Sunday, June 9, 2013

Tulusnya Amir Jahari



DUA perkara yang perlu diberi perhatian terhadap kewujudan Amir Jahari sebagai penyanyi-penulis lagu ialah vokal dan semangatnya. Pada awal kemunculannya, semangat anak muda ini kelihatan semakin marak, apatah lagi dia memiliki tona suara yang tersendiri.
Amir ternyata bernasib baik kerana dikelilingi individu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang muzik. Dia tidak melalui jalan yang sukar untuk menghasilkan album.
Album dengan judul Penghibur Jalanan menjanjikan kreativiti di sebalik suaranya yang enak didengar. Menariknya juga, selain vokal yang jelas dalam pembikinan album ini ialah lagu-lagu yang dipilih.
Bagi penulis, produksi untuk album ini dijalankan dengan baik. Vokal dan instrumen seimbang sampai ke pendengaran khalayak yang memiliki album ini. Jelas dan nyata bunyi-bunyi yang keluar daripada album yang diedarkan oleh Kasi Gegar Entertainment ini. Penulis sukakan bunyi gitar yang keluar satu-satu dalam setiap lagu.
Lirik-lirik dalam album ini juga wajar diberi perhatian. Telus dan terang sesuai dengan usia dan arah tuju Amir sebagai penyanyi baharu yang menghidangkan suatu yang segar untuk pendengaran umum.
Penulis gemarkan perjalanan lagu Ajarkan Aku yang jelas. Amir membawa emosi pendengar bukan sahaja terhadap mesej tetapi juga terhadap bunyi.
Satu perkara lagi yang wajar mendapat pujian ialah konsep album ini yang memaparkan kreativiti pasukan yang menerajui Amir.
Menarik dan rajin, itu jelas dalam pembungkusan album ini bermula dengan kulit, konsep sehinggalah pemilihan tujuh buah lagu dengan dua trek bonus versi akustik iaitu Tanpamu dan Gelisah.
Komen Sofia: Amir Jahari boleh pergi jauh dengan vokal dan ketulusan penulisannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: