Redah belukar elak dicekup
Pegawai Imigresen memeriksa dokumen perjalanan warga asing yang ditahan dalam serbuan di Pasar Borong Selayang, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Suasana Pasar Borong Selayang yang biasanya riuh-rendah dengan urusan jual beli, bertukar kecoh apabila peniaga warga asing lari lintang pukang mengelakkan diri ditahan pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Ada dalam kalangan mereka sanggup meredah belukar dan melintas jalan raya tanpa mengendahkan kenderaan yang lalu-lalang.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Cawangan Wilayah Persekutuan, James Musa Singa berkata, seramai 102 diperiksa dan 39 warga asing ditahan setelah didapati tiada dokumen perjalanan dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, enam daripada warga asing berkenaan didapati memalsukan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) hasil daripada tapisan dibuat pegawai UNHCR.

“39 yang ditahan, termasuk 21 warga Mnyanmar, India (4), Indonesia (10) dan masing-masing seorang warga Thailand serta kemboja.

"Semua yang ditahan di bawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya yang mengetuai serbuan tersebut.

Operasi bersepadu Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bermula jam 3 hingga 7 pagi itu bertujuan membanteras pendatang tanpa izin yang semakin berleluasa.

Seramai 128 penguat kuasa melibatkan 75 anggota Imigresen WPKL dan Putrajaya, serta 54 anggota DBKL terbabit dalam operasi itu.

James menambah, operasi membanteras warga asing tanpa izin sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Perkara ini sentiasa diambil serius dan penguatkuasaan bersepadu akan dibuat bagi menangani isu ini secara menyeluruh," katanya.