Zaharah mohon rumah dibaiki
Zaharah sedang mengemaskan barangan di bahagian dapurnya yang hanya berlantaikan tanah.
ALOR GAJAH - Seorang warga emas di Lubuk China, di sini, berdepan risiko nyawa terancam apabila terpaksa tinggal di dalam sebuah rumah yang bukan sahaja tidak sempurna malah keadaan pendawaian elektriknya yang berselirat mengundang kebakaran.

Zaharah Baba, 60, tinggal bersama anaknya, Mohd Zin Rahim, 30-an dan sepasang cucunya berusia dua dan empat tahun di rumah berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas hasil sumbangan kerajaan negeri menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian mendapati rumah di Jalan Solok Serban Hijau, Kampung Sungai Siput di sini, yang tidak mempunyai bilik air di bahagian dalam itu kini sudah tidak lagi sesuai untuk didiami sesebuah keluarga yang mempunyai anak kecil dan perlu dinaik taraf.

Zaharah berkata, meskipun mendapat bantuan bulanan RM190 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim) berjumlah RM150, namun dirinya berbesar hati sekiranya ada pihak yang sudi membantu membaiki rumahnya.

“Hanya ada empat plug di dalam rumah yang terletak di bahagian hadapan turut menyambung elektrik ke televisyen dan tiga lampu termasuk di dapur dan bilik tidur.

“Keadaan ini membimbangkan saya yang turut menjaga dua cucu ketika anak lelaki saya keluar melakukan kerja-kerja kampung di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini.

Zaharah berkata, selain itu bilik air yang dibina hasil ihsan orang awam di luar rumah tidak mempunyai tandas.

“Dapur berlantaikan tanah yang ada itu pun saya bina sendiri dengan bantuan anak daripada papan yang dikumpul.

“Siapalah saya untuk meminta-minta tapi andai ada yang sudi membantu, saya syukur. Anak yang tinggal sekali dengan saya pun hanya kerja kampung, tiada pendapatan tetap,” katanya.