Tiga cedera darah ambulans terbalik
Keadaan ambulans yang terlibat dalam kemalangan.
MUAR – Tiga orang termasuk seorang pesakit jantung cedera apabila ambulans ambulans yang mereka naiki itu terbabit dalam kemalangan di jalan pintas berdekatan persimpangan empat Jalan Bakri di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu berlaku apabila ambulans berkenaan yang dalam perjalanan ke sebuah hospital di Melaka dirempuh bahagian belakang oleh sebuah kereta Toyota Camry.

Pelanggaran itu menyebabkan ambulans terlibat hilang kawalan sebelum terbalik, manakala kereta berkenaan berpusing dan remuk di bahagian depan.

Seorang saksi, Abdullah Sariman, 76, yang tinggal di hadapan jalan tersebut terdengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat sebuah ambulans terbalik dalam keadaan siren kecemasan yang masih berbunyi.

Katanya, dia bersama menantu, Salihin Jaafar, 37, membantu mengeluarkan pesakit berusia 50-an itu dengan dibantu beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

“Kita berjaya mengeluarkan pesakit yang dalam keadaan berdarah sambil mengerang menahan kesakitan dengan memecahkan pintu belakang serta mengumpilnya menggunakan sebatang besi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Orang awam yang mengetahui maklumat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.