Pendapatan teksi terjejas
Mohd Bakri setia menunggu pelanggan walaupun perkhidmatan kurang mendapat sambutan.
KUANTAN – Perkhidmatan pengangkutan percuma yang disediakan Rapid Kuantan selama lima bulan sejak Disember lalu mendapat sambutan menggalakkan orang ramai tetapi menimbulkan rasa kurang senang kepada pemandu teksi.

Sebelum ini pemandu teksi mendakwa periuk nasi mereka terjejas apabila Rapid Kuantan menyediakan kemudahan percuma itu dalam tempoh percubaan, dan pengguna perlu membayar perhidmatan itu sejak 6 Jun lalu.

Pemandu teksi, Mohd Bakri Abu Bakar ketika ditemui berkata, pendapatannya semakin terjejas kebelakangan ini terutama selepas  Rapid Kuantan menyediakan perkhidmatan pengangkutan secara percuma.

“Pendapatan kami memang terjejas dan walaupun bas Rapid sudah kenakan bayaran, pelanggan lebih cenderung kepada perkhidmatan awam itu.

“Dari pagi hingga tengah hari saya menunggu pelanggan tetapi tiada seorang pun yang datang.

“Sepatutnya bas Rapid kurangkan trip mereka contohnya dari 15 minit sekali di sesuatu kawasan kepada tempoh satu jam,” katanya.

Seorang lagi pemandu teksi, Sa’ari Abas, 54, berkata, tidak dinafikan sejak Rapid Kuantan diperkenalkan pendapatan pemandu teksi semakin merudum.

“Baru seminggu lebih Rapid mula mengenakan harga tambang dan setakat ini tidak boleh buat penilaian jelas.

“Tetapi keadaan semakin baik kerana sekurang-kurangnya pelanggan boleh membuat pilihan sama ada mahu menaiki teksi atau bas,”katanya.