya kelak setelah berundur dari lapangan seni.

"Keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu membuatkan saya berfikir dan merasakan perlu ada perniagaan sendiri. Andai kata saya berhenti daripada bidang nyanyian nanti saya sudah tidak perlu risau lagi tentang kewangan.

"Saya sendiri memang suka perihal andaman dan kecantikan, walaupun pada peringkat awalnya keyakinan saya terhadap perniagaan rendah sebab modalnya begitu besar tetapi Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan berjaya juga saya membukanya.

"Pelbagai koleksi pakaian pengantin termasuk koleksi pakaian saya sendiri semasa membuat persembahan pentas dan pengambaran video muzik turut digunakan," ujar Syura sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: