Saiful Apek, Nabil dan Fouziah antara wajah pelaris untuk pastikan filem dapat sambutan baik
BIARPUN mereka umpama 'lubuk emas' bagi pengarah dan produser drama serta filem tempatan, namun Saiful Apek, Nabil dan Fouziah Gous masih berpijak di bumi nyata, tidak sesekali lupa asal usul. Dan, rasa rendah diri masih menebal dalam diri biarpun disanjung, dipuji dan menjadi buruan penerbit dan pengarah tempatan yang menganggap mereka memberi pulangan lumayan. Sebab itu mereka kini adalah antara wajah pelaris untuk memastikan filem mendapat sambutan baik.
Namun, nama silih berganti mendaki takhta populariti yang tidak pernah bernoktah saban tahun. Laluan mendaki tangga populariti bukannya semudah angka abc, apatah lagi mengekalkannya.
Saiful Apek yang pernah merangkul gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 akur hidup bagaikan putaran roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Untuk mengekalkannya bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran generasi baru yang berbakat.
“Walaupun sudah mencipta nama namun populariti tetap utama. Buat masa sekarang, apa yang perlu difikirkan adalah masa depan kerjaya seni dan cara mengekalkannya. Cabarannya tentu berat tapi semua artis yang pernah menduduki tangga popular perlu melaluinya jika mahu terus berada dalam dunia seni.
“Prinsip saya, jangan mudah lupa diri dan sentiasa memperbaiki kelemahan. Saya masih seperti dulu, masih ingat asal usul saya. Bukan mudah saya mencapai tahap seperti hari ini, sesuatu yang tak pernah saya jangka. Cuma saya bernasib baik, peminat tak pernah jemu-jemu menyokong saya.
“Siapa sangka dari seorang krew belakang tabir, saya bergelar pelakon dan pelawak popular. Pejam celik sudah 15 tahun saya berada dalam dunia seni dan hingga kini, saya sudah membintangi 45 filem. Cuma tahun ini, saya membataskan aktiviti lakonan bagi memberi tumpuan pada kerja pengarahan dan pembikinan album yang terbengkalai lebih dua tahun,” katanya yang bakal muncul menerusi album solo pertama tidak lama lagi.
Saiful juga akui, kemunculan pelawak baru yang dianggap generasi baru tidak pernah mengancam kariernya, malah mereka adalah penyambung warisan perjuangannya yang kini mula beralih arah ke dunia pengarahan dan ia nyata lebih mencabar.
“Bukan soal sudah tidak laku... sebaliknya saya mahu menumpukan perhatian pada kerja yang terbengkalai. Selepas filem Shh... Dia Datang, saya akan mengarahkan satu filem lagi terbitan Noradz Production. Saya juga terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon filem bagi menumpukan perhatian pada kerja pengarahan dan pembikinan album.
“Selepas menerajui 45 filem, tibalah masanya saya memberi ruang pada kerja di sebalik tabir yang diminati selama ini. Dulu saya bermula dengan kerja balik tabir dan pernah menimba pengalaman bekerja dengan Aznil Nawawi, bagaimanapun saya dipecat kerana menolak dua tawaran berlakon. Saya sebenarnya lebih meminati kerja belakang tabir berbanding berlakon, tetapi rezeki lakonan lebih menyebelahi saya selepas saya menyertai kumpulan Senario,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Terbaru, Saiful bersama Nabil dan Fouziah buat pertama kalinya digandingkan dalam filem Sifu Dan Tonga arahan Profesor Madya Razak Mohaideen. Filem terbitan Lineclear Motion Pictures dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) itu akan menjengah pawagam bermula 29 Januari ini.
Nabil sifatkan Saiful sebagai mentor
Sebagai pendatang baru, Nabil mengangkat Saiful sebagai mentornya. Digandingkan bersama Saiful umpama bulan jatuh ke riba. Sambil menjeling pada Saiful, Nabil akui: “Inilah pertama kali dalam hidup saya berlakon filem dan digandingkan pula dengan mentor saya, Saiful Apek dalam filem Sifu Dan Tonga. Sukar nak gambarkan perasaan saya ketika itu, apatah lagi saya masih terlalu hijau dengan dunia lakonan.
“Saya masih ingat ketika itu, saya mendapat ‘sindrom confius’, maklumlah baru keluar gelanggang Raja Lawak. Saiful banyak memberi tunjuk ajar dalam membentuk lakonan saya dalam filem pertama ini. Buat saya paling selesa, Saiful melayan saya seperti sudah kenal lama, sedangkan itulah kali pertama kami digandingkan. Saya perhatikan Saiful tak seperti kebanyakan artis popular lain, dia sentiasa merendah diri dan melayan orang sekeliling seolah-olah dirinya orang biasa. Saya percaya itulah formulanya buat peminat terus menyayangi dan sentiasa menantikan kemunculannya di layar perak.”
Nabil juga akui, beliau bernasib baik dipertemukan Saiful yang tidak lokek ilmu dan sering berkongsi pengalaman suka duka bersamanya.
“Sebagai pelawak saya seharusnya tidak bermasalah bergandingan dengan sesiapa tetapi Saiful agak berbeza. Bukan saya mahu menumpang popularitinya, sebaliknya apa saja yang kami buat sering menjadi... tiada pertindihan sesama kami. Itulah dinamakan ‘chemistry.
Hampir setiap babak yang dilakonkan bersamanya membuatkan saya sakit perut menahan ketawa. Saiful banyak memberi tips untuk berdepan dengan kamera, postur yang patut diberikan apabila berada di depan kamera dan cara melontarkan dialog dengan baik,” katanya yang kini dikaitkan hangat bercinta dengan pelakon, Irma Hasmie.
Tonga alami kejutan budaya
Menyentuh filem Sifu Dan Tonga, Nabil akui gementar dengan reaksi penonton terhadap filem pertama lakonannya. Apatah lagi bergandingan dengan nama besar seperti Saiful, Erra Fazira, Fouziah Gous selain penampilan khas, Datuk Jalaluddin Hassan, Piee, Zainal Alam Kadir, Rozita Che Wan, Along Raja Lawak, Din Beramboi, Shamsul Ghau Ghau, Ruminah Sidek dan Mak Jah.
“Saya percaya masih banyak kelemahan saya dalam filem pertama ini, tetapi saya bersyukur mendapat tunjuk ajar daripada pengarah selain pelakon senior lain. Cuma, filem komedi ini lain daripada lain kerana ia memaparkan gelagat dua manusia zaman purba. Pakaian kami juga pelik seperti kaum dayak tetapi tidaklah menjolok mata.
“Saya melakonkan watak Tonga dan Sifu (Saiful) yang hidup pada zaman purba akhirnya keluar dari kepompong mereka dan terkejut dengan arus pembangunan. Mereka tinggal di hutan dan gua batu selama ini tersesat di kota besar dalam usaha mencari Mila (Fouziah) yang diculik orang kota.
“Gara-gara terlalu lama tinggal di gua, Sifu dan Tonga berdepan masalah dunia luar termasuk peralatan canggih seperti kereta, motosikal, tandas yang membawa kepada elemen kelucuan dalam filem ini,” katanya.
Fouziah akui sukar jadi gadis naif
Fouziah berkata, dia terlalu mengagumi dengan bakat magis yang dianugerahkan kepada Saiful dan Nabil. Bagaimanapun, berlakon dalam filem Sifu Dan Tonga memberi pengalaman pahit dan manis buatnya.
Sambil tersenyum, Fouziah akui: “Pengalaman manis apabila dapat bergandingan dengan nama besar seperti Saiful, Nabil dan Erra Fazira. Sesuatu yang saya impikan selama ini.
“Bagaimanapun, pahitnya apabila saya membawa watak Mila, seorang gadis hutan yang primitif dengan arus pembangunan kota. Apabila diculik Mama Tammy (Erra Fazira), saya hanya menjadi seorang bisu kerana tidak faham dengan percakapan orang kota. Saya lebih banyak bermain dengan pergerakan mata dan ekspresi bahasa tubuh.
“Agak lucu kerana saya, Saiful dan Nabil yang dianggap kaum Watson (kaum yang wujud sejak zaman perang Jepun) mempunyai bahasa sendiri. Bahasa komunikasi kami direka sendiri oleh Saiful dan Nabil yang pastinya akan menggeletek perasaan.
“Bukan mudah untuk menghayati watak gadis naif ini kerana sebelum masuk set penggambaran saya perlu mengosongkan fikiran, anggap saya tak tahu apa-apa. Paling mencabar, apabila saya terpaksa berlari dalam hutan dan dikejar oleh helikopter. Kaki saya luka akibat terpijak duri dan ranting pokok,” katanya yang pernah bergelar Pelakon Harapan Wanita Popular pada Anugerah Skrin 2007, selain menjadi finalis kategori Artis baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.
Nama: Ahmad Nabil Ahmad
Umur: 26 tahun
Asal: Mambau, Negeri Sembilan
Idola: Jerry Seinfeld dan Afdlin Shauki
Filem: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Momok, Man Tera, Pisau Cukur
Program: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Hua... Hua... Hua..., Pondok-Pondok, Studio Nabil
Telefilem: Sonata Labu Labi
Pencapaian: Juara Raja Lawak
Nama: Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff
Usia: 40 Tahun
Tarikh Lahir: 12 Mei 1969
Tempat Lahir: Selangor
Filem: 45 filem termasuklah Senario The Movie, Senario Lagi, Lagi-Lagi Senario, Lang Buana, KL Menjerit, Laila Isabella, Jutawan Fakir, MX3, Berlari Ke Langit, Bintang Hati, Gila Bola, Kuliah Cinta, Cinta Luar Biasa, Gila-Gila Pengantin Remaja, Gangster, Biar Betul, Lady Boss, Bujang Senang, Anak Mami Kembali, Nana Tanjung, Otai, Duyung, Cicak-Man, Cicak-Man 2, Shh... Dia Datang dan Sifu & Tonga
VCD: Champion, Siapa Tak Sayang Bini, Siapa tak Sayang Bini II, Pelakon Popular, Manisnya Hempedu Pahitnya Madu, Jadi Tak Jadi, Apa Nak Di Kato, Neon, O.K
Pencapaian: Pelakon Komedi Lelaki Popular 2002 & Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003.
Nama: Nor Fouziah Mohd Gous
Usia: 27 Tahun
Tarikh Lahir: 11 Disember 1982
Tempat Lahir: Hospital Kuala Lumpur (HKL)
Keluarga: Bongsu daripada lima beradik
Pendidikan: Diploma Kesetiausahaan (BSC), Kolej Systematic
Drama: Demi, Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Enigma, Kain Ketat Isabella dan Sutera Maya.
Filem: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai dan Sifu & Tonga
Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: