Fasha, 33, berkata, dia perlu mengurangkan berat badannya kepada bentuk ideal memandangkan dia perlu mengenakan sut mengikut bentuk tubuh selain ingin melakukan aksi lasak dalam filem berkenaan.
"Alhamdulillah dalam masa tiga minggu saya berjaya mengurangkan berat badan hampir lima kilogram dan kini mendapat berat ideal iaitu 59 kilogram.
"Saya perlu pakai sut ala 'cat woman' dalam filem itu jadi saya perlu kurangkan berat badan tambahan pula ada aksi lasak yang perlu saya jayakan.
Fasha ditemui pada majlis doa selamat dan bacaan skrip filem Badang yang diadakan di Intekma Resort & Convention Centre di sini, Jumaat.
Filem arahan Profesor Datuk Dr. A. Razak Mohaideen itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Aliff Syukri, Fauzi Nawi dan Fareez Fauzi.
Filem adiwira adaptasi daripada kisah rakyat itu bakal menjalani penggambaran pada 15 Januari ini.
Dalam pada itu, Fasha berkata, selain senaman dan diet dia juga banyak melakukan latihan Muay Thai tiga minggu sekali dalam usahanya mengurangkan berat badan.
"Saya mula terlibat dalam sukan Muay Thai ketika berlakon dalam drama bersiri Lara Aishah kerana watak saya juga lasak dan sejak itu saya sukakan aktiviti berkenaan.
"Apabila mendapat tawaran filem ini saya teruskan dengan kelas tersebut tiga kali seminggu dan saya sukakan Muay Thai kerana ia lebih kepada kardiovaskular," ujarnya.
Bercakap lanjut mengenai Badang, Fasha berkata, dia mengambil masa sebulan untuk membuat keputusan sebelum bersetuju kerana watak ditawarkan berlainan yang pernah dibawanya sebelum ini.
Malah kata Fasha, faktor dia sudah biasa bekerjasama dengan A. Razak turut menjadi faktor dia bersetuju berlakon filem itu.
"Peranan saya sangat menarik dan belum pernah saya bawa sebelum ini malah ia mempunyai aksi lasak yang memang menjadi idaman saya.
"Filem Badang berbentuk adiwira yang jarang-jarang ada dan ia sangat menarik selain berharap ia bukan sahaja menarik penonton dewasa malah kanak-kanak.
"Tambahan pula saya sudah biasa bekerja bawah arahan A. Razak jadi ia memberi tambah nilai," ujarnya.
Ditanya bakal bergandingan dengan Pengasas produk D'Herbs iaitu Aliff Syukri, Fasha berkata, dia terkejut dengan kebolehan dan bakatnya dalam bidang lakonan semasa sesi latihan dan membaca skrip.
"Jujurnya saya bimbang juga pada awalnya tetapi selepas sama-sama berlatih saya terkejut bakatnya sangat besar dalam lakonan.
"Apa yang pasti dalam filem itu dia bukan Aliff yang kita semua kenal tetapi Badang yang begitu berbeza karekternya daripada siapa dia yang sebenar," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: